Janji-janji Manis Demokrasi

Share This Post

Demokrasi sering dicanang sebagai sesuatu yang mulia, sakral dan suci. Di seluruh dunia, proses pendemokrasian yang berlaku pasca perang dunia kedua dilihat seiring dengan proses dekolonialisasi setelah kuasa para penjajah semakin terjejas. Perang Dingin yang kemudiannya melihat pertembungan ideologi, sistem ekonomi dan kekuatan tentera di antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet berakhir dengan keruntuhan Tembok Berlin dan disusuli perpecahan empayar Soviet kepada negara-negara bangsa yang merdeka.

Keruntuhan Tembok Berlin dan perpecahan empayar Soviet ini sering dilihat sebagai saat kemenangan demokrasi liberal kapitalis melawan rejim komunis yang berlandaskan perancangan ekonomi pusat dan pemerintahan autokratik. Francis Fukuyama dalam karya agungnya, The End of History and the Last Man berpendapat bahawa tamatnya Perang Dingin menandakan dunia telah mencapai tahap pasca-ideologi, di mana demokrasi liberal muncul sebagai bentuk pemerintahan manusia yang muktamad.

Ketinggian darjat demokrasi berbanding sistem-sistem lain seperti monarki mutlak, autoritarianisme dan teokrasi juga pernah diulas oleh mantan Perdana Menteri United Kingdom, Winston Churchill. Beliau berpendapat demokrasi adalah sistem pemerintahan terbaik daripada semua sistem pemerintahan terburuk (least worst) yang pernah dicuba sejak permulaan kewujudan manusia.

Malah, demokrasi dilihat sebagai mulia kerana memberi peluang kepada masyarakat terbanyak untuk menentukan wakil yang akan membawa suara mereka ke badan legislatif sesebuah negara. Kebolehan memilih wakil rakyat ini diterjemahkan dalam pelbagai bentuk pilihan raya yang diamalkan di seluruh dunia, termasuklah sistem pemenang undi terbanyak (first past the post) di Malaysia. Hak untuk memilih ADUN dan Ahli Parlimen setiap kali pilihan raya diadakan merupakan hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan sejak negara mencapai kemerdekaan, dan tentulah dianggap sebagai hak asasi setiap rakyat Malaysia.

Di sebalik premis demokrasi yang menjanjikan suara rakyat diangkat sebagai keramat, terdapat permasalahan utama yang perlu dirungkai. Frasa “suara rakyat suara keramat” yang sering dilaungkan sebagai janji utama demokrasi sebenarnya sarat dengan beberapa anggapan. Anggapan pertama ialah “suara” dan “rakyat” yang dimaksudkan merupakan satu entiti seragam dan mempunyai kemahuan yang sama. Anggapan kedua adalah pilihan yang dibuat oleh rakyat adalah pilihan yang sentiasa tepat.

Anggapan ketiga pula ialah, rakyat yang diberi peluang untuk memilih wakil mereka akan berfikir secara rasional ketika membuat pilihan tersebut. Seringkali, manusia menyalahkan sistem demokrasi yang dikatakan tidak lagi mengangkat suara rakyat terbanyak dan hanya menguntungkan sesetengah golongan elit yang mampu membeli demokrasi dengan kekayaan mereka. Naratif seperti ini semakin diarusperdanakan selepas kemenangan Donald Trump di Amerika Syarikat dan kempen Brexit di United Kingdom.

Sekiranya hal ini difikirkan dengan lebih mendalam, anggapan pertama sudah tentu tidak benar. Dalam mana-mana komuniti sekalipun, tentunya terdapat perbezaan kemahuan yang jelas, walaupun komuniti tersebut terdiri daripada manusia yang berkongsi identiti yang sama. Sebagai contoh, ada orang Melayu yang kaya, yang miskin, yang berpendidikan, yang tinggal di bandar dan juga di kampung. Tentu sekali pengalaman hidup setiap orang Melayu ini berbeza seterusnya memainkan peranan dalam menentukan keperluan dan kehendak seseorang.

Misalnya, orang Melayu yang kaya mungkin mahukan sistem percukaian yang kurang menekan kepada golongan berpendapatan tinggi, supaya mereka tidak perlu membayar cukai yang terlalu tinggi. Orang Melayu miskin pula mungkin mahukan akses kepada pendidikan, biasiswa, bantuan makanan, penurunan harga barang dan peluang pekerjaan. Ini baru dalam kalangan orang Melayu sahaja, belum lagi diambil kira perbezaan yang wujud dalam kalangan kumpulan etnik lain di Malaysia yang tentunya juga tidak seragam keperluan dan kehendak mereka.

Maka, persoalan yang perlu ditanya ialah, sejauh mana sistem demokrasi kita mampu memenuhi setiap satu keperluan dan kehendak kumpulan-kumpulan yang berbeza di negara kita? Jika sistem demokrasi yang diguna pakai selama ini hanya mampu memenuhi kehendak dan keperluan sesetengah golongan sahaja, adakah benar demokrasi meletakkan suara rakyat sebagai suara keramat?

Anggapan kedua, bahawa pilihan yang dibuat oleh rakyat adalah pilihan yang sentiasa tepat, terbukti tidak benar melalui peristiwa kemenangan Donald Trump. Kesan daripada kelemahan mantan Presiden itu menangani penularan wabak Covid-19, nyawa ratusan ribu rakyat Amerika terkorban. Bukan sahaja respon jentera kerajaan Amerika Syarikat lemah, yang lebih teruk lagi ialah Presiden sendiri yang mempercayai berita palsu dan kedegilan beliau dalam memakai pelitup muka. Tiada siapa boleh lupa juga dengan peristiwa Januari lalu di mana sekumpulan penyokong Trump menyerang bangunan US Capitol selepas digalakkan oleh Presiden yang mereka puja dan terpengaruh dengan teori-teori konspirasi yang membingungkan.

Mungkin anggapan ketiga yang mampu menerangkan permasalahan demokrasi dengan lebih jelas. Sistem pemerintahan yang meletakkan pilihan rakyat sebagai sakral harus sedar bahawa pilihan tersebut bukan sentiasa dibuat dengan rasional. Memilih pemimpin sering dianggap sebagai usaha yang tidak boleh diambil mudah, dan seseorang sepatutnya menimbang tara pilihan mereka dengan berhati-hati sebelum membuat keputusan. Namun, kita hanya perlu melihat gelagat ahli-ahli Parlimen kita ketika bersidang untuk mempersoal anggapan bahawa wakil rakyat dipilih setelah pertimbangan yang teliti di dalam fikiran setiap pengundi. Perlu diingat juga, apa yang dianggap rasional oleh sebahagian masyarakat, mungkin tidak rasional bagi sebahagian masyarakat lain. Maka, siapa yang sebenarnya berhak menentukan kerasionalan yang mana berhak menang?

Tulisan ini tidak berniat untuk mematikan semangat para pejuang demokrasi, dan tidak juga berniat untuk menghasut para pembaca supaya tidak mengundi ketika pilihan raya nanti.

Sebaliknya, tulisan ini bertujuan untuk memberi gambaran yang lebih realistik tentang kemampuan demokrasi sebagai sebuah wadah untuk mencapai aspirasi masyarakat ideal yang sering kita impikan. Hakikat kehidupan di dalam negara demokrasi adalah penerimaan bahawa kemenangan tidak selalu dicapai oleh mereka yang berada di pihak yang sama dengan kita. Tetapi itulah juga janji demokrasi – selagi lunas-lunas demokrasi itu belum runtuh, sesiapa sahaja berhak memilih untuk mengubah bakal pemenang.

Aira Azhari merupakan pengurus penyelidikan di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), sebuah badan pemikir bebas yang terletak di Kuala Lumpur. Beliau merupakan kolumnis tetap Ajar Demokrasi. Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi mana-mana organisasi.

Picture of Aira Azhari

Aira Azhari

Artikel Lain

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *