Dalam suasana kini, kita sering dengar berkenaan Belanjawan Tahunan Kerajaan dan Wawasan baru yang diperkenalkan oleh kerajaan seperti Wawasan 2020 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030). Akan tetapi, Rancangan Malaysia (RMKe) adalah antara yang paling jarang disebut-sebut dan mendapat perhatian awam. Pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) telahpun dibentangkan pada Sidang Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat Penggal Keempat Belas (2021) pada 25 September 2021. Belanjawan Persekutuan 2022 juga telah dibentangkan pada 29 Oktober 2021 pada Sidang Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat Penggal Keempat Belas (2021).
Persoalannya apakah perbezaan antara ketiga-tiga dokumen penting ini? Adakah ketiga-tiganya sama sahaja dari sudut pelaksanaan dan objektifnya? Sejauh mana pencapaian semua dokumen pembangunan Malaysia yang lalu? Artikel ini akan cuba menjawab soalan-soalan asas untuk bacaan awam mendapat idea secara menyeluruh mengenai Rancangan Malaysia, Wawasan dan Belanjawan Persekutuan.
Horizon Perancangan
Perancangan pembangunan di Malaysia secara asasnya dibahagikan kepada tiga garis masa yang berbeza iaitu rancangan jangka masa pendek, jangka masa sederhana dan jangka masa panjang (Rujuk rajah 1).
Rancangan pembangunan jangka masa pendek adalah pelan yang mempunyai garis masa satu tahun sahaja. Dokumen yang sudah pasti ramai daripada kita tahu yang dibentangkan setiap tahun adalah Anggara Perbelaan Persekutuan atau lebih dikenali sebagai Bajet atau Belanjawan Kerajaan. Belanjawan tahunan kebiasaannya dibentangkan pada hari Jumaat minggu terakhir bulan Oktober setiap tahun oleh Menteri Kewangan. Kebiasaanya, pihak Kementerian Kewangan akan menerbitkan tiga dokumen iaitu Anggaran Perbelanjaan Persekutuan, Tinjauan Ekonomi dan Tinjauan Fiskal dan Anjuran Hasil (Rujuk rajah 2).
Anggaran Perbelanjaan Persekutuan adalah dokumen yang setebal hampir 600 muka surat yang menyenaraikan seluruh peruntukan kerajaan dalam tempoh setahun kepada semua agensi, kementerian dan entiti berkaitan. Dokumen ini adalah penting bagi mengetahui secara spesifik di mana peruntukan itu diperuntukan samada untuk pembayaran emolumen dan gaji, atau untuk pembelian aset, pemberian dan kenaan bayaran tetap, dan lain-lain. Perincian setiap daripada buku ini akan dibahaskan di dalam dewan rakyat terutamanya perbahasan di peringkat jawatankuasa di mana perbahasan akan dilakukan mengikut kementerian.
Buku Tinjauan Ekonomi adalah dokumen untuk memberikan gambaran mengenai keadaan makroekonomi semasa global dan Malaysia serta perkembangan monetari dan kewangan. Ini adalah penting untuk menunjukkan gambaran awal tentang jangkaan-jangkaan yang akan berlaku pada tahun berikutnya. Secara idealnya, setiap peruntukan yang ditentukan di dalam belanjawan perlu seiring dengan konteks dan situasi semasa.
Dokumen Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan pula adalah dokumen yang memberikan penjelasan secara terperinci sumber hasil kerajaan persekutuan, perbelanjaan kerajaan persekutuan serta kedudukannya
Rancangan pembangunan jangka masa sederhana pula adalah pelan dengan garis masa sederhana yang mana kebiasaannya adalah pelan 5 tahun. Antara dokumen dan item yang berada di bawah kategori ini adalah Rancangan Malaysia atau lebih sinonim dikenali sebagai RMK. Dalam tempoh lima tahun, 2 dokumen penting akan diterbitkan iaitu dokumen Rancangan Malaysia dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia. Rancangan Malaysia akan menetapkan pelan pembangunan selama lima tahun serta had siling peruntukan untuk segala bentuk perancangan pembangunan kerajaan.
Kajian Separuh Penggal (KSP) adalah dokumen yang mengkaji semula prestasi RMK pada dua tahun pertama RMK. Dokumen ini juga akan menentukan samada strategi akan diubah mengikut prestasi atau boleh dikekalkan untuk mencapai objektinya.
Rancangan Pembangunan Jangka Masa Panjang adalah pelan yang mempunyai jangka masa sekurang-kurangnya 10 tahun. Dokumen-dokumen yang pernah diterbitkan di bawah kategori ini adalah (EPU, 2021):
- Wawasan Kemakmuran Bersama 2030
- Model Baru Ekonomi, 2011-2020
- Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3), 2001-2010
- Wawasan 2020, 1991-2020
- Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2), 1991-2000
- Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama (RRJP1), 1971-1990
Dokumen ini akan meletakkan teras utama dan strategi menyeluruh dalam tempoh 10 tahun ke atas sebagai rujukan untuk dokumen-dokumen lain.
Bagaimana ketiga-tiga dokumen ini saling melengkapi?
Sudah pasti secara idealnya, belanjawan dan Rancangan Malaysia perlu mengikut objektif yang diletakkan di dalam wawasan atau rancangan pembangunan jangka masa panjang.
Yusri Yusoff merupakan koordinator media kreatif Ajar Demokrasi dan kini berkhidmat sebagai Pegawai Penyelidik Parlimen Kubang Pasu
Penulisan ini tidak semestinya melambangkan pendirian Ajar Demokrasi