3 Teori Psikologi yang Digunakan oleh Ahli Politik Untuk Mempengaruhi Pengundi

Share This Post

Psikologi merupakan suatu bidang ilmu yang mengkaji tingkah laku dan pemikiran manusia. Ilmu ini digunakan untuk memahami bagaimana manusia berfikir dan bertindak dalam kehidupan seharian mereka. Ia tidak semestinya hanya berkait dengan konteks kesihatan mental seperti yang kita biasa dengar, bahkan juga dalam sukan, pembelajaran, organisasi, jenayah dan pelbagai macam lagi konteks dalam kehidupan kita.

Maka, bukanlah sesuatu yang pelik jika ilmu ini turut dipraktikkan dengan meluas dalam arena politik, yang merupakan sebuah lapangan di mana pemegang taruh utamanya terdiri daripada manusia. Maka, ahli politik yang bijak akan memanfaatkan ilmu psikologi untuk memahami bagaimana para pengundi bertindak dan berfikir, seterusnya menyusun perancangan untuk mendapatkan sokongan dari pengundi yang kelak akan dijelmakan melalui undian untuk mereka.

Oleh itu, artikel ini akan membuat analisa ringkas mengenai sebahagian kaedah yang biasa digunakan oleh ahli politik untuk mempengaruhi para pengundi berpandukan teori psikologi. Sebagai pengundi yang bijak, apabila kita mengetahui penjelasan psikologi di sebalik teknik dan strategi yang digunakan oleh ahli politik, kita boleh belajar untuk lebih berhati hati agar fitrah psikologi kita sebagai manusia tidak sewenang wenangnya dimanipulasi oleh ahli politik, sehingga ke tahap yang mengakibatkan kita tersilap dalam memilih pemimpin.

Anda bersedia? Mari kita mulakan.

1. Tentang Cytro, Memenuhkan Tempat Duduk Ceramah Kempen dan Pernyataan Sokongan Terbuka oleh Figura Umum

Apakah persamaan antara ketiga tiga kaedah di atas yang kerap kali digunakan oleh ahli politik? Yang pasti, ketiga tiga kaedah ini sangat banyak digunapakai dan ditekankan oleh ahli politik, menunjukkan betapa mereka amat faham mengenai kepentingan strategi ini.

Secara ringkas, ketiga tiga kaedah ini berkait rapat dengan apa yang dikenali dalam ilmu psikologi sebagai social influence, yang menjelaskan bagaimana kita cenderung untuk dipengaruhi oleh lingkungan sosial kita. Secara spesifik lagi, ketiga tiga kaedah tersebut menggunakan konsep social proof, yang menjelaskan bahawa kita akan membuat keputusan berpandukan keputusan manusia manusia lain. Sebagai manusia, fitrah kita akan cenderung untuk bersetuju dengan perkara yang telah dipersetujui oleh sebuah kelompok yang ramai. Kita mempunyai kecenderungan untuk membuat kesimpulan bahawa pengiktirafan ramai orang ialah bukti keabsahan kualiti sesuatu perkara, menyebabkan kita turut cenderung untuk membuat pilihan yang sama.

Seorang ahli psikologi sosial bernama Jonah Berger telah mengulas lanjut dalam bukunya berjudul Invisible Influence mengenai perkara ini. Menurutnya, selain dari faktor untuk mendapatkan maklumat tanpa perlu bersusah payah, kita juga cenderung untuk mengikut tingkah laku orang ramai atas faktor tekanan sosial. Ia timbul kerana fitrah kita yang tidak mahu rasa berbeza dan ketinggalan dengan kelompok yang ramai. Perkara ini bukan sahaja berlaku dalam politik, tetapi juga ketika kita memilih kedai makan, membeli barang atas talian, dan menonton filem. Kita akan melihat kepada rating dan bilangan pembeli, yang merupakan sebahagian daripada indikator sokongan dan pengikitirafan sosial.

Maka, apabila kita melihat sokongan yang dinyatakan oleh banyak akaun cytro (laskar siber) politik, atau kita lihat sebuah calon pilihanraya yang penuh ceramah kempennya dengan penonton, atau apabila kita lihat sokongan figura umum yang terkenal kepada seorang calon pilihanraya, ia serba sedikit membuat kita cenderung untuk bersetuju dengan mereka dan memutuskan untuk memilih pendirian yang sama dengan mereka, iaitu memberi sokongan kepada pihak yang berjaya memperoleh sokongan sosial yang ramai. Ternyata, social proof merupakan satu prinsip strategi yang amat penting untuk ahli politik mempengaruhi para pengundi.

Untuk menjadi pengundi yang tidak termakan dengan teknik ini, kita perlu sentiasa ingat bahawa sokongan yang ramai tidaklah secara mutlaknya menjamin kualiti seorang ahli politik secara total. Ada beberapa lagi aspek penting yang perlu kita nilai seperti praktikaliti idea, kualiti perwatakan, kompetensi dan juga keberkesanan hasil kerja. Pengiktirafan sosial sahaja pastinya bukan suatu faktor penentu yang cukup untuk membuktikan kebolehan seorang pemimpin.

2. Memasak, menyanyi dan bersukan – bakat terpendam ahli politik yang muncul ketika berkempen

Suatu yang tidak asing lagi apabila kita melihat calon pilihanraya yang ‘serba boleh’ ketika berkempen. Mereka akan melakukan pelbagai macam kegiatan dan aktiviti untuk menunjukkan bahawa mereka mempunyai banyak persamaan dengan pengundi. Aktiviti seperti memasak, menaiki basikal, menyanyi dan bersukan bersama masyarakat pengundi merupakan antara contoh yang biasa kita lihat ketika mereka berkempen.

Sebagai pengundi, apabila kita melihat banyak persamaan di antara mereka dengan kita, maka emosi kita juga akan terpaut, dan secara tidak sedar, seseorang ahli politik tersebut telah menjadi ahli politik kegemaran kita. Kita mula suka atau ‘jatuh hati’ kepada ahli politik tersebut. Ini mendedahkan kita kepada satu risiko sistem berfikir yang dinamakan sebagai liking bias. Liking bias merupakan sebahagian daripada cognitive bias, yang didefinisikan oleh dua orang ahli psikologi kognitif bernama Daniel Kahneman and Amos Tversky sebagai suatu kesilapan sistematik dalam cara fikir manusia yang menyebabkan kita menjadi tidak rasional ketika membuat keputusan.

Dalam psikologi, liking bias merupakan kecenderungan kita untuk bersetuju dengan pendapat dan pendirian orang yang kita sukai. Perasaan suka dan gemar kita terhadap seseorang akan berpotensi menjadikan kita buta terhadap sisi-sisi negatif yang sepatutnya kita kenalpasti apabila berfikiran rasional. Oleh sebab itu, ahli politik akan mengusahakan pelbagai macam cara untuk memastikan pengundi jatuh suka kepada mereka, dan antara cara terbaik untuk memikat hati ialah dengan terlibat dalam aktiviti harian yang digemari pengundi. Sedar atau tidak, kita sukar untuk melihat keburukan dan kesilapan oleh orang yang kita suka, bukan sahaja ahli politik, tetapi juga oleh kawan rapat kita, ahli keluarga kita ataupun sesiapa sahaja yang kita sayangi. Semuanya kerana liking bias.

Dengan memahami teknik ini, langkah terbaik yang kita boleh lakukan ialah untuk belajar menilai seorang ahli politik dengan mengasingkan dan memisahkan emosi positif kita terhadap mereka. Kita boleh sahaja menyukai apa yang ahli politik tersebut buat untuk memenangi hati pengundi, tetapi dalam masa yang sama kita tetap perlu menggunakan rasional untuk secara kritis menilai kemampuannya secara keseluruhan sebagai seorang pemimpin masyarakat. Kita boleh menyukai seorang ahli politik, namun ia tidak bermakna kita diwajibkan untuk memberi undi kepada ahli politik yang sama, dan begitu juga sebaliknya.

3. Kisah Mak Siti dan Pak Abu

Pastinya kita juga perasan bahawa ahli politik suka bercerita (terutamanya semasa ceramah kempen) secara spesifik mengenai kisah duka seorang individu tidak bernasib baik yang mereka telah santuni. Mereka akan bercerita dengan sangat terperinci mengenai individu tersebut termasuklah menyebut nama mereka, latar belakang, cerita kesengsaraan mereka dan sebagainya.

“Pagi tadi, saya lawat Mak Siti, ibu tunggal yang tinggal di rumah yang sangat dhaif..”
“Saya teringat perbualan saya dengan Pak Abu, pesara tentera yang terpaksa tidur di kaki lima..”

Di sebalik teknik ini, ialah apa yang ahli psikologi bernama Thomas Schelling namakan sebagai Identifiable Victim Effect. Dalam sebuah buku berjudul ‘The Power of Human’, seorang ahli psikologi sosial bernama Adam Waytz menjelaskan bahawa perasaan dan emosi manusiawi kita (misalnya empati) lebih mudah tercetus apabila kita mendapat gambaran yang terperinci mengenai mangsa sebuah situasi secara individu, berbanding kumpulan mangsa-mangsa yang wujud dalam bentuk data atau statistik secara kolektif. Oleh sebab itu, ahli politik yang bijak boleh membangkitkan emosi empati pengundi dengan menceritakan secara sangat jelas mengenai individu yang mereka santuni. Perasaan empati ini kelak akan disalurkan untuk mempengaruhi pengundi untuk mengundi mereka yang berjanji agar memberikan masa hadapan yang lebih baik kepada individu tersebut.

Penutup

Terdapat banyak lagi teknik psikologi yang digunakan oleh ahli politik dalam usaha mereka mempengaruhi kita sebagai pengundi. Penting untuk kita fahami di sini bahawa sepertimana politik, psikologi juga merupakan antara alat yang boleh digunakan untuk tujuan yang baik mahupun sebaliknya, bergantung kepada niat penggunanya. Artikel ini tidak bermaksud untuk menyatakan bahawa tiga teknik psikologi yang disebutkan di atas secara mutlak hanya digunakan sebagai suatu bentuk manipulasi yang negatif. Bahkan, ramai sahaja ahli politik yang baik dan bijak yang telah menggunakan teknik-teknik di atas untuk mendapatkan undi.

Justeru, untuk menjadi pengundi yang bijak, penting untuk kita belajar dan cakna mengenai sisi psikologi kita yang berkemungkinan dieksploitasi oleh ahli politik, seterusnya menyebabkan kita terkhilaf dalam memilih pemimpin. Pengundi yang bijak akan sedar apabila ada usaha untuk memanipulasi dan mempergunakan sisi-sisi psikologi mereka ke arah yang tidak baik, dan hasilnya, walapun dengan pelbagai usaha manipulasi tersebut ke atas mereka, mereka akan tetap berjaya untuk membuat penilaian yang rasional dalam urusan memilih pemimpin mereka. 

Picture of Arif Fahim

Arif Fahim

Beliau merupakan aktivis Ajar Demokrasi dan masih menghabiskan sisa-sisa perjuangan di peringkat Sarjana Muda Kaunseling UIAM

Artikel Lain

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *