Melihat Pilihan Raya Kerajaan Tempatan Dari Sudut Positif

Share This Post

Berita mengenai Pilihan Raya Kerajaan Tempatan kembali hangat baru-baru ini. Ia timbul berikutan gesaan Pengerusi DAP Wilayah Tempatan, Tan Kok Wai semasa berucap di Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan di ibu negara hujung minggu lalu.

Kok Wai yang juga Ahli Parlimen bagi kawasan Cheras berkata cadangan itu dibangkitkan semula untuk mengukuhkan sistem demokrasi di Wilayah Persekutuan. Dengan adanya Pilihan Raya ini, dapat mengelakkan campur tangan politik dalam pentadbiran Kuala Lumpur. Pilihan Raya yang dijalankan juga dapat memastikan pentadbiran yang lebih bersih, dan berorientasikan kerajaan pilihan rakyat dan menjadikan Kuala Lumpur bandar raya bertaraf antarabangsa setanding Kota Raya lain seperti London dan New York.

Namun, cadangan ini mendapat reaksi yang negatif dari parti politik nasionalis seperti UMNO dan yang terkini PAS. Veteran UMNO melalui Pengerusinya, Datuk Mustapha Yaakub berkata tiada keperluan berikutan struktur sedia ada sudah mencukupi dan sudah ada wakil rakyat dipilih dalam pilihan raya bagi mewakili semua kawasan Parlimen dalam Kuala Lumpur malahan terdapat juga ahli majlis pelbagai kaum yang dilantik membantu Datuk Bandar.

Lebih menarik, Datuk Mustapha turut berkata cadangan itu akan menjadikan Kuala Lumpur sebagai PBT yang diwakili ahli yang mewakili kaum cina, khususnya DAP. Nada sama turut dibangkitkan oleh PAS Wilayah Persekutuan melaluinya Pesuruhjayanya, Ustaz Azhar Yahya. Beliau turut bimbang jika Pilihan Raya ini diadakan, akan berlaku monopoli kaum khususnya kaum cina dan parti khususnya DAP.

Adakah kerisauan mereka ini benar?

Menurut data populasi penduduk dari Jabatan Statistik Negara Malaysia, Kaum Bumiputra mencatat populasi majoriti sebanyak 47.7% diikuti kaum Cina sebanyak 41.6% dan kaum India sebanyak 10%. Bagi kawasan Parlimen dalam Kuala Lumpur pula, 6 kawasan merupakan kawasan majoriti Bumiputra iaitu Batu, Wangsa Maju, Setiawangsa, Titiwangsa, Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak. Hanya 5 kawasan sahaja majoriti kaum Cina iaitu Kepong, Segambut, Bukit Bintang, Seputeh dan Cheras.

Rasanya tidak timbul penguasaan atau monopoli sesuatu kaum kerana jelas kaum Bumiputra masih majoriti di Kuala Lumpur. Tambahan pula, setiap kawasan PBT nanti mestilah akan meliputi kawasan yang didiami tiga kaum utama ini. UMNO dan PAS hanyalah ibarat anjing takutkan bayang-bayang sendiri dan menjadikan DAP sebagai kambing hitam memandangkan mereka tidak mampu menyaingi kehebatan prestasi parti itu di Kuala Lumpur.

Melihat Pilihan Raya Kerajaan Tempatan dari sudut perkauman lebih mudah berbanding dari sudut governans dan tadbir urus yang terbaik. Sekiranya pilihan raya ini terbukti membazir duit rakyat, sudah pastilah negara lain juga tidak mengamalkan sistem ini. Lihatlah bagaimana rakyat London boleh mengangkat warga keturunan Pakistan sebagai Datuk Bandar London walhal majoriti populasi kota raya itu dari etnik orang putih sendiri.

Tambahan pula, Pilihan Raya Kerajaan Tempatan menjadi satu usaha reformasi yang seharusnya dibawa oleh kerajaan Madani ini bagi membentuk dan melahirkan pentadbiran kerajaan tempatan yang lebih demokratik, berprestasi tinggi, mempunyai kredibiliti, telus dan berintegriti. Ahli Majlis yang dipilih oleh rakyat akan merasa bertanggungjawab dalam memastikan suasana bandar raya yang lebih efisien, selesa dan lebih berdaya huni.

Mengorak langkah ke hadapan, polemik Pilihan Raya Kerajaan Tempatan ini tidak seharusnya dinilai berdasarkan kaum semata-mata, tetapi mestilah disambut dengan kajian dan perbincangan yang muhibah antara semua pihak berkepentingan dan pakar-pakar akademik.

Sekiranya takutkan monopoli satu kaum, boleh sahaja dibuat dasar dan struktur yang menghalang perkara tersebut dari berlaku tetapi masih tidak tergelincir dari jalan demokrasi. Malaysia  boleh juga bangunkan model pilihan raya PBT berteraskan cara Malaysia yang mendukung perpaduan kaum dan toleransi antara satu sama lain.

Akhir sekali, cadangan saudara Tan Kok Wai tersebut patut dinilai dari sudut positif dan bukannya kerana yang mencadangkan itu seorang berbangsa cina dan dari parti DAP semata. Mungkin boleh sahaja diulang semula kata-kata Perdana Menteri, “tiap-tiap hari bergaduh, tak letih ka?”

Andzarwir Zakaria

Andzarwir Zakaria

Penulis merupakan Koordinator Penulisan Artikel dan sangat menggemari kisah-kisah politik yang berlaku di tanah air

Artikel Lain

Politik 101

Harapan Dalam UMNO Menuju 2024

UMNO adalah parti teras melayu, oleh itu kekalahan UMNO pada pilihan raya Kemaman 2 Disember lalu dilihat penolakan orang melayu kepada parti tersebut. UMNO sejak

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *