Politik Pandemik Yang Dipaksakan : Sebuah Coretan Menjelang Hari Mengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka

Share This Post

Lebih kurang 2 hari sahaja lagi menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN Melaka). PRN Melaka kali ini tentu sekali dirasakan ganjil terutamanya bagi orang Melaka. Ini adalah kali pertama PRN Melaka berjalan tanpa kehadiran Pilihan Raya Umum. Nampaknya bemula daripada kali ini, Melaka akan menyertai Sabah dan Sarawak sebagai negeri-negeri Malaysia yang ‘menyambut’ PRN di luar waktu kebiasaan.

Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang diumumkan oleh Speaker DUN, Datuk Seri Ab Rauf Yusof, adalah permulaan kepada siri-siri ganjil di Melaka. Permulaan yang ganjil biasanya akan diakhiri dengan keganjilan juga. Keganjilan pertama ini adalah buat pertama kali dalam sejarah negara, pembubaran DUN diumumkan oleh Speaker DUN dan bukannya pemimpin utama eksekutif negeri iaitu Ketua Menteri. Sehingga kini masih tiada penjelasan mengapa keganjilan ini terjadi. Ketiadaan penjelasan tersebut malahan menyebabkan khabar angin “Dua Singa Satu Bukit” semakin kencang bertiup.

Keganjilan kedua adalah berkenaan dengan 3 pakatan politik utama di PRN Melaka kali ini. Pakatan Harapan (PH) masuk ke dalam PRN Melaka ini dengan pertama kalinya menggunakan lambang HARAPAN secara menyeluruh. Adakah penggunaan ini akan membantu PH menawan semula Melaka? Saya tidak mempunyai jawapan untuk perkara ini. Barangkali jawapannya bergantung kepada keputusan PRN Melaka. Kalau berjaya, bendera HARAPAN akan terus berkibar, kalua gagal alamatnya komponen PH akan bertekak semula antara bendera HARAPAN atau bendera Keadilan.

Barisan Nasional (BN) pun memasuki PRN Melaka dengan bercerai tapi tidak bertalak dengan PAS. Muafakat Nasional yang dilaung-laung selepas tewas di dalam PRU14 nampaknya sepi menjadi sejarah. BN lebih percaya dengan formula lama di mana UMNO kekal sebagai abang besar di Melaka. BN juga masuk ke dalam PRN Melaka dengan isu calon Ketua Menteri yang lambat sekali dimuktamadkan. Rahsia umum bahawa bekas Speaker DUN Melaka menyimpan cita-cita besar sebagai Ketua Menteri Melaka, namun BN menetapkan bahawa Ketua Menteri Melaka sekarang, Datuk Sulaiman, kekal sebagai calon Ketua Menteri BN. Namun angin tidak berhenti bertiup di sini, bisikan plot Ketua Menteri “Sementara” masih bermain di bibir orang Melaka.

Perikatan Nasional (PN) pula yang paling ganjil dan paling bereksperimentasi. PAS memilih untuk bercerai sementara dengan UMNO dan memilih untuk tidur bersama BERSATU di dalam PN. PAS mendakwa PN adalah gabungan parti-parti yang tidak ekstrem. Tidak sampai sehari selepas dakwaan tersebut, tular video calon komponen PN, Gerakan, bagi DUN Kota Laksamana yang mengajar rakyat Malaysia cara untuk pergi ke Israel. Ketika video tersebut keluar, saya merasakan seluruh penyokong PAS menempuk dahi dan berkerut untuk memikirkan dalil baru. Akhirnya pendekatan senyap sampai orang lupa juga yang diambil. Penyokong PAS di peringkat akar umbi juga keliru dengan keputusan PAS. Mahu terus bergaduh atau berbaik lagi dengan UMNO yang berada di belah lain?

BERSATU pula mencuba nasib di PRN Melaka. Satu ADUNnya sebelum ini telah dibuang parti kerana cuba mengembalikan mandat kepada PH. Satu lagi pula lari tidak mempertahankan kerusi di Paya Rumput dan lingtang pukang ke Telok Mas. Sehingga ke hari ini, besar kemungkinan masih ramai yang tidak kenal calon-calon PN di Melaka. Sebabnya? Muka Abah lebih meriah dan merata-rata di seluruh pelusuk negeri. Strategi PN ini sedikit menghairankan namun boleh difahami memandangkan ketandusan pemimpin PN di negeri Melaka.

Keganjilan ketiga akan berkenaan dengan spesis katak baru yang ditemui di Melaka. Mereka ini digelar Katak Berprinsip kerana telah melompat untuk mengembalikan mandat pemerintahan kepada PH yang telah memenangi Melaka pada PRU14 secara sah dan jelas. Ada yang berpendapat bahawa katak tetap katak dan tidak ada sebarang sebab untuk menerima mereka. Ada pula yang berpandangan katak ini adalah “galah sejengkal” yang diperlukan untuk membantu rancangan masing-masing. Lagipun isu katak ini tidak eksklusif kepada PH sahaja, BN juga membela katak di DUN Rembia. PAS pun kalau difikirkan dalam-dalam adalah katak yang melompat ke semua kolam semenjak kian lama. Persoalannya adakah katak-katak ini menjadi bual mulut orang Melaka atau sekadar riuh rendah di Twitterjaya dan Kuala Facebook?

Orang Melaka lebih banyak isu penderitaan dan kelaparan yang perlu difikirkan berbanding merenung nasib katak-katak.

Seterusnya, kalau diamati dengan baik, hampir kesemua isu yang dibawa oleh PH, BN dan PN adalah berlegar dalam ruang lingkup yang sama. Bantu ekonomi, selesaikan masalah banjir dan kawal kesan COVID. Melaka adalah negeri kecil di mana kawasan bandar berhadapan masalah yang sama dengan kawasan luar bandar. Ketiadaan politik persekutuan membuatkan setiap parti terpaksa memperincikan cadangan mereka untuk Melaka. Secara positifnya, buat pertama kali orang Melaka dapat membaca dan mendengar racangan jelas buat Melaka. Sebelum ini isu Melaka kerap dibayangi isu persekutuan.

Ketiadaan politik persekutuan juga menjadikan PRN Melaka ini sebagai medan personaliti. Ini memaksa semua parti untuk mengetengahkan calon-calon yang mempunyai karektor khas untuk meraih perhatian orang Melaka. Bayangan figura politik persekutuan tidak memberi kesan di Melaka. Sebab itulah saya merasakan amat penting untuk PH, BN dan PN menamakan calon Ketua Menteri mereka dari awal. Ini hakikat yang perlu diterima oleh semua, di politik negeri, persoalan siapa Ketua Menteri adalah persoalan yang paling besar untuk ditentukan. Adakah fenomena Adlymania akan berterusan atau imej Tok Leman akan menawan Melaka semula? Atau adalah Mas Ermieyati bakal mencipta sejarah sebagai Ketua Menteri wanita pertama di Malaysia?

Saya suka meminjam kata-kata Abang Mat dalam menceritakan perihal PRN Melaka kali ini. PRN ini adalah PRN yang dipaksakan ke atas orang Melaka akibat daripada pengkhianatan dan sikap tidak cermat pemimpin politik negeri. Ketika PH kehilangan sokongan, transisi kepimpinan dibuat dengan cermat walaupun pahit. Ketikan BN-PN kehilangan sokongan, kita juga mengharapkan situasi yang sama namun ego telah membawa rebah kepada DUN Melaka.

Sekarang ini orang Melaka terpaksa berkira-kira antara kewajipan mengundi atau keselamatan diri. Tetapi sejujurnya faktor COVID bukanlah faktor utama yang mematikan ransangan untuk mengundi di Melaka. Faktor yang lebih besar adalah keletihan pengundi Melaka yang melihat undi mereka ini dipermainkan oleh ADUN-ADUN yang terpilih. Keletihan ini yang membunuh naluri orang Melaka untuk peduli tentang masa depan Melaka lagi.

Lagi 2 hari lagi, kerajaan baru Melaka akan dibentuk. Walaupun ramai menjangkakan keputusan rapat dan sengit akan berlaku, saya secara peribadi benar-benar berharap agar kerjasama partisan di dalam DUN Melaka boleh dibentuk untuk menjadi negeri pertama yang meminda undang-undang tubuh negeri untuk menghentikan amalan jual beli sokongan di kalangan ADUN.

“Melaka negeri bersejerah

Tempat tumpah darah kita

dijunjung dengan sepenuh jiwa

untuk maju dan jaya

rakyat Melaka sudah bersatu padu

berikrar taat setia

jujur berkhidmat setiap masa

Melaka Maju Jaya”   

Ahmad Azri bin Abdullah merupakan Peguam Bela & Peguam Cara Mahkamah Tinggi Malaya dan Naib Pengerusi IKRAM Legal.

Picture of Ahmad Azri Abdullah

Ahmad Azri Abdullah

Artikel Lain

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *