Konsep “Monarchs Above Politics” dan Fungsi Intitusi Diraja Menjunjung Kestabilan Negara

Share This Post

31 Januari 2024 merupakan tarikh Malaysia akan ditadbir oleh Ketua Negara yang baru iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang-Dipertuan Agong Sultan Ibrahim, Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) ke-17. Menggunakan sistem yang unik iaitu elective monarchy, Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang menggunakan sistem pemilihan dalam pelantikan Ketua Negara antara sembilan Raja negeri-negeri Melayu (YAM Sultan Azlan Shah 2015). Sistem ini sangat jarang dijumpai. Antara contoh yang terbaik adalah ketika pemerintahan Rom dari tahun 753 hingga 509 Sebelum Masihi, raja-rajanya tidak mempunyai pertalian darah tetapi dilantik oleh Senat (Martin Hall 2021).

            Walau bagaimanapun, olahan dari sistem tersebut adalah walaupun ia merupakan pemilihan namun pemilihan ini adalah berdasarkan penggiliran mengikut aturan negeri-negeri dan sehingga kini tiada perubahan sejak awal kemerdekaan lagi. Aturan penggiliran YDPA bermula dari Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak (Portal Rasmi Istana Negara). Oleh hal yang demikian, setiap YDPA yang memegang tampuk pemerintahan mempunyai acuan yang berbeza mengikut personaliti, visi dan cabaran yang tersendiri.

            YDPA yang sebelumnya juga telah mencatatkan sejarah apabila berkenan melantik empat Perdana Menteri (lima jika termasuk Perdana Menteri Interim yang dipegang oleh Mahathir Mohamad) dalam tempoh pemerintahan selama lima tahun memandangkan negara sedang menghadapi situasi ketidakstabilan politik yang berpanjangan. Bukan itu sahaja, negara ketika itu juga menghadapi krisis kesihatan COVID-19 yang telah menyebabkan angka kematian sebanyak 36, 387 orang (Portal Kementerian Kesihatan) dan kejatuhan ekonomi yang diburukan lagi oleh peperangan Rusia-Ukraine. Ini menyebabkan rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap kerajaan dan politikus yang hanya mementingkan kuasa daripada good governance (tadbir urus negara yang baik). Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akhirnya membuat kesimpulan dan bertitah bahawa senario tersebut sebagai “Hanya merugikan negara.” di akhir pemerintahan baginda sebagai YDPA. Di samping itu, semasa era baginda juga memperlihatkan begitu banyak peruntukan negara dibelanjakan bagi menjalankan pilihan raya hanya untuk melantik wakil rakyat.

            Saya masih ingat lagi ketika menuntut di universiti yakni ketika negara sedang menghadapi era ketidakstabilan politik yang tidak pernah lagi berlaku sebelum ini, rakyat yang ketika itu tidak boleh keluar dari kediaman masing-masing seolah-olah ternanti-nanti apakah langkah seterusnya yang akan diambil YDPA untuk menyelesaikan isu tersebut. Sebagai seorang mahasiswa Sains Politik, sudah tentu ia menjadi peristiwa yang amat mengujakan kerana saya seolah-olah sedang menonton drama political-thriller secara langsung. Kepimpinan seorang Ketua Negara menjadi tumpuan dan pada masa yang sama menjadi tanggungjawab yang paling berat buat baginda. Buat ke sekian kalinya, ideologi negara ini bercanggah antara “Demokrasi Berparlimen” dan “Raja Berperlembagaan.” 

            Ketidakstabilan politik ketika era pandemik COVID-19 ini juga dihadapi oleh Mendiang Ratu Elizabeth ketika berlakunya pergolakan dalam Parti Konservatif pada tahun 2022 di mana baginda telah melantik tiga Perdana Menteri dalam masa empat tahun sahaja. Dalam membincangkan isu ini, Shad Saleem Faruqi (2022) memerihalkan tentang bagaiamana ketidakstabilan politik menyebabkan pengaruh dan kuasa seorang Raja atau Ketua Negara sangat diperlukan dalam memastikan keharmonian negara tetap terjaga. Di United Kingdom, sama seperti di Malaysia, walaupun pemerintahan Raja hanyalah bersifat simbolik sahaja namun terdapat satu fungsi utama mereka dalam peruntukan undang-undang iaitu pelantikan seorang Perdana Menteri agar Jemaah Menteri boleh dibentuk bagi menjalankan fungsinya dalam pentadbiran negara di samping membina polisi awam yang menjaga kepentingan rakyat.  

            Walau bagaimanapun, pelantikan Perdana Menteri bukanlah semata-mata pilihan baginda tetapi syarat kelayakan adalah sekiranya calon Perdana Menteri itu diyakini mempunyai sokongan majoriti dalam Parlimen. Pelantikani bukanlah sesuatu yang janggal kerana sejak awal kemerdekaan negara ini, parti Barisan Nasional (BN) sentiasa mendominasi majoriti dalam Parlimen dan Presiden Parti dijangka akan menjadi calon Perdana Menteri. Namun setelah peristiwa Pilihan Raya Umum ke-14, Langkah Sheraton sehinggalah kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan tiada lagi pengukuhan kedudukan sebegini dan memerlukan tolak ansur antara Ahli Parlimen serta kebijaksanaan YDPA dalam melantik seorang Ketua Kerajaan. Tambahan pula, menurut YAM Raja Azlan Shah (2004), calon yang akan dicadangkan parti juga mengambil kira keserasian dan persetujuan Raja bagi memastikan kelancaran pelantikan.

            Perkara ini berlaku ketika pelantikan Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-7 selepas Pakatan Harapan berjaya memenangi PRU-14. Sultan Muhammad V ketika itu dilihat melambat-lambatkan pelantikan Perdana Menteri kerana parti yang memenangi majoriti ketika itu adalah Parti Keadilan Rakyat (PKR) (Presiden Parti ialah Wan Azizah) dan bukannya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) (Presiden Parti ketika itu Mahathir Mohamad) (Shad Saleem Faruqi 2022). Malah ia terbukti bahawa sekalipun YDPA melantik seorang Perdana Menteri yang pada hemat Baginda mempunyai kepercayaan dalam Dewan Rakyat namun kerajaan yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin tetap runtuh dan terpaksa mewujudkan sebuah kerajaan yang baru di bawah Ismail Sabri.  Walau bagaimanapun, kekentalan baginda patut diteladani dan disanjungi kerana berjaya menyelesaikan pergolakan ini dengan aman.

Sultan Abdullah dalam sebuah wawancara bertajuk “Naskah Diraja: 5 Tahun Pemerintahan Al-Sultan Abdullah” menyoroti saat baginda dilantik sebagai YDPA selepas 15 hari sahaja menaiki takhta sebagai Sultan Pahang ekoran perletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai YDPA ke-15. Ia merupakan saat yang paling mencabar buat baginda yang dirasakan ketika itu kurang berpengalaman dalam pentadbiran negeri mahupun negara. Sungguhpun begitu, baginda berjaya mengharunginya dengan banyak berbincang dengan Majlis Raja-Raja, banyak bertanya dan membaca serta berjanji kepada rakyat yang baginda akan cuba menyelesaikan isu ini dengan sebaik mungkin. Penting untuk kita ketengahkan sikap baginda yang tidak terburu-buru dalam membuat keputsan yang sangat penting ini apabila mengambil tindakan “extra-parliamentary” dengan mewawancara setiap 222 orang Ahli Parlimen dalam menentukan kelayakan seorang Ketua Kerajaan serta menggalakan ukhuwah antara parti politik dalam membina kerajaan perpaduan (Abdul Rahman Putra & Zulharry Abdul Rashid 2024).

MONARCHS ABOVE POLITICS

Menyedari hakikat ini, maka timbullah konsep “Monarchs above politics” (Raja di atas politik) yang bermakna pemisahan antara Raja daripada hal ehwal politik. Konsep ini timbul dalam jurnal bertajuk “The Monarchy and Politics” yang ditulis oleh Asif Hameed (2016) iaitu patutkah monarki menjadi neutral atau dibenarkan untuk mengeluarkan pandangan mereka serta mencampuri hal politik? Hal ini dikatakan demikian kerana Perdana Menteri dan perwakilan dalam Parlimen merupakan pilihan rakyat sedangkan Raja merupakan jawatan yang diwarisi dalam keluarga diraja.

Bagi menjawab persoalan ini, Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor ada menghadiri sesi podcastKeluar Sekejap” yang membincangkan lebih lanjut tentang fungsi Institusi Diraja dan konsep “Monarchs above politics.” Titah baginda, baginda juga merupakan rakyat Malaysia yang biasa dan boleh melontarkan pandangan dalam politik. Tambahan pula, Tunku Ismail menjelaskan bahawa Institusi Diraja merupakan salah satu elemen “check and balance” (semak dan imbang) dalam kerajaan dalam membuat sebarang keputusan. Walaupun Institusi Diraja tidak dinyatakan fungsi ini secara terus di dalam Perlembagaan Persekutuan kerana ia dijalankan oleh Pembangkang dan tiga badan Eksekutif, Lesgilatif dan Kehakiman dalam meminda sesuatu perundangan, namun apa yang ingin disampaikan oleh baginda ini boleh ditafsirkan hanya apabila berlaku sebarang ketidakaturan, negara ini sangat memerlukan campur tangan Istana untuk mencari alternatif dan penyelesaian ataupun setidak-tidaknya memberikan titah untuk mempengaruhi tindakan kerajaan dan ahli politik supaya tadbir urus negara yang baik dapat diteruskan.

Perkara ini telah dirungkaikan oleh Shad Saleem Faruqi (2022) dalam artikelnya yang bertajuk “Political Instability and Enhanced Monarchy in Malaysia” di mana Raja-Raja dan Sultan mempunyai beberapa rizab dan kuasa sedia ada, prerogatif dan bukan berkanun yang boleh dilaksanakan dalam keadaan tertentu. Ini telah pun bermula ketika peristiwa hitam dalam sejarah Malaysia iaitu peristiwa Rusuhan Kaum 13 Mei 1969 dan seterusnya semakin menyerlah lagi selepas tahun 2020 apabila negara ini dilanda pandemik COVID-19 dan kekacauan politik.  

Sekalipun negara ini semakin memulih dari segi ekonomi, keamanan dan kestabilan pasca pandemik COVID-19 namun ahli politik seolah-olah masih tidak sedar lagi apabila timbulnya ura-ura untuk menjatuhkan kerajaan. Perkara ini timbul apabila wujudnya khabar angin mengenai gerakan Langkah Dubai. Berikutan hal ini, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim yang merupakan bakal Yang Di-Pertuan Agong ketika itu banyak melakukan pertemuan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta Menteri bagi menunjukkan sinergi antara bakal Ketua Negara dan kepimpinan kerajaan.

Tambahan pula, Baginda ada bertitah agar memberikan peluang kepada Anwar Ibrahim untuk membuktikan dirinya dengan menyatakan bahawa dan tidak mungkin Anwar mampu membuat perubahan mendadak dalam tempoh setahun. Baginda sedia untuk memberikan sokongan kepada kerajaan namun jika mereka melakukan sesuatu yang tidak wajar, Baginda akan memberitahu mereka (Astro Awani 2023). Menyedari bahawa kerajaan sedia ada sedang digugat oleh mush politik dan boleh membawa kepada ketidakstabilan politik yang akan merugikan negara, Baginda telah memberikan isyarat tegas kepada rakyat untuk memberikan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

Di samping itu, sebelum dimahsyurkan sebagai Yang Di-Pertuan Agong lagi, Sultan Ibrahim telah pun memberikan fokus kepada agenda memerangi rasuah di negara ini yang bukan sahaja penjawat awam malah kepada tokoh korporat atau ahli-ahli politik tanpa mengira peringkat umur. Dalam sebuah wawancara bersama The Straits Times Singapura, Baginda bertitah bahawa;

“Daripada moyang saya, kami adalah pemburu yang hebat. Saya akan pastikan apabila saya pergi memburu, saya membawa balik hasil yang bagus. Tetapi apabila saya di Kuala Lumpur nanti, ia adalah hutan konkrit, jadi apa yang saya buru? Saya akan memburu semua orang yang korup.(Sinar Harian 2023).

Titah baginda ini juga disusuli oleh cadangan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaporkan secara terus kepada Yang Di-Pertuan Agong dan bukannya kepada Parlimen. Ini juga termasuklah cadangan supaya pelantikan kehakiman mesti diasingkan daripada badan Ekesekutif bagi memastikan negara benar-benar bersih rasuah. Bagi menyambut titah tersebut, Anwar Ibrahim mengatakan bahawa cadangan baginda ini boleh dibincangkan dan ia tidak akan menggugat kuasa dan peruntukan dalam Perlemabgaan Negara. Hal ini dikatakan demikian kerana walaupun SPRM melapor terus kepada YDPA, baginda hanya boleh menjalankan fungsi mengikut apa yang telah digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan. Ini menunjukkan bagaimana Sultan Ibrahim begitu komited dalam memastikan pembangunan negara terus maju dan dipandu oleh perwakilan yang betul-betul bersih dari rasuah serta layak untuk memerintah.

Bukan itu sahaja, selain daripada pembanterasan isu korupsi, Sultan Ibrahim juga mengemukakan visi pemerintahan baginda adalah untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi di mana baginda sendiri yang akan meneliti perbelanjaan kerajaan dan menyokong hasrat kerajaan untuk mengambil langkah penjimatan yang drastik. Ini termasuklah pelaksanakan pemberian subsidi secara bersasar. Baginda juga berhasrat unyuk melihat kerajaan akan berjaya memperoleh lebihan fiskal setiap tahun sepanjang tempoh pemerintahan baginda.

Di samping itu, penting untuk kita ketengahkan hasrat Sultan Ibrahim yang amat mengutamakan isu tuntutan Batu Puteh. Tidak lama setelah pelantikan baginda sebagai YDPA, baginda telah menerima mengadap Ahli-ahli Pesuruhjaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Istana Negara. Suruhanjaya ini adalah bertujuan untuk mengkaji semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang telah memutuskan bahawa Singapura mempunyai hak ke atas Batu Puteh dan hak milik Tubir Selatan kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya. Visi baginda ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan malah ia sudah dijangka ekoran kelantaran baginda dalam menyuarakan pandangan demi keamanan dan kelancaran pentadbiran negara.

Apa yang dapat disimpulkan di sini adalah konsep “Monarchs above Politics” didefinisikan sebagai walaupun Institusi Diraja mestilah terpisah daripada politik, tidak boleh menyebelahi mana-mana parti dan bertindak mengikut lunas perundangan negara namun dalam keadaan yang tertentu, baginda dibenarkan untuk melontarkan pandangan atau bertindak mengikut kebijaksanaan dan budi bicara baginda sekiranya berlaku perkara di luar jangka demi menjaga kestabilan negara.

Picture of Jeehan Fahira

Jeehan Fahira

Beliau merupakan Kolumnis Ajar Demokrasi dan Graduan Sarjana Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Artikel Lain

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *