PEMILU 2024 – Potensi Besar Indonesia Pasca Pemerintahan Joko Widodo

Share This Post

Indonesia, sebuah negara yang sedang berkembang dengan potensi ekonomi, diramalkan akan menjadi salah sebuah kuasa besar dunia dalam masa terdekat, bersaing erat dengan Amerika Syarikat, China, dan India. Dengan jumlah penduduk yang mencecah 260 juta orang dan KDNK tahunan sebanyak US$1 trilion, Indonesia memiliki kelebihan tersendiri dalam memajukan ekonominya melalui sektor-sektor seperti digital, perniagaan, keusahawanan, dan perdagangan. Indonesia telah mengambil langkah strategik melalui National Medium Term Development Republic Indonesia 2020-2024, yang memberi tumpuan kepada industri 4.0 terutama dalam sektor makanan, tekstil, automotif, barangan elektrik, dan farmaseutikal. Keinginan Indonesia untuk menggerakkan perniagaan secara dalam talian melalui inisiatif Micro, Small and Medium Enterprise (MSMEs) Go Online menjadi petunjuk bagi mempercepat kemajuan perniagaan di dalam dan luar negara.

Bekas Presiden, Joko Widodo menjangkakan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.2% menjelang tahun 2024, dengan mempertimbangkan potensi ekonomi serta risiko yang wujud, dan usaha pemulihan pasca pandemik COVID-19. Kenyataan ini dikeluarkan semasa beliau menyampaikan ucapan belanjawannya yang terakhir pada Ogos 2023 kerana memberi laluan untuk pemilihan Umum Presiden Indonesia 2024 (PILPRES 2024) yang bakal berlangsung selepas beliau mentadbir negara selama dua penggal atau 10 tahun. Pada masa ini, pertumbuhan ekonomi Indonesia tetap kukuh walaupun dalam keadaan ketidakpastian ekonomi global dan pasca pandemik COVID-19.

Menurut Badan Pusat Statistik Indonesia, pertumbuhan ekonomi pada suku ketiga tahun 2023 mengekalkan ketahanannya sebanyak 4.94%, meskipun ia berkembang lebih perlahan berbanding suku tahun sebelumnya yang mencapai 5.17%. Ini membuktikan bahawa kemajuan ekonomi Indonesia tetap positif menjelang Pilihan Raya Umum Indonesia 2024 (PEMILU 2024) yang bakal berlangsung pada 14 Februari 2024. Kejayaan ini perlu diteruskan dan berkait rapat dengan pemilihan Presiden Indonesia yang akan datang, kerana ia akan membentuk hala tuju ekonomi Indonesia dan menempatkannya sejajar dengan kuasa-kuasa besar lain seperti Amerika Syarikat dan China.

Pemilu Februari 2024: Penentu Masa Hadapan Indonesia

Masa hadapan yang cerah bergantung pada pemimpin yang dipilih oleh rakyat. Begitu hakikat demokrasi yang kita hadapi di kebanyakan negara. Rakyat Indonesia akan memberi mandat kepada pemimpin mereka, bermula dari Presiden, Wakil Presiden, Ahli Dewan Perwakilan (Negeri, Daerah & Bandar), hingga Ahli Dewan Perwakilan Daerah (DPD), pada 14 Februari 2024. Ia bukan sahaja menjadi satu peristiwa demokrasi yang dinantikan oleh rakyat Indonesia, malah turut menarik perhatian pengamat politik antarabangsa.

Mengikut portal Bijak Memilih, kira-kira 107 juta pengundi PEMILU 2024 terdiri daripada golongan muda, menyumbang sebanyak 52% daripada jumlah pengundi keseluruhan. Tiga sesi Debat Pemilihan Presiden (PILPRES 2024) telah diadakan pada 12 Disember 2023 (Debat CAPRES), 22 Disember 2023 (Debat CAWAPRES), dan 7 Januari 2024 (Debat CAPRES). Debat-debat ini memberi tumpuan kepada isu-isu yang penting dalam kalangan rakyat Indonesia seperti kos sara hidup, hak asasi manusia, pertahanan, korupsi, dasar luar, dan strategi pembangunan ekonomi untuk masa depan yang lebih baik. Keterbukaan Indonesia dalam membincangkan isu-isu semasa di lapangan umum menjadi satu ciri yang patut dikagumi. Setiap calon Presiden (CAPRES) diberikan peluang untuk menonjolkan idealisme dan pendirian mereka berdasarkan kemampuan masing-masing.

Dalam PEMILU 2024 ini, rakyat Indonesia akan memilih di antara calon Presiden (CAPRES) seperti Prabowo Subianto, Anies Baswedan, dan Ganjar Pranowo, yang masing-masing memiliki pengalaman sebagai Jeneral Tentera, Gabenor Jakarta, dan Gabenor Jawa Tengah. Walaupun sebelum ini mereka bekerja dalam satu pemerintahan, namun kini mereka bersaing untuk menduduki jawatan Presiden Indonesia. Dalam politik, segala-galanya boleh berubah tanpa mengira logik. Mereka tidak bersendirian dalam kempen mereka. Calon Presiden (CAPRES) akan dibantu oleh Calon Wakil Presiden (CAWAPRES), membentuk pasangan dari pelbagai parti yang membentuk aliansi untuk menamakan calon Presiden (CAPRES) dan Calon Wakil Presiden (CAWAPRES).

Sebagai contoh, Prabowo Subianto, berpasangan dengan Gibran Rakabuming, anak mantan Presiden Joko Widodo. Manakala, pasangan untuk Ganjar Pranowo adalah Mahfud MD, dan Anies Baswedan berpasangan dengan Muhaimin Iskandar, yang pernah menjadi Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi pada tahun 2019 serta Ketua Umum PKB. Keterlibatan dan pengalaman mereka dalam politik dan pentadbiran negara memberikan pilihan alternatif kepada rakyat Indonesia untuk menilai secara teliti sebelum membuat keputusan mengenai pemimpin mereka yang akan datang.

Potensi Dan Peluang Indonesia Pasca Pemilu

Gibran Rakabuming, yang merupakan calon termuda pada usia 36 tahun dan mengetuai Surakarta sebagai Wali Kota, memberikan nilai tambah kepada pasangan ini. Aura mantan Presiden Joko Widodo, yang selalu dikaitkan dengan kejayaannya membawa Indonesia ke tahap sebagai kuasa ekonomi besar dunia, turut menjadi faktor yang perlu diambil kira. Pasangan Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming dianggap mendahului dalam kempen ini menurut kebanyakan survei yang dijalankan oleh badan pemikir tempatan dan antarabangsa. Selain itu, aspirasi dan naratif pasangan ini lebih condong ke arah meneruskan polisi dan dasar kerajaan sebelum ini berbanding dengan calon yang lain, terutama pasangan Anies Baswedan dan Muhaimin Iskandar.

Mereka menitikberatkan isu-isu kritikal seperti peningkatan tahap kehidupan rakyat dan pemeliharaan golongan berpendapatan rendah. Anies Baswedan juga menonjolkan isu akses pendidikan dan makanan yang mencukupi dan berkualiti di seluruh Indonesia. Perbezaan Anies dengan calon yang lain adalah pendekatan intelektual yang diperlihatkan semasa berkempen dan berdebat. Beliau juga tidak memberi tumpuan kepada projek mega seperti pertukaran ibu kota dari Jakarta ke Kalimantan, kerana menurutnya, dana sedia ada harus diurus dengan baik untuk meningkatkan taraf kehidupan masyarakat rentan. Pendekatan ini juga diterima oleh lawannya, Ganjar Pranowo, dalam debat-debat dan kempen mereka.

Bagi Ganjar Pranowo dan pasangannya, Mahfud MD, mereka melihat peluang ekonomi Indonesia yang lebih luas bergantung pada bagaimana Indonesia memanfaatkan ekonomi digital dan sektor pembuatan untuk mempercepat proses industrialisasi dan perdagangan dengan efisien. Pendekatan inklusif mereka dalam aspek ekonomi ini menunjukkan kesamaan dengan calon Presiden yang lain. Hal ini memberi gambaran bahawa peluang Indonesia untuk bersaing setara dengan negara-negara seperti Amerika Syarikat dan China dalam aspek ekonomi harus diusahakan tanpa mengira keadaan. Selain isu ekonomi, isu rasuah juga menjadi fokus bagi calon-calon Presiden dalam menyatakan aspirasi mereka untuk membanteras masalah ini di semua lapisan masyarakat, terutamanya di Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK), Polis, dan Kehakiman di sana.

Sebenarnya, masa depan Indonesia dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang bergantung pada pilihan rakyat Indonesia dalam PEMILU 2024 yang semakin hampir. Kita sedar bahawa calon-calon yang bertanding nampaknya mempunyai potensi dan pengalaman yang cukup luas untuk diangkat sebagai pemimpin, tetapi persoalannya sekarang adalah bagaimana strategi mereka untuk meyakinkan pengundi yang berasal daripada pelbagai lapisan masyarakat dan aliran untuk memilih mereka sebagai pemimpin. Pada kesimpulannya, hala tuju ekonomi Indonesia menjadi satu isu yang penting untuk dibincangkan bagi menggali potensi Indonesia pada masa depan serta memastikan pulangan ekonomi, pelaburan, aktiviti eksport & import, dan digitalisasi dapat bergerak ke hadapan dengan lebih cemerlang.

Luthfi Yusri merupakan seorang Pegawai Penyelidik di Nusantara Academy of Strategic Research (NASR) dan merupakan peminat tegar Liverpool FC

Artikel asal diterbitkan juga di https://mynasr.com/2024/02/01/pemilu-2024-indonesia-dan-perjalanan-ke-puncak-kuasa-dunia/

Picture of Luthfi Yusri

Luthfi Yusri

Beliau merupakan seorang Pegawai Penyelidik di Nusantara Academy for Strategic Research (NASR) dan peminat tegar pasukan Liverpool FC

Artikel Lain

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *