Pengeluaran KWSP : Populis atau Mustahak?

Share This Post

Baru-baru ini, kerajaan telah pun mengumumkan pengeluaran wang simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000. Di sebelah sini kedengaran bunyi beduk diketuk, manakala di sebelah sana tidak kurang kuatnya bunyi gong bergema. Ertinya, banyak perbahasan dan pandangan yang berbeza dalam hal pengeluaran wang KWSP ini.

Terdapat dua persoalan yang timbul. Pertama, bagaimanakah dengan pencarum yang memiliki simpanan atau jumlah carumannya tidak mencapai sehingga RM10,000? Kedua, bagaimanakah pula dengan mereka yang telah habis simpanannya kerana telah pun dikeluarkan sebelumnya?

Pengeluaran wang KWSP kali ini merupakan pengeluaran yang keempat setelah beberapa siri pengeluaran dilaksanakan sebelum ini, bermula dengan i-Lestari dan i-Sinar pada tahun 2020, diikuti dengan i-Citra pada tahun 2021, dan yang terkini, pada tahun 2022, siri pengeluaran wang KWSP yang dikatakan ‘mungkin’ menjadi pengeluaran yang terakhir.

Bagi persoalan pertama dan kedua, golongan ini mungkin tidak mendapat manfaat daripada kemudahan yang telah diumumkan oleh kerajaan. Bantuan daripada kerajaan atau jabatan kebajikan pun barangkali hanyalah cukup-cukup makan, sekadar dapat melunaskan keperluan mustahak namun tidak dalam jangka masa yang panjang. Justeru itu, bagaimanakah kerajaan dapat membantu golongan ini yang hakikatnya turut sama memerlukan bantuan kewangan untuk memenuhi tuntutan sara diri dan keluarga?

Sekitar September 2020, rekod melaporkan bahawa sekitar 54% pencarum yang berumur 54 tahun dan ke bawah menyimpan kurang daripada RM50,000 untuk simpanan persaraan mereka. Seterusnya, laporan daripada KWSP menyatakan bahawa kira-kira 48% iaitu seramai 6.1 juta pencarum yang berusia kurang daripada 55 tahun hanya mempunyai simpanan sebanyak RM10,000 ke bawah untuk tempoh selepas persaraan kelak. Manakala setakat Disember 2021, sekitar 2.6 juta pencarum direkodkan mempunyai simpanan kritikal dan amat rendah iaitu kurang daripada RM1,000.

Jumlah ini merekodkan peningkatan yang begitu ketara. Misalnya, pada April 2020, hanya 1.4 juta pencarum yang memiliki simpanan kurang daripada RM1,000. Namun, berbanding tempoh sebelum COVID-19, peratusan ini kemudiannya meningkat sebanyak 86% apabila jumlah pencarum yang simpanannya kurang daripada RM1,000 bertambah kepada 2.6 juta pencarum.

Justeru, jika dilihat pada keadaan semasa, situasi ini amat membimbangkan. Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menyatakan hanya sekitar 3.0% rakyat Malaysia yang berada dalam jangkaan mampu bersara dalam keadaan yang selesa.

Saya pasti ramai antara kita yang sangat meraikan pengeluaran wang KWSP RM10,000 ini untuk membantu kelangsungan hidup rakyat pasca pandemik. Namun, adalah lebih baik sekiranya pengumuman tersebut turut disertakan dengan idea-idea mahupun cadangan kerajaan mengenai pelan pemulihan untuk menstabilkan semula simpanan pencarum pada masa hadapan.

Asasnya, simpanan KWSP adalah bertujuan untuk mencapai kelestarian hidup selepas persaraan. Justeru, sekiranya wang simpanan terpaksa dikeluarkan, maka apakah lagi jaminan kecukupan untuk tempoh selepas persaraan nanti? Rakyat sudah tentu akan terdedah dengan risiko kemiskinan pada usia tua.

Apabila kehidupan rakyat persis seperti telur dihujung tanduk, terutamanya setelah melalui waktu-waktu yang sukar sepanjang pandemik, kita sangat mengerti desakan mereka terhadap pengeluaran wang simpanan demi beberapa suap makanan terhadap isi rumah, hutang yang perlu dilunaskan, pendidikan anak-anak yang perlu dibiayai, serta pembangunan semula ekonomi atau perniagaan yang baru sahaja hendak kembali bernafas.

Rakyat tiada pilihan selain daripada terpaksa mengeluarkan wang tabungan persaraan mereka demi sedikit kelegaan.

Namun begitu, ada kesan-kesan yang perlu ditanggung oleh rakyat sendiri. Pertama, kemungkinan besar untuk berhadapan dengan baki simpanan yang tidak mencukupi untuk persaraan. Kedua, pencarum umpamanya perlu bekerja tambahan selama beberapa tahun untuk menampung semula wang yang telah dikeluarkan.

Is Malaysia equipped enough to handle the aging society?

Tahun 2021, dinyatakan bahawa sasaran simpanan minimum KWSP ditetapkan berjumlah RM240,000. Namun, hanya sekitar 54% daripada pencarum berumur 55 tahun ke bawah mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 untuk persaraan mereka.

Untuk makluman, KWSP menyatakan anggaran perbelanjaan sekitar tahun 2019 untuk pasangan warga emas biasa di Lembah Klang ialah RM3,090 sebulan atau RM1,545 setiap seorang. Jadinya, setiap warga emas memerlukan sekitar RM18,540 setahun atau RM185,400 untuk 10 tahun akan datang. Sebanyak RM370,800 diperlukan untuk 20 tahun akan datang bagi memastikan persaraan yang selesa, terutamanya bagi penduduk di sekitar Lembah Klang.

Sekarang sudah pun menginjak ke tahun 2022. Kos sara hidup kian meningkat dan membebankan, malangnya kadar gaji masih juga tidak berganjak.

Tidak dinafikan skim-skim bantuan seperti i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan KWSP ini menjadi talian hayat untuk membantu rakyat meneruskan kelangsungan pada saat getir, tetapi persoalannya, adakah baki pengeluaran akan cukup untuk persaraan mereka nanti?

Skim dan dasar persaraan yang tersedia pada hari ini mungkin masih belum mencukupi untuk menjadi sistem perlindungan sosial yang mampan bagi hari-hari selepas persaraan. Laporan daripada Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) menyatakan bahawa bagi kebanyakan penduduk di Malaysia, keperluan asas pada usia tua masih tidak dapat ditampung melalui pendapatan pencen mahupun simpanan persaraan.

Ada beberapa idea yang boleh diketengahkan untuk menambahbaik permasalahan ini. Antaranya, mengambil contoh sepertimana yang dilakukan di Sepanyol, Portugal, Australia dan New Zealand – kerajaannya memberikan akses terhadap pengeluaran tabung persaraan, namun kebanyakannya bersyarat, dan aksesnya tidak terbuka kepada semua. Dalam hal ini, Malaysia mungkin boleh melakukan hal yang sama. Beri akses pengeluaran kepada yang melepasi piawaian jumlah simpanan semasa, manakala bagi yang tidak, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyalurkan bantuan lain yang kelihatan serupa tetapi lebih komprehensif.

Selain daripada itu, menaikkan kadar gaji minima juga boleh menjadi satu langkah yang baik untuk menampung semula simpanan pencarum. Apabila ada kenaikan pada gaji, maka pencarum akan dapat menyumbang kepada akaun mereka dalam jumlah yang lebih selesa.

Melihatkan kepada krisis tabung persaraan yang terpaksa menjadi taruhan, maka sedarlah kita bahawa pembaharuan terhadap sistem pencen sedia ada, penelitian semula terhadap sistem keselamatan sosial negara, serta pencen insurans sosial seperti yang pernah dicadangkan oleh KRI.

Our retirement schemes and policies available today may not still be able to fully provide a comfortable life for the aging society.

Picture of Sofiya Tamizi

Sofiya Tamizi

Sofiya Tamizi merupakan mantan Editor Nadi Mahasiswa Malaysia. Sekarang ini beliau bertugas sebagai Pegawai Penyelidik Parlimen untuk salah seorang ahli Parlimen Pembangkang

Artikel Lain

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *