Negeri Johor Darul Takzim terletak paling selatan Semenanjung Malaysia dan mempunyai 54.67 peratus pengundi Melayu, 37.58 peratus pengundi etnik Cina, 6.52 peratus pengundi etnik India dan 1.24 peratus adalah daripada etnik lain. Politik pilihan raya di Negeri Johor menarik untuk dikaji polanya kerana negara ini mempunyai segmen pengundi yang agak seimbang dari segi komposisi etnik, lokasi geografi dan latar belakang sosioekonomi. Apa yang menarik tentang politik di negeri ini ialah ia menjadi negeri kelahiran UMNO pada 11 Mei 1946 serta dikatakan sebagai kubu paling kuat UMNO di Semenanjung Malaysia sebelum tumbangnya BN buat pertama kali ketika Pilihan Raya Umum-14. Tambahan pula, negeri ini dikatakan bahawa parti selain BN hanya terbukti menguasai Putrajaya sekiranya dapat menawan Nusajaya dan ini dapat dibuktikan semasa PRU-14.
Walau bagaimanapun, setelah berlaku pertukaran kepimpinan kerajaan pusat, Johor seperti mana Melaka dan Sarawak mengalami kesan domino ekoran pertukaran tersebut. Pilihan raya negeri yang dijalankan secara rancak di Melaka, Sarawak dan Johor digunakan untuk menguatkan pengaruh mereka di negeri-negeri yang tumbang kerajaannya agar dapat memberikan keyakinan kepada mereka (sekiranya mereka berterusan menang) untuk menawan Putrajaya secara sah iaitu melalui pilihan raya umum akan datang. Oleh hal yang demikian, berbunyilah desas-desus mengenai PRU-15 akan dijalankan secepat mungkin seraya PRN Johor ke-15 ini dijalankan.
PELAKSANAAN PENDAFTARAN AUTOMATIK PENGUNDI MUDA DAN POTENSI KEMENANGAN 2/3 BARISAN NASIONAL DALAM PRN JOHOR
Apa yang menarik mengenai PRN Johor kali ini ialah sebanyak 2.57 juta pengundi yang layak mengundi pada 12 Mac berbanding seramai 1.82 juta pengundi pada PRU-14 lepas menunjukkan peningkatan pengundi baru susulan pendafataran automatik pengundi seawal umur 18 tahun hingga 21 tahun. Buat pertama kali bagi Malaysia, Undi18 diimplementasikan melalui pesta demokrasi ini. Mengikut rekod, kira-kira 750,000 jumlah pengundi baru yang akan mengundi serta dikatakan satu DUN sekurang-kurangnya ada pertambahan 6,000 pengundi baru.
Persoalannya di sini, adakah kejayaan BN semasa PRN Melaka akan berulang kembali? Dalam menjawab soalan ini, politik di negeri ini tidaklah sama seperti negeri-negeri lain ekoran keunikan pola pengundiannya yang tersendiri. Mohamad Hasan, Timbalan Pengerusi BN mengatakan bahawa kawasan di Melaka tidak seluas seperti di Johor selain perlu mengambil kira soal taburan penduduk. Sebanyak 23 kerusi daripada 28 kerusi di Melaka ialah majoiti Melayu tetapi taburan penduduk itu ada pelbagai kaum di setiap DUN. Terkini, Zahid Hamidi, Presiden UMNO mengatakan bahawa target mereka untuk PRN kali ini ialah untuk melepasi 29 kerusi iaitu majoriti minimum untuk membentuk kerajaan negeri dan jika keputusan melebihi jumlah tersebut, ia adalah bonus.
Di samping itu, faktor seperti pengaruh “Abah” yang mewakili PN yang dikatakan kuat di Johor berbanding di Melaka, walaupun belum lagi dibuktikan dilihat menjadi saingan segit bagi BN dan PH. Hal ini dikatakan demikian kerana beliau sudah berdekad-dekad lamanya menyandang jawatan sebagai Ahli Parlimen Pagoh dan ADUN Gambir dan Bukit Serampang di samping perkhidmatannya sebagai bekas Perdana Menteri kelapan. Elemen seperti ini menjadikan bahawa pengaruhnya kuat di Johor. Faktor penentu lain dalam menentukan kemenangan sesebuah parti juga termasuklah pertumbuhan pengundi baru yang berusia seawal 18 tahun. Sekalipun mereka dikatakan mereka dikatakan sebagai pengundi yang masih belum matang dalam menentukan keputusan demokratik negara dan lebih terpengaruh trend sentimen politik di media sosial, mengikut Dr. Jamaie Hamil, pensyarah politik Universiti Kebangsaan Malaysia, pengundi muda disifatkan sebagai anti-establishment ataupun anti kepada kerajaan yang sedang memerintah serta cenderung untuk memilih pembangkang dalam pilihan raya.
Kedua-dua variable ini kemudiannya diterjemahkan dalam kajian yang dikendalikan oleh Astro Awani dengan kerjasama Universiti Malaya mengenai PRN Johor mendapati hampir separuh iaitu 49.9 peratus daripada responden muda menjadikan BN sebagai pilihan mereka diikuti PN (17.2 peratus) dan PH (12.2 peratus). Ini secara mudah menunjukkan PN menjadi saingan yang kuat kepada BN dan PH. Bukan itu sahaja, sekalipun parti MUDA yang cuba meraih sokongan pengundi muda hanyalah berjaya mendapat undi 5.9 peratus sahaja daripada responden. Dapatan ini juga bertentangan dengan pendapat Dr. Jamaie mengenai pengundi muda sekalipun ia masih belum dibuktikan dalam keputusan PRN Johor yang bakal diumumkan nanti.
Bercakap mengenai saingan, PRN Johor kali ini menyaksikan saingan sengit melibatkan beberapa pemimpin utama parti iaitu bekas Menteri Besar, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri, bekas Exco Kerajaan Negeri dan pimpinan tertinggi parti di 17 kawasan DUN di Bukit Kepong, Machap, Kempas, Larkin dan Benut. Sebagai contoh, pertandingan di Bukit Kepong melibatkan bekas Menteri Besar, Sahruddin Jamal (PN) dan bekas ADUN Bukit Serampang, Ismail Mohamed (BN). Kerusi N26 Machap pula mempertandingkan Ketua Pejuang Johor, Sharuddin Md. Salleh (Pejuang) dan bekas Exco Onn Hafiz Ghazi (BN).
Di Kempas pula melibatkan Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis Maharan (PKR) dan anak bekas Menteri Besar Osman Sapian, Nornekman Osman (Pejuang) di samping ia merupakan pertandingan tujuh penjuru yang melibatkan tiga calon bebas. Selain itu, kerusi yang menarik perhatian pengundi ialah Benut yang mempertandingkan calon Menteri Besar BN Hasni Mohammad, Ahli Dewan Negara, Isa Ab Hamid (PN) dan Ahli Majlis Pimpinan PKR Johor, Hanif @ Ghazali Hosman (PKR). Sementara itu, beberapa kerusi turut menjadi perhatian apabila penyandangnya sebelum ini mendapat majority kurang daripada 1,000 undi iaitu Pemanis, Sungai Balang, Semerah, Parti Raja, Senggarang, Layang-layang, Paloh dan Kukup.
KECENDERUNGAN PENGUNDI MELAYU DAN ISU FELDA
Dalam membicarakan latar belakang politik di Johor, pra PRU-14 menunjukkan orang Melayu lebih cenderung memihak kepada parti kerajaan manakala pengundi Cina lebih memihak kepada parti pembangkang. Perkara ini berlaku sedemikian kerana pengundi Cina mempercayai bahawa pemangkang dapat menjadi alternatif di peringkat negeri dan pusat bagi memperjuangkan hak, keadilan sosial, ekonomi dan politik mereka tanpa mementingkan sesuatu kaum sahaja. Setelah PRU-14, kerajaan negeri Johor bertukar warna merah ekoran skandal korupsi dan rasuah pemimpin elit BN. Kemenangan ini dikatakan sangat mengejut kerana keputusan tersebut dikatakan sebagai protes senyap pengundi di atas pagar di samping tindakan pengundian saat-saat akhir pengundi muda sekalipun negeri ini menjadi “kubu kuat” Barisan Nasional di Semenanjung Malaysia.
Walau bagaimanapin, BN masih tetap menguasai kerusi pengundi FELDA yang dominan seperti Kota Tinggi, Pengerang, Sembrong dan Mersing disebabkan kesetiaan pengundi FELDA terhadap jasa kerajaan BN. PH pula menang dengan majoriti meningkat di kawasan bandar dan separa bandar serta kawasan campuran yang majoriti pengundinya ialah etnik Cina. Ini menunjukkan kawasan bandar lebih memihak kepada PH manakala kawasan luar bandar dan FELDA lebih memihak kepada Barisan Nasional. Oleh hal yang demikian, isu FELDA menjadi isu hangat yang diperdebatkan oleh pemimpin-pemimpin parti politik khususnya Muhyiddin Yassin (PN) vs Najib Razak (BN).
Isu FELDA ini lebih memberatkan aspek penghapusan hutang peneroka FELDA. Secara ringkasnya, PN menyatakan bahawa hutang peneroka FELDA dikatakan semakin meningkat saban tahun sehingga mencecah RM8.3 bilion. Dakwanya, ia merupakan hasil penyelewengan dan pengurusan BN yang teruk sehingga hutang penerokaan semula tanah meningkat dengan begitu tinggi. Oleh itu, mereka menawarkan diri untuk melangsaikan hutang tersebut sekiranya PN menjadi pilihan pengundi FELDA.
Walau bagaimanapun, dakwaan tersebut disangkal oleh Mohd Syes, anak peneroka FELDA Air Tawar 3 yang memberikan penerangan dengan lebih jelas mengenai proses hutang penerokaan semula tanah. Menurutnya, penanaman semula baru sahaja dilaksanakan sekali sahaja dan FELDA belum lagi mengenakan faedah bagi penanaman semula. Ini bertentangan dengan kenyataan Muhyiddin Yassin yang mengatakan bahawa hutang peneroka bertambah-tambah dengan begitu tinggi. Tambahan pula, terdapat beberapa kategori hutang peneroka iaitu (1) peneroka yang membuat tanaman semula dengan FELDA dan menerima wang sara hidup bulanan daripada FELDA serta (2) peneroka yang membuat tanaman semula tetapi tidak menerima wang sara hidup bulanan daripada FELDA.
Ini menunjukkan nilai hutang yang berbeza antara kedua-dua jenis hutang peneroka. Selain itu, terdapat penolakan nilai hutang daripada Tabungan Tanam Semula dan pembayaran Bayar Kembali Sementara (BKS) pada setiap tahun. Oleh disebabkan penolakan nilai daripada faktor itu, maka hutang keseluruhan keluarga FELDA hanyalah lebih kurang RM5.6 bilion sahaja. Tambahnya lagi, angka RM8.3 bilion ini timbul semasa zaman kerajaan PH yang mencetuskan kehairanan penduduk FELDA.
Isu FELDA ini tidaklah dikupas dengan begitu mendalam dan bukanlah ia bertujuan untuk memenangkan sesuatu pihak, cukuplah satu isu ini dikupas bagi menggambarkan bagaimana isu FELDA ini begitu hangat menjadi buah catur ahli politik dalam merebut pengaruh undi peneroka FELDA yang majoritinya orang Melayu. Disebabkan perpecahan politik Melayu sehingga melahirkan parti-parti dan faksi baru, undi Melayu menjadi begitu berharga untuk dilepaskan. Ini dibuktikan dalam manifesto Ikhtiar BN Johor dan Ikrar Nasional yang mengkhusukan kepada FELDA.
Antara manifesto utama BN ialah menyediakan sebanyak 3,200 lot rumah bagi generasi kedua atau kepada semua peneroka FELDA, melantik wakil Kerajaan Negeri dalam Lembaga FELDA serta menyelenggara jalan di kawasan FELDA dengan menyerahkannya kepada Kerajaan Negeri. Kesemua janji manifesto ini juga dipengaruhi oleh fakta bahawa FELDA merupakan deposit tetap BN. Bagi PN pula. Mereka berjanji untuk memperkukuh kerjasama kerajaan persekutuan dan FELDA serta menetapkan kadar premium tanah sebanyak RM1.00 kaki persegi bagi semua lot tanah yang diluluskan oleh kerajaan negeri.
ISU PEMBUKAAN SEMPADAN JOHOR-SINGAPURA
Antara isu lain yang hangat diperdebatkan di Johor ialah pembukaan sempadan Johor-Singapura. Pada awal Februari tahun ini, muncul cadangan dan desakan terhadap kerajaan untuk membuka sempadan negara ekoran fasa endemik mula diperkenalkan di seluruh dunia. Ini bermakna, rakyat Malaysia akan menjalankan aktiviti kehidupan seharian dengan SOP dan kekangan yang lebih longgar atau dalam erti kata lain “Hidup dengan pandemic COVID-19.” Ini dilaksanakan ekoran pembangunan ekonomi yang harus dirancakkan semula setelah implikasi teruk pandemik tersebut kepada ekonomi negara sejak tahun 2019. Tindakan ini bukan sahaja memberi peluang untuk meningkatkan ekonomi di Kelantan yang berdekatan dengan Thailand malah Johor yang ekonominya bergantung dengan Singapura juga. Dalam rekod, lebih kurang 300,000 orang warganegara yang kehilangan perkerjaan sejak penutupan sempadan dengan negara terbabit.
Walau bagaimanapun, pembukaan sempadan negara akan dibuka secara rasminya pada 1 April 2022 iaitu tarikh yang dikemudiankan daripada hari membuang undi PRN Johor ke-15 pada 12 Mac 2022. Isu ini bertiup dengan hangat dan menjadi buah catur ahli politik dalam berkempen. Hal ini dikatakan demikian kerana dianggarkan sejumlah 200,000 rakyat Johor yang tinggal di Singapura layak mengundi. Ini menyebabkan alternatif terbaik bagi mereka ialah melalui undi pos. Ini menjadikan undian mereka yang sebanyak itu menjadi rebutan parti politik dalam menawan negeri Selatan ini. Oleh itu, Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang mempersoalkan keputusan kerajaan tersebut dengan mengatakan bahawa sekiranya Perdana Menteri benar-benar yakin BN ada kekuatan untuk menang, apa beza buka sempadan dua minggu awal dengan tarikh yang telah diputuskan?
Kenyataan ini merujuk kepada jangkaan sekiranya jumlah undi pos atau undian pengundi luar rendah, maka ia menjadi salah satu idikator kemenangan BN di Johor. Jangkaan ini sama seperti peratusan keluar mengundi rendah maka kemenangan BN di Melaka berpotensi besar untuk berbuah dua kali. Walau bagaimanapun, dalam menyelar dakwaan kononnya kerajaan sengaja melewatkan pembukaan sempadan negara bagi menghalang kemasukan pengundi luar di Singapura, Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan mengatakan bahawa Singapura masih belum beredia membuka sepenuhnya sempadan mereka sekalipun pintu sempadan akan dibuka pada tarikh terbabit. Tambahnya lagi, pihak Singapura meminta tunggu dulu tarikh pembukaan sempadan darat Johor-Singapura menandakan sekalipun Malaysia sudah bersedia, Singapura masih belum lagi. Walaupun isu ini dipolitikkan oleh pihak oposisi mahupun perancangan strategik BN secara tersembunyi, kelewatan pembukaan sempadan Johor-Singapura menjadi “tuah” kepada BN dalam pilihan raya kali ini.
Secara kesimpulannya, walaupun isu-isu nasional diperdebatkan dan menjadi buah catur utama dalam sebuah pilihan raya tidak kira di peringkat nasional mahupun negeri seperti kos sara hidup rakyat, soal integriti pemimpin, kesihatan, peluang perkerjaan, pendidikan, kerajaan yang stabil, perumahan dan isu berkaitan kaum, namun isu-isu tempatan tidak boleh dikesampingkan sama sekali dan tidak menjadi penentu kepada kemenangan sesebuah parti. Tambahan pula, isu-isu semasa ini menjadi wajah utama kempen ahli-ahli politik dalam menawan hati pengundi seperti isu pendatang asing tanpa izin (PATI) semasa Pilihan Raya Negeri Sabah yang berjaya memenangkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Sebagai seorang pengundi yang bijak, isu-isu yang begitu dekat dengan kita perlulah kita analisis dan ikuti dalam melihat adakah ahli politik atau sesebuah kerajaan bijak mengendalikannya? Atau adakah isu yang sama yang basi diperjuangkan tanpa sebarang penambahbaikan dalam menyelesaikan isu tersebut? Oleh itu, penulis mengucapkan selamat menjalankan tanggungjawab dan selamat mengundi bagi rakyat Johor terutama sekali para pengundi muda. Sesungguhnya, satu undi anda sangatlah bernilai dalam menentukan masa hadapan negara dan nasib generasi akan datang.