Apa Beza Konsep & Pelaksanaan Lompat Parti di Malaysia dan India?

Share This Post

KONSEP LOMPAT PARTI DAN PELAKSANAAN RUU ANTI-LOMPAT PARTI DI MALAYSIA DAN INDIA

Perkataan lompat parti menjadi begitu sinonim dalam landskap politik negara sehingga ahli politik yang menukar partinya dikatakan sama dengan situasi katak yang melompat. Ahli politik itu sterusnya digembar-gemburkan sebagai “katak” yang membawa imej negatif yakni politikus yang cenderung untuk betindak mengikut kepentingan diri sendiri mengatasi kesetiaan terhadap parti asalnya.

Jolokan ini menjadi semakin popular terutama sekali selepas berlangsungnya saga tujuh hari krisis politik negara Langkah Sheraton. Buat pertama kalinya di Malaysia, wujudnya lantikan seorang Perdana Menteri Interim dan ketua kerajaan yang dilantik bukannya melalui pilihan raya umum tetapi melalui jalan Istana.

Kudeta Sheraton ini menunjukkan betapa pentingnya fenomena lompat parti ini wajar dibendung kerana ia telah meruntuhkan sebuah kerajaan yang dipilih rakyat secara sah serta mengurangkan kredibiliti kerajaan untuk mentadbir serta melaksanakan sesuatu agenda polisi demi kesejahteraan rakyat. Oleh hal yang demikian, suatu Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU) antara Perdana Menteri Ismail Sabri dan Pakatan Harapan telah dibentuk dan RUU ini dijadikan antara syarat utama sokongan PH.

Hasil daripada kerjasama kedua-dua pihak sekalipun agak goyah sedang negara meniti hari menjelang Pilihan Raya Umum ke-15, Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga ahli Dewan pada 28 Julai 2022.

Titik perubahan ini tidaklah hanya berlaku di negara ini sahaja malah turut berlaku di negara demokratik, semi-demokratik dan tidak demokratik juga mengikut acuan perlembagaannya yang tersendiri. Dalam memahami konsep lompat parti ini dengan lebih mendalam, penulis turut akan membentangkan bagaimana konsep ini diamalkan dengan mengambil contoh negara India bagi rujukan pembaca dalam membuat perbandingan.  

DEFINISI LOMPAT PARTI

Dalam dunia Sains Politik fenomena ini dikenali sebagai “party switching”, “defecting”, “carpet-crossing”, “party-hopping” atau “floor crossing” yang membawa maksud yang sama. Dalam mendefinisikan konsep lompat parti ini, O’Brien & Shomer (2013) menjelaskan “A process where parliamentarian change their party position by voting or moving to another party against their original party lines during the legislative session(s).” Peter Slinn (2009) pula mendefinisikan lompat parti sebagai “…where a sitting member of Parliament leaves the party under the colours of which he and she was elected, either to join another party to sit as an independent.”  

Daripada kedua-dua definisi tersebut maka fenomena lompat parti bermaksud proses di mana Ahli Parlimen (mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri) mengundi sesuatu dasar yang bertentangan dengan pegangan parti asalnya atau mengubah keahlian parti sama ada dengan menyertai parti yang baru atau menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Dalam konteks Malaysia sebagai contohnya, setelah kerajaan baru dibentuk di bawah Muhyiddin Yassin yang menyertai Perikatan Nasional, bekas Ahli Parlimen Bersatu seperti Mahathir Mohamad (Langkawi), Syed Saddiq (Muar) dan Maszlee Malik (Simpang Renggam) kekal menjadi bebas yang kemudiannya masing-masing membentuk dan menyertai parti baru.  

Beberapa orang ahli Parlimen berkumpul di Hotel Sheraton sebelum Pakatan Harapan tumbang

FAKTOR PENYUMBANG KEPADA AKTIVITI LOMPAT PARTI

Oleh hal yang demikian, apakah faktor utama yang menyumbang kepada perbuatan lompat parti? Dalam menjawab persoalan itu, O’Brien & Shomer (2013) mengatakan fenomena ini berlaku adalah berasaskan faktor motivasi dan sebab institusional. Faktor motivasi di sini bermaksud untuk memaksimumkan sokongan pilihan raya, mendapatkan faedah untuk mengekalkan jawaran dan mencapai matlamat ideologi mereka sendiri dengan membentuk polisi tersendiri.

Apabila Ahli Parlimen mempunyai keyakinan terhadap proses perundangan untuk pemilihan semula semasa pilihan raya, mereka berkemungkinan akan bertindak sewajarnya untuk mendapatkan sokongan daripada kumpulan yang lebih luas yakni Ahli Parlimen yang memgang jawatan utama dalam parti pemerintah.

Dalam situasi ini, Ahli Parlimen berkenaan akan bertindak untuk melompat parti untuk bersama pasukan yang lebih utuh, berprestij, mempunyai pengaruh yang kuat dan potensi mereka untuk menang sekali lagi untuk pilihan raya akan datang amat tinggi melalui penghijrahan tersebut.  

Jika dilihat daripada penjelasan bagi faktor pertama ini, sekalipun motivasi itu bagi mendapatkan sokongan dan pengaruh dan untuk memenangi pilihan raya tetapi apa yang paling utama ialah ideologi seseorang Ahli Parlimen yang mendorong mereka untuk merangka sesuatu polisi tersendiri, Sekiranya parti asalnya tidak dapat merelasisasikan impian ini, maka pertukaran parti bukanlah suatu keputusan yang negatif semata-mata.  

Faktor seterusnya ialah sebab instituisional itu sendiri yakni pembentukan perlembagaan sesebuah negara telah menentukan jenis rejim politik, sistem pilihan raya dan proses pemilihan calon. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila sesebuah rejim politik menyediakan insentif untuk seorang Ahli Parlimen yang berpaling tadah untuk menukar partinya di atas faedah yang lebih besar maka aktiviti lompat parti cenderung akan berlaku dalam system politik di negara tersebut. Sebagai contoh seorang Presiden yang merupakan Ketua Eksekutif akan menyediakan insentif tersebut dengan lebih banyak kerana pengaruhnya yang terhad dalam Parlimen menyebabkan mereka tiada autonomi yang utuh dalam pembuatan keputusan negara. Ini merupakan ancaman kepada pentadbirannya dan kecenderungan untuk menang dalam pilihan raya seterusnya adalah rendah.

Kita boleh lihat bagaimana Muhyiddin Yassin membuka ruang seluas-luasnya untuk Ahli Parlimen melompat secara besar-besaran untuk menyertai Bersatu untuk meningkatkan pengaruhnya dalam Parlimen. Ahli Parlimen yang “melompat” turut diberikan habuan dan jawatan di kementerian mahupun di GLC.  Hasilnya, peningkatan ahli Bersatu telah meningkat kepada 26 orang. Setelah Muhyiddin Yassin berjaya menguasai Putrajaya, kerajaan negeri turut menerima kesan domino di mana kerajaan Pakatan Harapan mengalami kejatuhan yang teruk sama ada melalui Pilihan Raya Kecil atau Pilihan Raya Negeri.

Tambahan pula, jika dalam sistem politik negara itu lebih mementingkan penilian individu berbanding penilaian parti maka fenomena lompat parti akan lebih banyak berlaku. Jika dilihat daripada sistem politik Malaysia, ia merupakan campuran daripada kedua-duanya iaitu di atas faktor personaliti pemimpin dan pengaruh sesuatu parti. Faktor personaliti di sini sebagai contohnya ialah Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim dan Najib Razak yang merupakan antara calon yang agak popular sekalipun mereka terpalit dengan kontroversi tersendiri yang menyebabkan pengaruh mereka memudar.

Senang kata, jika calon ini bertanding di mana-mana mereka tetap akan menang dan berupaya untuk menarik massa bagi menyokong partinya. Pilihan Raya ke-14 menunjukkan bagaimana pengaruh Mahathir Mohamad yang merupakan bekas Perdana Menteri dan Bapa Kemodenan Malaysia berjaya menarik sokongan rakyat melalui permainan isu seperti menjatuhkan kleptokrat kerajaan lama telah mendorong sebilangan calon pilihan raya untuk bertanding menggunakan tiket Pakatan Harapan. Pengaruh Najib Razak pula dilihat menyerlah semasa pasca-PRU-14.  

Sejurus selepas Kongres PKR berlangsung di Melaka

IMPLIKASI LOMPAT PARTI KEPADA NEGARA

Antara implikasi fenomena lompat parti ini termasuklah melemahkan sistem demokrasi, mencipta imej buruk parti politik dan memesongkan keyakinan pengundi dan sokongan elit dalam parti tertentu. Lebih-lebih lagi ini akan mengakibatkan ketidakstabilan dalam parti politik yang membawa kepada kehilangan kemenangan yang sah dan demokratik ketika pilihan raya. Faktor ini menunjukkan bagaimana Pakatan Harapan merupakan kerajaan dan Muhyiddin Yassin merupakan Perdana Menteri yang paling singkat dalam sejarah Malaysia.

Fenomena lompat parti ini dikatakan sebagai perbuatan yang secara semula jadinya tidak sah kerana ia menyimpang daripada elemen kesetiaan parti, pilihan raya yang adil dan bermakna serta akauntabiliti demokrasi sesebuah negara. Rentetan daripada perkara tersebut maka berlakunya ketidakstabilan dalam parti dan gagasan serta menjejaskan keupayaan pengundi untuk memilih dan membentuk sebuah kerajaan yang sah dan bertanggungjawab.

Faktor lain termasuklah kelemahan institusi pemerintahan yang membenarkanpolitikus mengambil kesempatan untuk memaksimumkan kepentingan mereka melalui perbelajaan awam, kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Situasi “political fatigue” yang terhasil daripada faktor tesebut kemudiannya tersebar luas dalam kalangan pengundi menyebabkan mereka merasakan bahawa suara mereka tidak lagi didengari dan penurunan peratusan keluar pengundi semakin merosot.

Sebagai contoh, daripada PRN Melaka yang peratusan keluar mengundinya hanya sebanyak 65.85 peratus kepada PRN Johor yang jatuh kepada 54.92 peratus berbanding 82.32 peratus semasa PRU-14. Pengalaman penulis sendiri sebagai Kerani Pengundian di Sekolah Agama Taman Pelangi, Kawasan N45 Stulang semasa PRN menyaksikan orang yang lebih tua lebih ramai keluar megundi berbanding orang muda sekalipun mereka sendiri tidak tahu hendak mengundi calon siapa, siap bertanyakan kepada para kerani sendiri lagi. Kemerosotan kesedaran politk dalam kalangan orang muda sudah tentunya memberikan implikasi buruk kepada pembangunan negara.

Kerajaan Pakatan Harapan yang tumbang selepas 22 tahun memerintah

PELAKSANAAN RUU ANTI-LOMPAT PARTI DI MALAYSIA

Melihatkan kepada implikasi buruk aktiviti lompat parti yang telah dibincangkan di atas, Ahli Parlimen secara sebulat suara dengan undian majoriti 2/3 telah meluluskan Pindaan Perlembagaan yang secara tidak langsung akan mengehadkan kebebasan berparti politik. Pindaan yang dimaksudkan termasuklah Fasal (3A) iaitu kebebasan berpersatuan “hendaklah tertakluk kepada sekatan yang dikenakan masing-masing oleh Perkara 49A dan Seksyen 7A Jadual Kelapan.” Perkara 49A adalah peruntukan baru memperincikan bahawa seseorang Ahli Parlimen akan diberhentikan dan kerusinya mestilah dikosongkan sekiranya mereka melepaskan keanggotaan parti, tidak lagi menjadi anggota parti politik dan setelah dipilih ke Dewan Undangan bukan sebagai parti politik, dia menyertai mana-mana parti. Kekosongan kerusi tersebut kemudiannya akan diisi melalui proses pilihan raya.

Terdapat beberapa misalan yang mengecualikan pemecatan sebagai Ahli Dewan iaitu sekiranya terdapat senario pembubaran atau pembatalan pendaftaran sebuah parti politik; perlepasan keanggotaan Dewan Rakyat kerana dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan atau pemecatan dari keanggotaan parti politik.

Pindaan-pindaan lain termasuk memberi tafsiran mengenai ‘parti politik’ di dalam perkara 160 dan juga pindaan kepada Jadual Kelapan dengan memasukkan peruntukan-peruntukan yang sama dengan perkara 49A untuk memastikan negeri-negeri meminda Undang-undang Tubuh Negeri mereka selaras dengan pindaan-pindaan yang dibuat terhadap Perlembagaan Persekutuan (Nik Ahmad Kamal 2022).

Situasi ini juga diguna pakai sekiranya seorang Menteri yang dilantik kerajaan menukar partinya, maka beliau mestilah meletakkan jawatannya sebagai Menteri dan kekosongan kerusinya mestilah dipertandingkan semasa pilihan raya dan individu tersebut juga boleh menjadi calon untuk dipilih sekali lagi. Jika dilihat daripada pindaan undang-undang tersebut adalah tidak terlalu rumit dan agak ringkas dan tidaklah terlalu rumit. Mari kita lihat bagaimana akta sebegini dilaksanakan di negara lain pula.

KAJIAN KES: AKTA ANTI-PEMBELOTAN DI INDIA

Pada tahun 1985, Jadual 10 bagi pindaan ke-52 Perlembagaan India telah diluluskan oleh Parlimen di India untuk memperkenalkan pengiktirafan “parti politik” dalam Perlembagan yang sebelum ini tidak wujud. Situasi ini telah menyebabkan sebanyak 50 peratus daripada 4,000 Ahli Parlimen yang dipilih semasa Pilihan Raya Umum tahun 1967 dan 1971 yang berpaling tadah dan melompat parti sehingga menyebabkan krisis politik. Situasi yang paling aneh pada tahun 1967 ialah apabila Ahli Parlimen Gaya Lal menukar keahlian parti sebanyak tiga kali dalam masa satu hari sehingga laungan “Aaya Ram Gaya Ram” yang bermaksud “Ram has come, Ram has gone” begitu hebat dilaungkan untuk mengutuk tindakannya itu. Pada tahun yang sama juga, kira-kira 3,500 Ahli Dewan yang telah dipilih di peringkat federal dan negeri namun sebanyak 550 orang daripada jumlah tersebut telah menukar keahlian parti dan melompat lebih daripada sekali. Trend pembelotan parti ini kemudiannya digelarkan sebagai “gold rush” oleh Virendra Patil iaitu Ketua Menteri Karnataka.

Bagi menangani masalah kecurangan parti dan krisis politik ini, RUU Anti-pembelotan telah berkuakuasa pada 1 Mac 1985 dalam Jadual 10 yang lebih kurang sama seperti RUU Anti-Lompat di Malaysia. Terdapat beberapa perbezaan sahaja seperti sekiranya Ahli Dewan membuat undian yang bertentangan daripada pegangan partinya atau memilih untuk tidak mengundi.

RUU tersebut kemudiannya dipinda pada tahun 2003 dengan menyatakan bahawa sekiranya Ahli Dewan yang kehilangan keahliannya tidak boleh memegang mana-mana jawatan Menteri dan jawatan dalam parti politik serta jumlah lantikan Menteri dalam sebuah gabungan parti politik di peringkat negeri dan wilayah kesatuan tidak boleh melebihi 15 peratus daripada jumlah keseluruhan Ahli Dewan masing-masing.

Sekalipun RUU ini telah diwartakan namun ia masih tidak dapat membendung aktiviti melompat atau membelot parti kerana manfaat daripada pengecualian yang diberikan dalam undang-undang tersebut seperti yakni sekiranya sebahagian daripada Parti A keluar parti dan membentuk parti baru. Ini akan mengakibatkan aktiviti keluar parti dalam skala besar.

Sebagai contoh, krisis politik di negeri Maharashtra pada tahun 2022 menyaksikan Ahli Dewan daripada parti Shiv Sena yang merupakan parti komponen kerajaan seramai 37 orang (daripada 56 orang) telah menyatakan sokongan kepada parti oposisi Bharatiya Janata Party (BJP) menjadikan jumlah keseluruhan kerusi yang dimiliki oposisi meningkat kepada 147 kerusi secara tidak langsung berpotensi menjatuhkan gabungan kerajaan yang hanya memiliki kira-kira138 kerusi sahaja. Ahli Dewan yang melompat ini walau bagaimanapun tidak akan dilucutkan keahliannya kerana jumlah yang melompat telah pun melebihi 2/3 ahli parti.  Akta ini akhirnya memberikan kesan backfire kerana walaupun pada asalnya ia diwartakan untuk membendung aktiviti lompat parti namun kini menjadi penghalal kepada kegiatan tersebut.

Faktor mengapa penulis memilih negara India sebagai kajian kes adalah kerana terdapat banyak persamaan antara anti-lompat parti di India dan Malaysia, perbezaannya adalah sedikit sahaja setelah pindaan dibuat pada tahun 2003. Namun apa yang hendak ditunjukkan di sini ialah bagaimana akta yang sama boleh dimanipulasi oleh aktor politik untuk meneruskan aktiviti melompat parti. Disebabkan India telah lama mewartakan akta tersebut kita dapat menyoroti sejauhmana keberkesanan akta tersebut bagi memberi ruang penambahbaikan daripada pihak Malaysia yang baru sahaja meluluskan RUU Anti-Lompat parti ini. Diharapnya untuk Pindaan akan datang, akta ini akan diperketat untuk memastikan sebuah kerajaan yang sah tidak sewenang-wenangnya dilumpuhkan begitu sahaja dalam masa yang singkat.

Sekalipun negara kita tidaklah seperti negara lain yang melibatkan kudeta tentera secara kejam, namun kudeta pintu belakang ini tetap memberikan kesan yang serupa. Apa yang kita tidak mahu ialah kelumpuhan kerajaan yang berpanjangan, rusuhan massa besar-besaran sehingga menyebabkan kecederaan serta keruntuhan kesedaran politik dalam kalangan orang muda menyebabkan perkara ini perlu dibendung di peringkat awal dengan sekatan perundangan yang ketat. Walaupun akta ini didapati memberikan kesan kepada hak kebebasan berpersatuan individu namun ia merupakan pengorbanan yang diperlukan demi menjamin keutuhan kerajaan yang dipih rakyat secara demokratik.

Jeehan Fahira, Koordinator Advokasi dan Pendidikan Politik Ajar Demokrasi

Picture of Jeehan Fahira

Jeehan Fahira

Merupakan mantan aktivis mahasiswa Demokrat UKM dan sekarang ini bergiat aktif sebagai Koordinator Advokasi dan Pendidikan Politik Ajar Demokrasi

Artikel Lain

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *