Iqra’ Bismi Rabbikalladzi Kholaq!

Share This Post

Bacalah! Dengan nama Tuhanmu yang menjadikan. Begitulah terjemahan ayat pertama daripada surah pertama yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w ketika bersendirian di Gua Hira’, Mekah pada tahun 610 Masihi. Inilah ayatnya yang mengubah sejarah kemanusiaan untuk beribu tahun akan datang malah hingga ke detik penghabisan alam semesta ini.

Penulis seringkali tertarik untuk membicarakan ayat pertama surah al-Alaq ini baik dalam kuliah di universiti mahupun ketika berbicara santai dengan rakan taulan dan saudara. Ayat ini adalah satu kejutan yang mengandungi makna yang memerlukan penaakulan.

Mengapa? Begini, ketika turunnya ayat ini, Mekah dan seluruh bangsa Arab berada dalam kegelapan. Zaman ini dikenali sebagai zaman Jahiliah dalam sejarah bangsa Arab dan Islam umumnya, Kegelapan bukan kerana mereka tidak menguasai sebarang teknologi dan bukan juga kerana mereka tidak berkemahiran dalam kesenian dan bahasa, tetapi kerana bangsa Arab sudah jauh meninggalkan agama tauhid, monoteis, yang diwarisi daripada Nabi Ibrahim a.s. Kebanyakan kita mengetahui bahawa di sekeliling Kaabah itu sendiri ditegakkan sekian banyak –dikatakan sebanyak 360 patung- berhala sembahan oleh bangsa Arab yang dikenali sebagai kafir Quraisy ketika itu. Berhala tersebut “diketuai” oleh beberapa berhala bernama Latta, Manna dan Uzza.

Dari segi teknologi pula, kewujudan empangan Maarib atau dikenali sebagai Empangan Saba’ merupakan bukti bahawa bangsa Arab di Semenanjung Arab sudah sedia menguasai  kemahiran pembinaan. Membina empangan bukan sebarang kejuruteraan kerana ia memerlukan pengetahuan mendalam berkaitan ilmu matematik, fizik dan hidrologi dalam erti kata bahasa moden. Empangan ini, walau bagaimanapun runtuh pada tahun 570 Masihi, iaitu tahun yang sama dengan kelahiran Rasulullah s.a.w.

Dari segi kesusasteraannya, telah berkembang penggubahan syair dan sajak di Semenanjung Arab, yang disanjung tinggi pada zamannya dalam kalangan bangsa Arab. “Al-Mua’llaqat”, begitulah gelaran bagi kumpulan penyair Arab yang menjadi pujaan bangsa Arab pada zaman Jahiliah tersebut. Dari segi bahasa ia bermaksud ‘yang digantung’, iaitu berhubung dengan perbuatan menggantung syair-syair tersebut di dinding Kaabah bagi melambangkan ketertinggian nilainya. Secara umumnya Al-Mua’llaqat merupakan himpunan syair daripada tujuh penyair yang tersohor iaitu Imru-ul Qays; Tarfah bin al-‘Abd; Zuhayr bin Abi Salmaa; Labeed bin Rabee’ah; ‘Amr bin Kulthum; ‘Antarah bin Shaddad; dan Al-Harith bin Halza. Himpunan syair tersebut dikenang dan digali sehingga kini oleh para sejarawan yang mengkaji budaya Arab Jahiliah dan perkembangan bahasa Arab sebelum dan selepas kedatangan Islam.

Ternyata daripada sedikit lontaran bukti di atas, gelaran bangsa Arab sebagai Jahiliah -yang secara harfiah bermaksud tidak berpengetahuan- bukanlah dek kerana kurangnya penguasaan terhadap teknologi ataupun rendahnya mutu kesusasteraan, tetapi adalah kerana kerendahan budi pekerti dan ketiadaan kepercayaan kepada Tuhan yang Satu. Itulah pokok masalahnya.

Lantaran itu akal yang logik akan berfikir, ketika pokok persoalannya adalah soal Tuhan yang Satu, maka bukankah ayat pertama yang sepatutnya diturunkan kepada Rasulullah s.a.w adalah “QulhuAllahu Ahad!”, “Katakanlah Allah itu Satu”? Inilah ayat dan surahnya yang meruntuhkan sekalian argumen politeis pada zaman tersebut bagi menunjukkan ciri Tuhan yang sepatutnya disembah oleh manusia.

Ayatnya ringkas, tuntas dan padat. Demikianlah ayat yang secara logik akal sepatutnya dibawa turun oleh malaikat Jibril a.s. ke tengah-tengah masyarakat Arab Jahiliah bagi membetulkan kejahilan mereka terhadap konsep agama dan ketuhanan. Surah al-Ikhlaslah zeitgeist bagi zaman Jahiliah berdasarkan logik akal, tetapi tidak pada perkiraan Tuhan.

Kembali kita kepada pokok perbincangan yang awal. Hakikatnya, yang diturunkan sebagai wahyu pertama kenabian itu bukanlah tentang monoteisme tetapi tentang pengetahuan. Pengetahuan yang akarnya bertumbuh daripada amalan membaca. Iqra’ diulang sebanyak tiga kali kepada Rasulullah s.a.w. yang diketahui tidak boleh membaca ketika itu. Kerana apa? Kerana Allah, Tuhan Langit dan Bumi ingin menyampaikan kepada umat manusia bahawa permulaan bagi agama dan permulaan bagi kemanusiaan adalah membaca. Membaca, menelaah, menyelidik, mengkaji dan apa-apa sahaja yang mempunyai konotasi perlakuan menggali pengetahuan dan mendalami ilmu. Islam tidak dipaksakan dan bukannya paksaan. Ia diterima melalui pemahaman, melalui dakwah dan melalui kajian. Dari mana datangnya sekalian pencapaian daripada dakwah Islam dan kemajuan peradaban manusia?

Tentunya bermula dengan bacaan. Bacaan yang sesuai dengan zamannya dan bacaan yang mengandungi ilmu pengetahuan bagi kemajuan bangsa manusia. Ayat ini juga turun bagi memecahkan pantang larang yang ada sebelum itu bahawa kitab agama hanya boleh diakses oleh sekalian sami dan pendeta seperti mana yang berlaku dalam beberapa agama yang terdahulu. Dengan seruan untuk membaca, agama menjadi sama rata untuk semua tanpa ada kelas masyarakat, melainkan kelasnya itu ditentukan dengan kecintaan kepada Allah dan tingkat penguasaan ilmu seseorang manusia.

Secara ringkasnya, ayat pertama daripada surah pertama al-Alaq ini merupakan penyuluh kepada peradaban manusia yang ditandakan dengan kepentingan mencari ilmu pengetahuan. Yang mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya. Minadzzulumati Ilan-nuur. Seorang manusia menjadi mulia kerana ilmunya bukan kerana hartanya. Harta bisa mengangkat darjat manusia di mata manusia lain, tetapi ilmulah yang memahkotakan manusia di hati manusia lain dengan sebenar-benarnya.

Dr Sahul HM merupakan kolumnis tetap di Ajar Demokrasi. Beliau merupakan seorang pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Kini menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Sejarah di Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI.

Picture of Dr Sahul HM

Dr Sahul HM

Artikel Lain

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *