Sejak kebelakangan ini tular tren baharu dalam kalangan Muslim iaitu memakai baju atau topi berlambangkan capal. Lambang capal tersebut diatribut kepada Islam melalui Nabi Muhammad. Ketaksuban mereka kepada lambang capal tersebut dilihat semakin berlebih-lebihan. Penulis tidak bermaksud untuk membincangkan tentang capal yang asalnya berkait dengan Nabi, tetapi cuma ingin membangkitkan perihal mengenai ciptaan suatu tren atau kebiasaan baharu sehingga mewujudkan simbol bagi agama.
Persoalan penulis di sini adalah adakah agama ini memerlukan simbol? Bagaimana jika tiba-tiba ada yang menjatuhkan, memijak atau membakar simbol capal tersebut maka apakah reaksi kita? Adakah tindak balas kita dikira sebagai jihad, mati membela simbolnya seterusnya menjadikan kita mati syahid? Jika simbolnya pun tidak pernah disahihkan, maka bagaimana mungkin status syahid biasa dikurniakan?
Begitu juga dengan lambang bulan dan bintang yang dikatakan mewakili agama Islam. Adakah capal, bulan dan bintang merupakan sebahagian daripada simbol ketinggian Islam yang dipromosikan oleh Nabi, atau para Sahabat, atau para Tabien selepasnya? Atau mana-mana Imam Mazhab yang empat? Anda boleh mencadangkan nama ulama-ulama itu bersama-sama kitab yang membuktikannya namun persoalannya di sini adakah autentik atau tidak pandangan itu? Di mana kekudusan agama kalau sesuatu perkara boleh dicipta oleh individu atas nama agama?
Penulis pernah menonton video seorang ustaz dari utara tanah air yang menceritakan pula dalam kuliahnya tentang bunga teratai sebagai simbol kerajaan Islam. Beliau mentafsirkan kedudukan Arasy di atas air lalu mengaitkan kedudukan bunga teratai di atas air pula. Sehubungan dengan itu, kata ustaz tersebut, lambang teratai digunakan oleh Nabi Sulaiman sebagai simbol kebesaran kerajaan Islam. Rujukan tidak diberi, sumber tidak dinyatakan.
Setahu penulis, teratai merupakan lambang suci bagi agama Buddha dan Hindu. Ia disebut sebagai “padma” atau “kamala” dalam kepercayaan Hindu. Tidak ada sumber yang dijumpai menceritakan kaitan antara teratai dan kerajaan Islam. Agama Shinto di Jepun turut menggunakan teratai sebagai simbol kebangkitan dan pembaharuan.
Berbalik kepada lambang bulan dan bintang. Lambang-lambang ini dengan sendirinya pun tidak mempunyai kaitan langsung dengan agama Islam. Arkitektur kerajaan Umayyah sehingga abad ke-7 Masihi tidak menunjukkan ciri bulan bintang. Sejarawan percaya, hanya selepas abad ke-15, iaitu selepas Uthmaniyah menawan Byzantium, barulah bulan dan bintang menjadi simbol Islam. Ia adalah manifestasi “Islamic Politics“. Bulan dan bintang sebenarnya mempunyai kaitan yang kuat dengan Byzantium (Istanbul). Ahli arkeologi mempercayai bahawa bulan dan bintang merupakan simbol dewa Hecates yang disamakan dengan bulan atau dewa Diana yang berbentuk bulan sabit yang dipuja ketika itu.
Penggunaan simbol bulan dan bintang ini juga merupakan reaksi kepada tentera Salib Kristian yang menggunakan lambang Salib dalam berhadapan tentera kerajaan Utmaniyah ketika itu. Pada peringkat ini, penggunaan bulan bintang tidak ada kaitan dengan agama, sekadar melambangkan keadaan nasionalistik dan kebersamaan tentera Islam dalam melawan musuhnya.
Bagi pihak Kristian sendiri, lambang salib tidak ada kaitan dengan Jesus (Nabi Isa). Jesus tidak pernah menyediakan lambang bagi dirinya sendiri atau wahyu yang dibawanya. Salib yang dipakai oleh orang Kristian 300 tahun selepas “kematian” Jesus yang mempunyai pengaruh Greek yang berasal daripada simbol “crux quadrata‘ iaitu salib tegak empat lengan bersudut 90 darjah.
Sebelum salib digunakan sebagai lambang Kristian, lambang lakaran ikan digunakan sebagai simbol untuk menyebarkan agama Kristian secara rahsia. Ikan digelar sebagai ‘ichthus‘ dalam bahasa Greek. Ia adalah akronim bagi ‘Iesos Christos Theos Uios Soter‘ yang bermaksud “Jesus Christ, God’s Son, Savior“. Ia digunakan sebagai metafora “pemancing (fishers) manusia” terhadap Jesus. Lambang ikan diukir pada kayu, pokok dan batu sebagai medium propaganda bagi memaklumkan sesama mereka keberadaan penganut Kristian ketika Rom masih tidak menerima Kristian sebagai agamanya. Hanya pada selepas 313 Masihi, agama Krisitian disebarkan secara bebas tanpa ancaman.
Penulis menyoroti kembali kepada persoalan asas yakni perlukah agama mempunyai lambang? Jawapannya, tidak. Khusus bagi Islam, tiada sebarang lambang yang mewakilinya sebagai simbol suci. Jika dicipta secara memandai-mandai, akhirnya akan membebankan pula Muslim untuk memelihara lambang yang tidak disyariatkan pun. Bulan dan bintang bukanlah simbol suci, tetapi hanya melambangkan politik Islam. Apatah lagi lambang capal atau teratai. Simbol bagi agama Islam jika adapun, mungkin dalam bentuk panji Lailaha Illallah, Muhammadur Rasulullah. Itu sahaja.
Sedarlah bahawa ramai di luar sana yang menunggu-nunggu untuk mengambil kesempatan daripada keterburuan dan ketidakfahaman kita. Kesetiaan kita kepada sikap itu adalah modal bagi mereka untuk memikirkan idea perniagaan baharu sedangkan perniagaan atas nama agama adalah perniagaan yang laris dan menjanjikan keuntungan besar dalam kadar segera.
Terimalah hakikat bahawa Islam tidak bersimbol. Muslim tidak memerlukan simbol kerana Nabi tidak pernah berdakwah menggunakan simbol.