Apa yang pengundi muda perlu tahu?

Share This Post

Apa yang pengundi muda perlu tahu?

Bermula tahun 2022, anak muda Malaysia yang telah mencapai usia 18 tahun sudah layak mengundi. Malah mereka juga layak bertanding sebagai calon pilihan raya bagi mewakili suara rakyat dan menerajui pentadbiran negara. Perubahan ini dilihat sebagai satu ‘game changer’ kepada citrawarna politik negara.

Walau bagaimanapun, ada segelintir pihak yang tidak merasakan pengundi muda akan membawa perubahan kepada negara ini.  Buatlah apa sekalipun, anak muda dikatakan mudah dimanipulasi, tidak bersedia membuat keputusan besar dalam pilihan raya, bertindak menjauhi subjek politik dan dikatakan sebagai pola pengundi yang paling ramai tidak muncul pada hari mengundi.

Persepsi ini memberikan tamparan hebat kepada anak muda bagi membuktikan bahawa mereka mampu menjalankan amanah sebagai pengundi.  Oleh hal yang demikian, untuk menjadi seorang pengundi yang serba tahu dalam membuat keputusan, anak muda perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan asas mengenai politik dan pilihan raya.  

Hamka, seorang Ulama Indonesia dalam bukunya Dari Lembah Cita-Cita pernah berkata “Supaya pemuda beroleh kemenangan dalam cita-citanya, hendaklah ia mempunyai dada lebar dan kefahaman yang luas dan memandang dunia jangan dari segi buruknya sahaja, hendaklah dipandang dari baiknya juga”.

Ayat Hamka ini boleh dijadikan asas kepada pegangan anak muda untuk menimba pengetahuan supaya mereka faham peranan mereka sebagai pengundi dan pemimpin yang matang dalam mendepani pesta pilihan raya.

Di sini, saya kongsikan beberapa pandangan asas yang mungkin boleh membantu pengundi muda dalam memahami konteks umum pilihan raya dan politik negara.  

Pertama, politik merupakan proses membuat keputusan

Dalam kehidupan anak muda, sering timbul persoalan seperti mahu makan di mana, KFC atau kedai mamak? Adakah belajar di universiti tempatan atau luar negara yang baik? Nak simpan duit atau belanjakan kesemuanya? Persoalan-persoalan ini adalah satu perkara biasa.

Semua ini akan diputuskan mengikut pertimbangan dan untung rugi kepada diri masing-masing.  Walau bagaimanapun, sedar atau tidak, ini adalah sebahagian daripada proses politik juga.

Maksud di sini sebenarnya ialah politik merupakan proses dalam membuat keputusan. Cuma dalam konteks pilihan raya, pengundi muda perlu  memilih pemimpin dan kerajaan yang membawa visi dan misi yang menguntungkan masa depan mereka.

Pandangan yang mengatakan politik adalah perebutan kuasa antara parti-parti politik semata-mata sama sekali tidak tepat dan ia hanya satu dakwaan negatif untuk menjarakkan rakyat dan anak muda daripada terlibat dalam proses pilihan raya.

Jika anak muda enggan terlibat dalam pilihan raya seterusnnya menolak subjek politik secara keseluruhan, maka mereka akan diremehkan oleh pihak yang tidak memahami keperluan anak muda dalam membangunkan negara. Bukankah ini hanya akan merugikan pengundi muda itu sendiri dalam tempoh jangka panjang?

Kedua, kuasa pengundi itu luas

Pengundi muda harus tahu bahawa kuasa mengundi adalah luas dan tidak berlaku pada hari mengundi sahaja. Kuasa pengundi juga berlaku sebelum dan selepas pilihan raya. Sebelum pilihan raya, pengundi muda boleh menggunakan hak mereka sebagai individu atau kumpulan pendesak dalam memperjuangkan isu-isu penting kepada wakil rakyat dan kerajaan.  

Contohnya, jika pengundi muda mahu kerajaan menambah baik sistem pendidikan atau persekolahan, mereka boleh berjumpa dengan menteri mahupun wakil rakyat untuk melaksanakan cadangan tersebut.  

Selepas pilihan raya, pengundi muda juga berperanan sebagai elemen semak dan imbang kepada kerajaan dan wakil rakyat yang telah dipilih dalam soal menunaikan tawaran yang mereka janjikan semasa pilihan raya. Jika anak muda mendapati kerajaan atau wakil rakyat gagal menjalankan tugas mereka dengan baik, maka mereka berhak memilih pihak yang lebih mampu pada pilihan raya seterusnya.  

Ketiga, tawaran dasar itu penting

Dasar bermaksud idea, pelan dan strategi untuk menyelesaikan sesuatu isu yang dihadapi oleh rakyat kebanyakan. Mengapa ia penting buat anak muda? Hal ini dikatakan demikian kerana tawaran idea daripada pemimpin dan parti ini yang akan menentukan kehidupan anak muda, khususnya dalam soal ekonomi, pendidikan, pekerjaan dan kos sara hidup.  

Saya akui, politik dasar ini bukanlah sesuatu yang mudah difahami berbanding sentimen politik sempit seperti politik perkauman dan agama yang mudah mencuit hati pengundi.  Tetapi, tawaran dasar ini amatlah mustahak kerana ia merangkumi masalah yang dihadapi oleh rakyat kerana ia melangkaui spektrum kaum dan agama. Mana mungkin isu kenaikan harga barang diuruskan kerajaan mengikut kepentingan kaum sedangkan ia amat terkesan buat semua lapisan masyarakat?

Apabila anak muda merancakkan lagi perbincangan dasar dan idea, parti politik dan pemimpin negara akan bersikap lebih bertanggungjawab untuk membentuk dasar yang lebih baik dalam pilihan raya. Sebagai kesannya, mereka akan mempunyai ruang yang terhad bagi menggunakan sentimen kaum dan agama yang sudah pastinya menghancurkan keharmonian negara.

Keempat, aktif di lapangan bagi membantu anak muda

Aktif membincangkan dasar juga perlu seiring dengan penglibatan pengundi muda dalam aktiviti kemasyarakatan di lapangan. Anak muda perlu memupuk semangat kesukarelawanan atau aktivisme tidak kira di kawasan setempat, badan bukan kerajaan, atau mana-mana persatuan.

Di lapangan inilah, anak muda akan berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat dan boleh menilai sendiri sejauh mana dasar yang dilaksanakan kerajaan benar-benar memberi impak positif kepada rakyat. Malah, aktiviti bersama rakyat dapat memberi gambaran dan idea yang bernas kepada anak muda untuk memperbaik kelemahan pelaksanaan dasar kerajaan.  

Berada di lapangan juga dapat mendekatkan anak muda dengan sistem politik atau tadbir urus negara yang lebih luas, khasnya di peringkat kerajaan tempatan. Pengetahuan seperti ini juga dapat membantu anak muda untuk menilai pentadbiran kerajaan berdasarkan prestasi sebenar pemimpin yang akan diputuskan nasibnya dalam pilihan raya.

Walau apapun, anak muda yang diberikan hak mengundi tidak perlu mengecil diri dalam menjalankan amanah kepada negara. Hakikatnya, nilai undi pengundi muda sama dengan pengundi yang sudah berusia. Tiada siapa yang lebih tinggi atau rendah dalam sistem pilihan raya. Cuma, pengundi muda mampu mencipta perubahan signifikan kepada politik Malaysia yang lebih matang dan stabil.

Buat parti politik dan organisasi dalam masyarakat pula, sudah sampai waktunya struktur anda berubah dan lebih terbuka dalam meletakkan pemimpin muda di hadapan. Perubahan ini tentunya akan menguntungkan negara yang bakal diwarisi pemimpin yang dinamik dan berpengetahuan.

Fakhrurrazi Rashid merupakan kolumnis tetap Ajar Demokrasi dan seorang Koordinator Penyelidik di Research For Social Advancement Berhad (REFSA). Beliau gemar bercerita tentang politik dan parlimen.

Picture of Fakhrurrazi Rashid

Fakhrurrazi Rashid

Artikel Lain

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *