Ulasan Perjalanan Blok Ketiga di Malaysia: Konteks Parti MUDA

Share This Post

Istilah blok ketiga kembali berkumandang baru-baru ini apabila Parti Ikatan Demokratik Malaysia atau singkatannya MUDA mengumumkan akan menyertai Pilihan Raya Negeri akan datang. Walau Bagaimanapun, penyertaan MUDA kali ini adalah sebagai blok ketiga yakni tidak berafiliasi dengan Blok Pakatan Harapan-Barisan Nasional mahupun Perikatan Nasional.

Atas kertas, Parti MUDA merupakan sekutu yang menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri di peringkat pusat. Ini bermakna, di peringkat Pusat, mereka adalah sekutu Pakatan Harapan-Barisan Nasional.

Dalam kenyataan media parti tersebut, Setiausaha Agung Parti MUDA menyebut bahawa langkah ini bertujuan untuk memberi tawaran politik baharu kepada pengundi di negeri yang akan mengadakan pilihan raya seperti Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Selain tawaran politik baharu, MUDA juga beranggapan mereka dapat menjadi alternatif kepada pengundi jikalau ada pengundi yang muak dengan dua gabungan utama iaitu PH-BN atau Perikatan Nasional.

Jika diimbas kembali, ini adalah alasan yang sama dilontarkan oleh Gerakan Tanah Air yang diketuai Parti Pejuang Tanah Air sebelum Pilihan Raya Umum 15 yang lalu. Walau Bagaimanapun, inisiatif blok ketiga yang diketuai Parti Pejuang ini telah gagal untuk menjadi alternatif kerana tidak mendapat walau satu kerusi di Dewan Rakyat malahan kesemua calon mereka telah hilang deposit.

Tidak ketinggalan, Pengerusi GTA yang merupakan mantan Perdana Menteri Malaysia sebanyak dua kali juga kehilangan deposit dan kalah di kawasan Parlimen yang pernah menjadi kawasan emas beliau sewaktu berkuasa dahulu.

Oleh sebab itu, kebanyakan penganalisis memberi ramalan awal bahawa MUDA akan menerima nasib yang sama dengan GTA-Pejuang di mana mereka akan kalah dan kehilangan deposit.

Sekiranya kita menelusuri sejarah perjalanan demokrasi di Malaysia sejak kemerdekaan, parti atau gabungan yang menjadi blok ketiga memang tidak pernah ada. Bukan bermaksud gerakan itu tidak ada, sebaliknya gerakan besar-besaran peringkat nasional dan aktif tidak konsisten dan akhirnya terpadam dalam perjalanan politik negara.

Hanya ada sebelum pilihan raya umum 1969 di mana pada waktu itu negara mempunyai Parti Negara yang mempunyai satu kerusi di Terengganu melalui wakil tunggal, Dato’ Sir Onn bin Dato’ Jaafar. Kemudian, melalui Parti Gerakan Rakyat Malaysia yang merupakan satu-satunya parti tunggal yang berjaya menawan Dewan Undangan Negeri dan membentuk kerajaan secara solo tanpa melalui gabungan.

Selepas tragedi 1969, dan terbentuknya Barisan Nasional, Malaysia tidak lagi mempunyai parti politik ketiga yang kuat untuk berjaya di satu kerusi baik di parlimen atau di dewan negeri.

Sehinggalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (2018) PAS cuba untuk menjadi blok ketiga dengan terbentuknya Gagasan Sejahtera melalui gabungan PAS, Parti Ikatan, dan BERJASA. Namun, hanya mampu menang di 18 kerusi parlimen sahaja. PAS kemudiannya menjadi pembangkang dan membentuk gabungan baharu melalui Muafakat Nasional dengan UMNO dan Perikatan Nasional dengan parti Bersatu selepas langkah Sheraton 2020.

Adakah dengan adanya blok ketiga ini salah di sisi demokrasi? Jawapannya tidak, kerana adanya blok ketiga ini bermakna demokrasi itu semakin diraikan dan semakin meriah. Cuma, pemimpin politik blok utama agak skeptikal dengan kewujudan blok ketiga ini kerana ia mampu memecahkan undi rakyat kepada mereka. Sekiranya perlawanan dua penjuru, mereka boleh mengira berapa undi yang boleh mereka dapat. Tetapi, dengan tiga penjuru, undi yang sepatutnya mereka dapat mungkin akan berpindah kepada blok ketiga.

Lebih teruk, dengan undi yang dipindah kepada blok ketiga menyebabkan mereka kalah kepada pihak lawan dan hilang kerusi. Selepas pilihan raya, disalahnya pihak blok ketiga sehingga seolah-olah kehadiran blok ketiga ini adalah sebagai pengacau.

Berbalik kepada hasrat Parti MUDA untuk menjadi blok ketiga di Malaysia, ada beberapa perkara yang perlu dititik beratkan oleh parti itu dalam membawa naratif politik baharu di Malaysia. Pertama, mereka perlu jelas siapa sasaran mereka. Kedua, manifesto dan hala tuju mesti konsisten dan jelas supaya pengundi dapat diyakinkan bahawa mereka adalah pengganti kepada dua blok utama yang ada. Ketiga, politik di Malaysia masih lagi bukan politik berasaskan nilai sebaliknya berasaskan sentimen. Sekiranya MUDA pandai bermain sentimen berasaskan setempat dan lokal, mereka mungkin ada peluang untuk menang.

Jika MUDA menganggap mereka adalah berbeza, tunjukkan di mana perbezaan mereka dengan dua blok utama. Tidak usah takut dan gentar untuk memperkenalkan ideologi baharu kerana akhirnya rakyat akan menilai keikhlasan MUDA dalam berjuang. Keempat, faktor calon yang berwajah baharu, bersih dan berbilang bangsa mungkin menjadi faktor tarikan rakyat Malaysia untuk memilih MUDA. Kelima, MUDA boleh menunjukkan imej ketelusan dengan mengisytiharkan jumlah dana yang mereka dapat untuk pilihan raya dan bagaimana ia dibelanjakan.

Akhir sekali, terpulang kepada parti MUDA dan pimpinannya untuk menentukan dasar yang bagaimana mereka hendak membawa MUDA dalam arena politik Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia, kewujudan parti MUDA dilihat mempunyai perjalanan yang masih jauh untuk menggapai Putrajaya dengan jayanya, namun sekiranya pemimpinnya konsisten, bersifat realistik, dan strategis…tidak mustahil untuk mereka.

Lihat sahaja Parti Move Forward di Thailand, dalam masa setahun penubuhannya, telah berjaya memperoleh kerusi terbanyak di Parlimen. MUDA mungkin boleh belajar sesuatu dengan mereka….

Wallahualam.

Andzarwir Zakaria

Andzarwir Zakaria

merupakan seorang aktivis, pemerhati politik dan penulis. Kini bergiat aktif sebagai Koordinator Ajar Demokrasi

Artikel Lain

Politik 101

Harapan Dalam UMNO Menuju 2024

UMNO adalah parti teras melayu, oleh itu kekalahan UMNO pada pilihan raya Kemaman 2 Disember lalu dilihat penolakan orang melayu kepada parti tersebut. UMNO sejak

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *