Harapan Dalam UMNO Menuju 2024

Share This Post

UMNO adalah parti teras melayu, oleh itu kekalahan UMNO pada pilihan raya Kemaman 2 Disember lalu dilihat penolakan orang melayu kepada parti tersebut. UMNO sejak sekian lama terkenal sebagai parti yang kuat dengan sokongan kuat sebahagian melayu di luar bandar dan pengundi-pengundi beraliran konservatif

Tetapi, kebelakangan ini, orang melayu jelas semakin menolak parti itu apabila setiap pilihan raya, parti itu tidak lagi mendapat keputusan yang terbaik dan tidak menjadi parti dominan di Dewan Rakyat, malahan untuk menubuhkan kerajaan di Dewan Negeri pun, UMNO perlu menagih sokongan daripada parti-parti lain. Jikalau dahulu, situasi ini hanya berlaku pada parti-parti pembangkang sahaja.

Apa sebenarnya yang berlaku kepada UMNO? Adakah memang benar orang melayu menolak UMNO sepenuhnya?

Sekiranya kita meneliti Teori Kitaran Ibnu Khaldun, ahli sosiologi Islam itu menggariskan lima tahap yang akan berlaku kepada sesebuah kerajaan/pertubuhan/organisasi. Fasa pertama ialah fasa membentuk semangat assabiyah tersendiri dan identiti politik yang berasaskan ketuanan bangsa. UMNO berada pada fasa ini pada era Malayan Union di mana parti itu menjadi yang utama membawa suara nasionalis bangsa.

Fasa kedua ialah perluasan kuasa dan pengaruh di samping membentuk kerajaan. Ini dapat dilihat setelah UMNO memenangi pilihan raya pertama negara dan mengukuhkan penguasaan kuasa sehingga tahun-tahun seterusnya. Dari Johor, UMNO melebarkan pengaruhnya ke seluruh pelosok Semenanjung Tanah Melayu. Pada waktu ini, siapa sahaja tidak kenal UMNO, parti yang menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

Fasa Ketiga ialah fasa kemewahan dan kesenangan hasil usaha pemimpin sebelumnya. Dato’ Onn meletakkan batu asas penubuhan UMNO sebelum digerakkan oleh Tunku Abdul Rahman dan disambung perjuangannya oleh Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn. Fasa UMNO dalam kemewahan boleh dilihat jelas ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad. Pada waktu ini, tiada siapa berani menggugat UMNO. Pilihan Raya yang disertai UMNO akan berakhir dengan kemenangan dua pertiga parti tersebut di Dewan Rakyat, tambahan pula ada negeri-negeri yang UMNO menyapu bersih kerusinya.

Pemimpin UMNO pada waktu itu dilihat gah dan berkuasa dan mempunyai aura tersendiri. Imej UMNO sebagai parti pelindung orang melayu semakin mencengkam dengan adanya kata-kata kalau UMNO tiada, habislah nasib bangsa melayu. Orang melayu pula menjadi semakin manja dengan layanan UMNO. Orang melayu pada waktu itu menjadi anak emas UMNO, dijaga, ditatang bagai minyak yang penuh.

Kemudian, datang pula fasa keempat iaitu fasa kelalaian dan berpuas hati dengan apa yang ada. Setelah bertahun UMNO diulit kemewahan dan kesenangan, perasaan angkuh dan sombong sedikit sebanyak berputik dalam hati dan kalbu pemimpin UMNO. Mereka mula bebas melakukan apa sahaja kerana merasakan mereka tidak akan jatuh. Skandal, penyalahgunaan kuasa, kes rasuah mula menyelimuti sebahagian besar pemimpin UMNO sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan.

Pilihan raya keempat belas yang diadakan pada tahun 2018 membuka pintu kejatuhan buat UMNO. Inilah fasa terakhir yang kini dihadapi UMNO. Ibnu Khaldun mentakrifkan fasa ini sebagai fasa kejatuhan dan kehancuran. UMNO tewas di peringkat Persekutuan sekali gus menamatkan penguasaan enam dekad pemerintahan parti itu di Malaysia. UMNO mula merasai pengalaman kekalahan di pilihan raya yang diadakan. Pilihan raya kelima belas Malaysia menyebabkan UMNO bagai jatuh ditimpa tangga. Sudah hilang tampuk penguasaan, hilang juga pengaruh di kalangan orang melayu.

Orang melayu melihat sudah ada parti alternatif kepada UMNO. Orang melayu merasakan UMNO sudah tidak mampu melindungi kepentingan orang melayu. Orang melayu melihat UMNO seperti harimau hilang taring. Tiada lagi yang takut kepadanya, tiada lagi yang mengharap kepadanya. UMNO sekiranya dilihat secara mata kasar, hanya menunggu masa untuk disemadikan dengan penuh upacara penghormatan.

Kubu-kubu kuat UMNO semakin hari dirobek oleh pihak lawan iaitu PAS dan BERSATU. Panglima-panglima UMNO tewas teruk di tangan perajurit muda pihak lawan. Satu perkara yang memalukan bagi UMNO dan ahlinya. Mungkin…

Sekali lagi kita bertanyakan ke dalam sanubari kita semua, adakah sudah tidak ada lagi penawar yang mujarab untuk merawat penyakit yang dihadapi UMNO ini?

Pertamanya, UMNO perlu mengadakan perjumpaan khas yang menghimpunkan semula pemimpin dan ahli UMNO untuk duduk bersama. Pada perjumpaan khas ini, beri ruang sebebasnya kepada ahli dan penggerak UMNO untuk meluahkan segalanya isi hati mereka. Perjumpaan khas ini mesti berakhir dengan satu ketetapan dan hala tuju baharu bagi UMNO menuju Pilihan raya akan datang.

Kedua, dalam masa UMNO untuk membina momentum semula pengaruh di kalangan orang melayu, UMNO mesti berbalik kepada dasar perjuangan asal iaitu menjadi pertubuhan yang kembali menyatukan orang melayu di bawah panji UMNO. UMNO melalui pemimpin, penggerak dan ahlinya perlu dilihat yang terhadapan dalam memperjuangkan nasib pendidikan bangsa melayu dan sosioekonomi orang melayu. Pemimpin UMNO juga perlu kembali meninggikan budaya dan adab orang melayu.

Wanita dengan peranan sebagai Kaum Ibunya, Pemuda dengan peranan anak muda bangsa melayu yang berani dan bijak serta berhemah tinggi, Puteri dengan lemah lembut gemalai puteri bangsa melayunya. Semua ini tidak mustahil walaupun kita kini dalam zaman yang penuh dengan teknologi. Jangan biarkan teknologi menguasai kita sebaliknya kita yang menguasai teknologi dengan cara orang melayu sendiri.

Ketiga, UMNO perlu membina semula naratif politik nasionalisme yang sederhana bagi mengekang gerakan nasionalis radikal yang kini galak dimainkan oleh PAS dan BERSATU. UMNO tidak perlu mengikut rentak tari PAS dan Bersatu yang membawa gerakan nasionalis radikal. UMNO perlu membangunkan naratif politik sederhana yang lebih baharu tetapi berjiwa malar segar. Sejajar dengan usia UMNO yang berada pada zaman keemasan, UMNO ibarat seorang datuk yang mesra melayani kerenah anak cucu yang sering bergaduh dan tidak melatah dengan cepat dalam setiap tindakan. UMNO harus tenang dalam setiap tindakan.

Ketahuilah, senyuman yang diukir pada wajah berkerut seorang datuk pasti dilihat tenang oleh anak cucunya. Senyuman, tindakan dan kata-kata nasihat seorang datuk akan menjadi teladan yang diikuti oleh anak cucu dan pastinya akan diingati saat berjauhan. Itulah gambaran yang UMNO dan pemimpin patut bawa kepada politik Malaysia.

Keempat, pemimpin UMNO tidak perlu menuding kejatuhannya kepada orang luar, cukup bermuhasabah secara dalaman. Tindakan seorang Majlis Kerja Tertinggi menyalahkan parti DAP yang menjadi punca utama penolakan orang melayu dan kekalahan UMNO sangat mengecewakan. Sindrom penafian inilah yang menjadi penyebab UMNO semakin menemui ajalnya. Sekiranya Presiden dipersalahkan, seluruh ahli MKT juga patut dipersalahkan kerana mereka sentiasa terlibat bermesyuarat bersama Presiden dalam menentukan setiap tindakan UMNO. Kalau nak tolak, tolak secara keseluruhannya. Buat pemilihan baharu. Biarkan ahli memilih MKT yang baharu.

Kesimpulannya, jauh di sudut sanubari orang melayu, mereka masih mahu melihat UMNO bangkit semula seperti zaman-zaman keemasannya dahulu. Imej UMNO sebagai parti pelindung orang melayu dan pelopor bangsa Malaysia masih ada pada sebahagian besar orang melayu. Cuma itulah, segalanya terserah kepada pemimpin dan ahli UMNO untuk membawa kembali UMNO yang berwajah sederhana dan berjuang untuk rakyat Malaysia bukan seperti parti PAS dan Bersatu.

Semoga UMNO dapat menempuh tahun baharu 2024 dengan jayanya dan supaya UMNO kembali garang di mata orang Melayu. Dirgahayu UMNO !!

Picture of Andzarwir Zakaria

Andzarwir Zakaria

Penulis merupakan seorang Koordinator Penulis Ajar Demokrasi dan Pemerhati Politik

Artikel Lain

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *