PAU 2023 : Antara Kacang dan Air Mineral

Share This Post

Ketika tulisan ini dicoret, saya telah melihat PAU 2023itu berjalan dengan ucapan-ucapan perbahasan yang berdegar-degar oleh para perwakilan. PAU atau nama panjangnya ialah Perhimpunan Agung UMNO merupakan perhimpunan tahunan bagi parti UMNO, sebuah parti orang melayu terbesar saat ini.

Mempunyai keahlian dalam parti ini dianggap ‘hebat’, dapat melaungkan ‘Hidup Melayu’ di pentas Dewan Merdeka adalah ‘istimewa’, dan melaungkan ‘Hidup Bosku’ di depan orang UMNO sambil liputan meluas media nasional dan antarabangsa adalah ‘terbalik kuang’….

Ucapan Ketua Pemuda UMNO pada mulanya adalah lambang perubahan UMNO itu sendiri kerana apabila mendengar, kita yakin ini saatnya UMNO akan berubah. Namun, di akhirnya, Ketua Pemuda UMNO dilihat hilang kawalan dan tersembam di depan kaki kleptokrat bertaraf antarabangsa.

Begitu juga halnya dengan ucapan dasar Presiden UMNO. Pada mulanya dilihat mempunyai kewajaran yang tersendiri dan cuba membawa UMNO terus ke hadapan, tetapi di saat akhir sebelum mendarat, Presiden UMNO dilihat ‘hijacked’ ucapan beliau dengan mengugut Perdana Menteri dan memberi amaran kepada ketua parti dalam kerajaan Perpaduan untuk memberi sebuah keadilan kepada kleptokrat tersebut…

Kenapa UMNO masih belum bergerak ke hadapan? tidak adakah lagi pemimpin yang boleh diwarisi? Adakah UMNO begitu hina sampai sehingga sekarang masih memakan budi dan baik seorang kleptokrat?

Sekiranya UMNO sayangkan Datuk Seri Najib, UMNO perlu mendidik dan mengajar anak mudanya untuk memimpin dengan adil, berhemah, dan penuh integriti. UMNO tidak perlu mengagungkan dan meminta pengampunan untuk individu yang bertanggungjawab membawa negara ini ke kancah kehancuran dan didapati bersalah oleh mahkamah.

Sekiranya difikirkan jasa dan budi baik, adakah UMNO juga membayar harga yang sama kepada mantan Presidennya yang paling lama berkhidmat? 22 tahun Dr Mahathir membina UMNO malah WTC (rumah UMNO) itu pun dibina oleh beliau, takkan ahli UMNO tidak perasan hal ini?

Berbalik kepada tajuk asal, PAU 2023 ini tidak sekadar kacang dan air mineral yang dihidangi atas meja pimpinan sahaja. Selepas semua perbahasan berdegar-degar, akhirnya semua akan pulang dengan perasaan yang sama tapi dengan tekad untuk membebaskan kleptokrat. Tidak ada bezanya dengan sebelum ini.

UMNO boleh berbangga dengan keahlian yang ramai, tetapi ahli yang ramai tidak menjanjikan kemenangan-nya dalam Pilihan Raya Umum. Yang membuatkan UMNO untuk menang ialah perubahan yang perlu UMNO laksanakan. Sekiranya 66% Ketua Bahagian UMNO berwajah baru, tetapi masih ada rasa dan berkiblatkan pembebasan kleptokrat, jangan harap untuk menang.

Akhirnya, seolah-olah benar telahan mantan ‘Panglima’ UMNO, Khairy Jamaluddin tentang UMNO akan bungkus dalam PRN ini. Bungkusnya UMNO bukan kerana kekuatannya tetapi kerana kejahilan UMNO untuk bergerak ke hadapan.

Kesimpulannya, UMNO nampaknya perlu dikuburkan secara total sebelum dibangkitkan semula daripada rangka kepada jasad yang baru yang lebih bersih dan berjiwa besar.

Ditulis oleh :

M.A merupakan seorang anak muda yang memerhati perjalanan politik negara sambil berasa jelik dengan laungan “Bebaskan Bosku”

Picture of M.A

M.A

Beliau merupakan seorang anak muda yang memerhati perjalanan politik negara sambil berasa jelik dengan laungan "Bebaskan Bosku"

Artikel Lain

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *