Pilihanraya Turki: Antara Kesederhanaan atau Nasionalis

Share This Post

Pada 14 Mei yang lalu, dua negara telah melalui satu proses dalam pesta demokrasi iaitu pilihanraya. Dua negara tersebut ialah Turki dan Thailand. Kenapa dua negara ini menjadi tumpuan seluruh dunia?

Turki merupakan sebuah negara sekular setelah penubuhan Republik pada 29 Oktober 1923. Tarikh ini merupakan tarikh yang memisahkan Turki daripada negara berketuakan Khalifah kepada Presiden. Sistem ini menyebabkan rakyat Turki memilih ketua negara mereka berbanding sebelum ini yang mana takhta hanya berlegar dalam kalangan suku Osmaniah sahaja.

Mustafa Kemal Effendi antara orang yang bertanggungjawab mengubah sistem ini. Beliau memerintah Turki sebagai Presiden pertama dan berjaya mengekalkan kuasa melangkaui tiga kali pilihanraya umum negara Turki. Beliau juga antara arkitek yang memodenkan sistem pentadbiran di Turki dan terkenal dengan ideologi Kemalism iaitu ideologi sekular yang memisahkan urusan agama dengan urusan kehidupan dunia. Beliau juga pemimpin yang memperkenalkan sistem pentadbiran dan kehidupan Barat kepada Turki.

Segala usaha yang dilakukan telah menyebabkan beliau digelar “Ataturk” yang bermaksud Bapa negara Turki (English: Father of the nation). Sehingga hari ini, beliau masih disanjung oleh majoriti rakyat Turki dan setiap pemimpin yang menjadi Presiden selepas beliau harus menjunjung nilai Kemalisme ini.

Berbalik kepada soal pilihanraya umum Turki yang berlaku kali ini, Pilihanraya ini ditandingi antara dua parti yang membawa ideologi yang jauh bezanya. Adalet wa Kalkinma Partisi (singkatannya: AKP) membawa calon yang sama iaitu penyandang Presiden, Recep Tayyip Erdogan. Manakala, parti lawan, Cumhuriyyet Halk Partisi (singkatannya: CHP) membawa calon yang menjadi Ketua Pembangkang sejak berdekad lamanya iaitu Kemal Kilicdaroglu. Parti CHP merupakan parti yang diasaskan oleh Presiden pertama iaitu Ataturk.

CHP membawa suara akar umbi Turki yang mahukan negara itu kembali kepada perjuangan asal Mustafa Kemal Effendi (nee: Ataturk). Suara ini juga mahukan Turki kembali kepada kegemilangan era Ataturk. Kebanyakan pendukung CHP ialah dalam kalangan mereka yang berjiwa nasionalis asal Turki, profesional bandar, dan golongan pro-Kurdish serta golongan anti-migran dari Syria.

AKP pula ialah parti yang membawa agenda reformis, demokrasi Islam yang sederhana dan cuba membawa semula semangat Khilafiah Osmaniah ke dalam hati dan sanubari warga Turki. AKP telah mendapat sokongan warga Turki sejak tahun 2002 kerana polisi pembangunan yang dilakukan dan penyelesaian kebergantungan hutang yang tinggi oleh Perdana Menteri Erdogan.

Selepas lebih 2 dekad berkuasa, AKP dilihat oleh sebahagian warga Turki untuk cuba menjadi pentadbir yang lebih autoritarian. Bermula dengan kebebasan media yang “dipegang telurnya” oleh Erdogan kepada referendum yang memberi kuasa mutlak kepada Erdogan untuk menjadi satu-satunya orang yang paling berkuasa di Turki. Tindakan ini persis Mustafa Kemal di awal era Republik dahulu.

Keadaan inflasi yang tinggi dengan tekanan kos sara hidup serta kejatuhan nilai Lira turut menyumbang kepada protes rakyat kepada rejim pentadbiran Erdogan. Erdogan turut dilihat sebagai terdesak dengan mencampuri urusan pelantikan Gabenor Bank Pusat Turki kononnya dapat mengawal inflasi tetapi tidak menunjukkan sebarang kebaikan.

Selain itu, tragedi Gempa Bumi yang melanda Kahramanmaras turut dilihat oleh penganalisis sebagai satu titik tolak kepada kejatuhan Erdogan. Namun, analisis ini berjaya dibakul sampahkan kerana keputusan Pilihanraya baru-baru ini, wilayah Kahramanmaras dilihat kekal menyokong penuh Erdogan dan menolak Sekularis Kemal.

Yang menjadi lebih menarik, bandar Istanbul yang dahulunya merupakan bandar yang membawa Erdogan ke kemuncak kuasa kini dilihat telah menolak beliau. Begitu juga dengan Ankara, Izmir, Bursa dan sebagainya.

Walaupun pilihanraya telah berlalu dengan Erdogan berjaya mendahului sebanyak 49% sokongan rakyat, namun jumlah itu masih belum mencukupi untuk diisytiharkan sebagai Presiden Turki. Menurut undang-undang, calon yang menang perlu mendapat sokongan lebih 50% untuk diisytiharkan sebagai pemenang. Belum cukup jumlah nampaknya buat Erdogan.

Dengan pusingan yang kedua yang bakal berlangsung 28 Mei depan, kedua-dua calon dilihat bergelut untuk mendapatkan undi daripada rakyat. Kemal Kilicdaroglu dari CHP dilihat cuba mendapatkan undi rakyat Turki dengan memainkan isu anti imigran. Pilihan yang ada untuk Erdogan ialah mendapatkan undi daripada penyokong Sinan Ogan untuk membolehkan beliau berkuasa semula.

Akhirnya, menjelang 1 Jun, seluruh dunia ternanti-nanti untuk mengucap tahniah sama ada kepada KK atau mengulang ucapan tahniah kepada Erdogan. Tetapi untuk rakyat Turki, pilihanraya ini menjadi taruhan masa depan mereka sama ada untuk mengekalkan Erdogan dengan imej sederhananya atau memilih Kemal dengan imej nasionalisnya.

Yang pasti, potret Ataturk akan tetap tersenyum di belakang imej setiap Presiden Republik Turki.

Andzarwir Zakaria

Andzarwir Zakaria

merupakan seorang Koordinator Ajar Demokrasi. Beliau aktif dalam menulis dan memberi sumbang saran dalam isu semasa politik dunia.

Artikel Lain

Politik 101

Harapan Dalam UMNO Menuju 2024

UMNO adalah parti teras melayu, oleh itu kekalahan UMNO pada pilihan raya Kemaman 2 Disember lalu dilihat penolakan orang melayu kepada parti tersebut. UMNO sejak

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *