Desas desus mengatakan bahawa YAB Dato’ Seri Ismail Sabri akan mengumumkan pembubaran parlimen di kaca televisyen dan corong radio akhirnya menjadi kenyataan. Ianya diumumkan pada tanggal 10 Oktober 2022 pukul 3 petang dan telah menjadi detik sejarah buat seluruh rakyat Malaysia di setiap peringkat. Pembubaran parlimen kali ini telah mendapat pelbagai reaksi negatif kerana ianya berlaku dalam suasana negara yang gawat dengan isu pemimpin yang korup, isu ekonomi dan isu banjir.
Pelbagai respon netizen dan penganalisis politik juga memberi komentar perihal sebab musabab pembubaran parlimen, DUN mana yang akan turut terbubar dan kesan pembubaran terhadap pergolakan politik, ekonomi dan sosial. Tidak dinafikan, ia merupakan sebuah kejutan buat rakyat Malaysia khasnya dalam menghadapi pelbagai krisis bagi tahun 2022 ini.
Apa jua yang berlaku, dalam tempoh masa sekarang ini semuanya pasti tertumpu kepada penetapan tarikh penamaan calon, undi awal dan undi sebenar oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 20 Oktober 2022 kelak. Isu utama yang diharapkan oleh rakyat Malaysia ialah penentuan tarikh penting ini akan memberikan kemudahan kepada semua pengundi khasnya bagi mereka yang bekerja di luar kawasan tempat mereka membuang undi.
FAKTA MENARIK MENJELANG PRU-15
Antara fakta yang menarik untuk dikongsi menjelang PRU 15 kali ini menampilkan 3 kategori baharu yang akan menjadi penyumbang utama kepada kenaikan jumlah pengundi. Kategori tersebut terdiri daripada :
1.Kategori 18-20 Tahun : Kelompok Undi 18
2. Kategori 21-25 Tahun : Pengundi Baharu yang tidak berkesempatan mengundi pada PRU14 yang terdahulu
3. Kategori 26-30 Tahun : Pengundi Baharu yang tidak pernah mendaftar sebelum ini dan didaftarkan secara automatik
Secara asasnya, setiap kelompok yang disenaraikan ini mempunyai potensi dalam mengubah corak kepimpinan Malaysia di masa hadapan. Perlunya pelbagai inisiatif bagi memastikan mereka menjalankan tanggungjawab sebagai negarawan turun dan keluar mengundi. Tidak kira mereka berada di dalam negara atau jauh di pelbagai pelusuk dunia. Gesaan dan aksi untuk membuang undi harus dilaksanakan.
Tambahan lagi, jumlah peratusan keluar mengundi yang dicatatkan pada PRU-14 adalah 82.32% daripada 14.9 juta orang yang keluar mengundi. Dijangka pada PRU-15 ini, seramai 21.1 juta pengundi akan membuang undi. Kenaikan angka seumpama ini diharap selari dengan peratusan keluar mengundi. Tinggi harapan kita untuk pastikan Malaysia mendapat peratusan keluar mengundi yang tinggi pada PRU-15 kali ini!
KRITERIA CALON ANDA
Masa hadapan negara bergantung kepada siapa pemimpin yang kita pilih pada hari ini. Sekecil-kecil usaha untuk keluar mengundi boleh memberikan impak yang besar kepada rakyat dan negara. Memilih pemimpin yang korup dan tidak bermaruah tentunya akan menambahkan kerosakan dan keburukan kepada negara. Pemimpin yang tidak berwibawa dan rosak akhlaknya akan melahirkan budaya politik yang mundur, membantutkan pembangunan negara, melesukan pelaksanaan dasar serta polisi negara serta membebankan rakyat. Hal seumpama ini sangat mustahak untuk dibahaskan agar kita dapat mendidik seramai mungkin masyarakat untuk celik dalam memilih pemimpin yang mereka mahukan.
Pasca pengumuman YAB Dato’ Seri Ismail Sabri perihal pembubaran parlimen tempoh hari, berapa ramai daripada kalangan kita menilai semula setiap janji-janji yang dilontarkan oleh calon yang menang di kawasan DUN dan Parlimen yang kita undi? Berapa ramai daripada kalangan kita menilai semula setiap manifesto yang dilaungkan oleh parti-parti politik semasa kempen Pilihan Raya, kemudiannya mereka berjaya membentuk kerajaan? Dalam tempoh 5 tahun sejak tahun 2018, berapa banyak sumbangan dan khidmat lokaliti yang kita dapat lihat terhadap wakil rakyat yang dipilih di kawasan tersebut? Mungkin ada sebahagian wakil rakyat apabila banjir atau musim Pilihan Raya baru nampak sosok tubuhnya. Tetapi pada hari yang lain, mereka tidak pernah muncul.
Justeru itu, kita perlu bersikap proaktif dalam melakukan sedikit semakan dan penilaian yang boleh dijadikan sebagai indikator keberkesanan calon yang akan kita pilih nanti menjelang PRU15 kelak. Tiga langkah yang dicadangkan adalah seperti berikut:
Semakan Latarbelakang Calon
Sekarang ini zaman digital dan semuanya boleh diakses dihujung jari sahaja. Kita boleh membuat sedikit penyelidikan ringkas terhadap biodata calon di dalam ruangan Google. Maklumat terperinci juga boleh didapati dari Facebook, Twitter, Linkedin dan Instagram calon. Mungkin melalui kaedah ini akan memberikan lebih banyak informasi buat kita yang akan turun mengundi. Ciri pemimpin yang diidamkan dan dapat membangunkan negara harusnya berdasarkan nilai integriti dan kewibawaan. Dari maklumat latarbelakang tentunya kita dapat menilai secara umum jika calon tersebut bebas dari salah laku, bebas rasuah dan mempunyai kredibiliti.
Menilai komitmen dan khidmat
Selain itu, kita juga boleh menilai mereka dalam aspek kehadiran ke sidang Parlimen atau DUN. Dalam tempoh mereka menjadi wakil rakyat dahulu, berapa kali mereka hadir ke dewan perbahasan tersebut. Perkara ini tidak boleh dianggap ringan kerana ianya merupakan tugas hakiki bagi seorang penggubal dasar buat negara. Jika mereka hadir hanya pada sesi pembukaan sahaja, tetapi tidak hadir pada hari yang lain, kita perlu mengeluarkan namanya daripada senarai pilihan calon terbaik.
Jika mereka baru sahaja pertama kali bertanding atau pernah bertanding tetapi kalah, anda boleh mengkaji dengan lebih mendalam mengenai pengalaman akademik dan politiknya melalui bacaan dan dapatan lokaliti setempat. Ada kemungkinan yang mahu bertanding itu merupakan calon luar dan tidak menahu tentang kawasan yang kita diami ini.
Jadinya, kita perlu lebih proaktif dalam menilai setiap latar belakang calon yang mahu kita pilih. Kita boleh menilai melalui parti, tetapi akhirnya peranan individu yang akan menghasilkan impak malah dirasai rakyat tempatan. Justeru itu, terdapat kewajaran untuk melakukan semakan dan penilaian terhadap calon dengan kadar yang kita rasa sesuai dan tepat.
Menilai Pemikiran dan Intelektual
Jika anda ingat pada awal tahun ini, kita pernah saksikan suatu acara debat antara Anwar Ibrahim vs Najib Razak di Astro AWANI mengenai isu Sapura Energy Bhd (SEB) dan isu melibatkan hala tuju negara. Bukan itu sahaja, kita pernah saksikan Debat AMK 2022 antara Fahmi Zainol dan Adam Adli sempena dengan pemilihan KEADILAN pada awal tahun ini juga.
Budaya seperti ini mesti diangkat dengan kadar yang maksimum. Berdebat dengan rasional, berfakta dan berpendirian. Kita mahu pemimpin yang berani mengutarakan pandangan dan menyelesaikan masalah, maka debatlah platform yang utama untuk dijadikan medan penilaian buat diri sendiri dan para pengundi yang hadir menyaksikannya.
Cuba anda bayangkan, setiap Masjid atau Dewan Komuniti di dalam Taman Perumahan menjadi lokasi tumpu dalam menghangatkan lagi suasana Pilihan Raya dengan penganjuran program ramah mesra bersama calon dan diskusi dua hala dengan penduduk tempatan. Tidak dinafikan, budaya seumpama harus disegarkan dikalangan rakyat agar mereka lebih terbuka dan rasional dalam membuat pilihan.
Melalui debat, kita boleh memahami cara fikir mereka dalam menyelesaikan masalah yang timbul. Bukan sekadar itu, kriteria yang kita mahu angkat adalah calon yang memiliki daya intelektual dan manusiawi yang tinggi. Mereka yang mengutamakan merit dan bukannya kroni semata-mata. Mereka ada keazaman yang kukuh dalam merubah negara ke arah yang lebih baik melalui kepakaran mereka.
Jadilah pengundi negarawan yang bertanggungjawab. Ke arah menuju Malaysia yang sejahtera!