Kes Pembunuhan Mahsa Amini : Konsep Feminisme & Kebangkitannya di Iran

Share This Post

KES PEMBUNUHAN MAHSA AMINI : KONSEP FEMINISME DAN KEBANGKITANNYA DI IRAN

Dekad baru ini menyaksikan begitu ramai wanita yang menempa nama dalam pelbagai bidang tidak kira dalam profesion sukan, kepimpinan tertinggi politik negara dan antarabangsa, perniagaan mahupun pencapaian dalam perubatan di zaman moden.  Kesemua bidang yang telah disebutkan tadi dahulunya didominasi oleh kaum lelaki di atas rukun partriaki yang dikatakan memberikan penghalang kepada wanita untuk memiliki hak asasi yang asas dan ruang untuk maju ke hadapan. Ini telah mengehadkan fungsi wanita hanya kepada ruang lingkup rumah tangga iaitu untuk melahirkan dan menjaga anak-anak sedangkan suami keluar untuk berkerja.

Oleh hal yang demikian, sebarang kuasa membuat keputusan terletak di tangan lelaki secara sepenuhnya tanpa mengambil fikir akan pandangan mereka sekalipun ia melibat usul wanita sendiri. Ini secara tidak langsung telah menindas kaum wanita untuk hidup secara saksama, bebas dan selamat seperti kaum lelaki.  Walau bagaimanapun, evolusi ini berubah setelah berlakunya kebangkitan feminisme sebagai emanisipasi yang menegakkan hak wanita dan memberikan peluang untuk mereka duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan lelaki terutama sekali dari segi pendidikan, peluang ekonomi, identiti, membuat keputusan, hak untuk melindungi nyawa dan menyampaikan pandangan. Secara ringkasnya, inilah konsep feminisme.

Sustainable Development Goals (SDG)

Bagi memastikan hak wanita terus terjaga, elemen kesamarataan gender dijadikan sebagai matlamat warga dunia iaitu Matlamat Pembangunan Mapan (Sustainable Development Goals) SDG oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang kelima sebagai salah satu tanda pembangunan sebuah negara yang aman dan makmur. Sekalipun kita sudah melihat perkembangan dalam elemen ini di kebanyakan negara, negara Iran masih menunjukkan kemerosotannya dalam Global Gender Gap Report (2022) iaitu berada di tangga ke 143 daripada 146 buah negara.

Data yang menunjukkan tahap keselamatan di Iran pula dapat dilihar daripada Georgetown Institute for Women, Peace and Security (2017) meletakkan Iran di kedudukan terbawah daripada 153 negara. Melihatkan kepada kemorostan kedudukan Iran dalam kedua-dua data tersebut maka tidak menjadi suatu kejutan kepada kita apabila isu hak asasi, kebebasan dan undang-undang yang menindas wanita sentiasa diketengahkan di pentas dunia. Dalam membincangkan isu penindasan wanita di Iran dengan menggunakan konsep feminisme, kes kematian Mahsa Amini baru-baru ini amat berkait sekali dengan sistem pemerintahan yang bersifat patriaki melampau dan menindas kebebasan wanita di Iran.

Akhbar di Iran selepas kes Pembunuhan Mahsa Amini

Kajian Kes Pembunuhan Mahsa Amini

Mahsa Amini merupakan seorang warganegara Iran yang menetap di Tehran, berumur 22 tahun telah meninggal dunia pada 16 September 2022 setelah ditahan oleh Polis Moral (Patrol Guidance/Morality Police) atau “Gasht-e Ershad” di bawah Pasukan Penguatkuasaan Undang-undang Republik Islam Iran kerana telah melanggar kod pemakaian tudung yang lengkap. Kematian ini dikatakan disebabkan oleh kekejaman polis terhadap dirinya semasa dalam tahanan. Kenyataan pihak berkuasa mengenai kematian Amini adalah disebabkan kegagalan jantung setelah koma selama dua hari di sebuah hospital.

Walau bagaimanapun, kenyataan tersebut ditingkah oleh ibu bapa Amini kerana keluarganya tidak mempunyai sejarah sakit jantung. Keputusan kesihatan Amini kemudiannya bocor dan menyatakan bahawa dirinya mengalami keretakan tulang, pendarahan, strok dan edema serebrum (pembengkakan otak). Kenyataan saksi yang ditahan bersama-sama Amini pula mengatakan Amini dipukul teruk oleh pihak polis dan menyebabkan kecederaan di bahagian kepala. Hantaran akaun Instagram hospital tempat Amini ditahan ada mengeluarkan kenyataan bahawa Amini sudah pun mengalami kematian otak sejurus selepas dibawa ke hospital namun hantaran tersebut telah dipadamkan.  

Pada 17 September 2022, beberapa jam selepas kematian Amini, penunjuk perasaan telah berkumpul di luar Hospital Kasra, Tehran iaitu tempat Amini dirawat. Ini telah menarik beberapa siri protes dan perarakan besar-besaran di seluruh Iran dan telah menyebabkan kematian lima orang penunjuk perasaan iaitu dua orang di Saqqez, kampung halaman Amini, dua orang di bandar Divandarreh dan seorang di Dehgolan selain kecederaan dan beberapa orang aktivis politik telah ditangkap.

Protes di Istanbul Terhadap Amini

Pihak berkuasa juga menyekat protes dengan memberikan tembakan burung dan pellet logam, gas pemedih mata dan meriam. Tindakan ini juga dilaksanakan bersama-sama sekatan terhadap akses aplikasi media sosial seperti Instagram, WhatsApp seterusnya menyebabkan sekatan Internet paling teruk di Iran sejak tahun 2019 apabila ia ditutup sepenuhnya.S elain daripada perarakan, terdapat juga sebilangan kecil wanita yang memuat naik video mereka membakar tudung mereka dan memotong rambut mereka sebagai solidariti terhadap kekejaman polis terhadap Amini.

Jurucakap Hengaw, sebuah kumpulan hak asasi manusia Kurdish pula menyatakan bahawah “Pihak berkuasa memaksa keluarga Amini mengadakan pengebumian tanpa sebarang upacara untuk mengelakkan ketegangan.” Tiga hari selepas kematian Amini, ketua polis moral Iran, Mohammad Rostami Cheshmeh Gachi dilaporkan telah digantung daripada jawatannya dan organisasi tersebut dan Jabatan Perbendaharan Amerika Syarikat telah mengumumkan sekatan terhadap organisasi tersebut selain Kioumars Heidari, komander pasukan tentera darat Iran, Menteri Perisikan Iran Esmail Khatib, Haj Ahmad Mirzaei, ketua bahagian Polis Moral Tehran, Salar Abnoush, timbalan komander militia Basij, dan dua komander penguatkuasa undang-undang, Manouchehr Amanollahi dan Qasem Rezaei dari di wilayah Chaharmahal dan Bakhtiari Iran. Antara mangsa lain yang terbunuh akibat kekejaman pihak polis semasa dalam tahanan termasuklah Zahra Bani Yaghoub, seorang doktor yang meninggal pada tahun 2007 kerana penindasan yang sama.

Reza Shah Pahlavi

Faktor dan Gerakan Wanita di Iran

Dalam lipatan sejarah, gerakan wanita di Iran dalam memperjuangkan emanisipasi wanita telah pun bermula di Iran sejak Revolusi Perlembagaan Parsi pada tahun 1910 dan bertahan sehingga tahun 1933 iaitu kejatuhan kerajaan Reza Shah Pahlavi. Gerakan ini dinamakan sebagai Iranian Women’s Movement Revolution yang ketika itu berkembang disebabkan sekulariasi polisi kerajaan yang membenarkan mereka mengambil bahagian dalam jabatan kerajaan dan mengusulkan cadangan polisi mengenai hak wanita seperti Undang-undang Perlindungan Keluarga yang melibatkan, keadilan dalam penceraian, hak penjagaan, menaikkan had umur 18 tahun bagi wanita dan 20 bagi lelaki untuk berkahwin dan pengurangan poligami. Selain daripada itu, mereka cekal melaksanakan perjuangan untuk pendidikan dan peluang perkerjaan dalam masa yang sama selari dengan kehendak budaya dan agama Islam. Hasilnya, pada tahun 1978, semakin ramai wanita yang celik huruf, melanjutkan pelajaran di universiti dan menyertai kepimpinan tertinggi negara.

Walau bagaimanapun, selepas Revolusi Iran pada tahun 1979, kebebasan wanita yang dinikmati sebelum ini berubah secara drastik. Peristiwa ini menunjukkan permulaan kepada kemerosotan kebebasan wanita Iran. Hak wanita dalam perkahwinan yang telah dijelaskan tadi juga telah dicabut kerana dianggap “bertentangan dengan ajaran Islam.” Tambahan pula, wanita juga tidak dibenarkan untuk berkerja tanpa kebenaran suami. Farrokhrou Parsa, Menteri kabinet pertama wanita juga telah dibunuh. Di samping itu, pemaksaan pemakaian tudung yang menutupi rambut dan pemakaian “chadori” mula berkuatkuasa pada tahun yang sama. Pemakaian “chadori” dikatakan sebagai ideologi atau simbol yang dikenali sebagai “khaneh” (rumah) iaitu pengembalian maruah dan moral wanita setelah dirosakkan oleh rejim Pahlavi dan hegemoni pengaruh Barat. Pemakaian “chadori” ini juga dijadikan syarat wajib untuk wanita bagi pendaftaran di universiti dan mengambil bahagian dalam ruang awam.

Oleh itu, bagi menguatkan lagi ideologi “khaneh” ini, pada tahun 1980-an, Jawatankuasa Revolusi Islam telah melaksanakan fungsinya sebagai polis agama Islam dan melaporkan secara terus kepada pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Khomeini. Mereka berfungsi untuk memastikan bahawa wanita di Iran mengikuti protokol pemakaian yang sepatutnya. Hanya pada tahun 2005, organiasasi itu digantikan kepada nama Polis Moral yang kita kenali sekarang. Antara hukuman kepada wanita yang melanggar undang-undang ini ialah penahanan selama sepuluh hingga dua bulan dan bayaran denda sebanyak 50,000 hingga 500,000 Ryal. Kerajaan Iran juga melarang wanita untuk memakai alat solek. Ini telah menyebabkan beberapa siri pemberontakan dan demonstrasi seperti perarakan selama lima hari dan The Conference of Unity of Women bermula pada tahun 1979.

Profile Picture untuk Kempen Protes The Girls of Enghelab

Rententan daripada itu, antara penentangan yang siginifikan dalam sejarah Iran terhadap pemaksaan pemakaian tudung diteruskan oleh protes The Girls of Enghelab pada zaman moden yang menjadi sebahagian daripada Gerakan Demokrasi Iran pada tahun 2017. Protes ini diilhamkan oleh seorang wanita Iran yang dikenal sebagai “Girls of Enghelab Street” atau “The Girls of Revolution Street” yang berdiri di tengah-tengah orang ramai di Jalan Enghelab di Tehran. Gerakan ini diinspirasikan oleh seorang wanita yang bernama Vida Movahed yang berdiri di atas kotak elektrik dan menggantungkan hijabnya di atas sebatang kayu. Movahed kemudiannya ditangkap dan dipenjara selama setahun dan lapan bula semasa penangkapan kedua di Qarchak. Walau bagaimanapun, semangat juang dan kaedah protesnya diteruskan secara meluas di sosial media. Akibatnya, seramai 30 orang wanita ditangkap kerana menyertai revolusi terhadap undang-undang diskriminatif tersebut.  

Sebagai rangkuman, konsep feminisme ini tidak sepatutnya difahami daripada ruang lingkup yang sempit dan cetek. Terdapat sebilangan masyarakat yang memandang feminisme sebagai suatu yang negatif, malahan menggunakannya sebagai suatu ejekan untuk merendah-rendahkan wanita yang berjuang untuk hak asasi mereka yang paling asas sebagai seorang manusia biasa. Sekalipun konsep ini agak kompleks dan mempunyai pelbagai spektrum, asas kepada pemahaman konsep feminisme ialah untuk mewujudkan suatu keseimbangan dalam kehidupan bermasyarakat agar keadilan, kesaksamaan dan kesejahteraan dapat dijaga antara lelaki dan perempuan.

Daripada lensa ini, kita dapat menjiwai perjuangan feminise dengan lebih mendalam melalui penjelasan kepada kebangkitan feminisme di Iran yang menyebabkan beberapa siri protes besar-besaran sejak abad ke-19 lagi. Ekstremisme dan penindasan yang diamalkan oleh kerajaan Republik Islam Iran terhadap wanita tidak seharusnya dipandang remeh kerana sekalipun ia dilaksanakan bagi memelihara syariah agama, pada masa yang sama bertentangan dengan landasan agama Islam itu juga, malah jauh lebih teruk lagi kerana mengambil nyawa manusia atas jenayah yang dilakukan tidak setimpal dengannya. Kewujudan undang-undang diskriminatif ini mewujudkan ruang untuk masyarakat lebih bersifat seksis, bertindak kejam dan kurang ajar terhadap wanita yang kemudiannya dijustifikasikan sebagai kaedah untuk “melindungi wanita.”

Picture of Jeehan Fahira

Jeehan Fahira

merupakan Koordinator Advokasi dan Pendidikan Politik Ajar Demokrasi

Artikel Lain

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *