Arakian, inilah ceritera ringkas keramat bangsa Melayu,
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau akronimnya UMNO merupakan antara parti tertua yang diwujudkan di Semenanjung Tanah Melayu. Parti ini lahir dari resolusi Kongres Himpunan Melayu Pertama pada tahun 1946. Lahir dari rahim Istana Johor menandakan parti ini mendapat restu dari Institusi Beraja Melayu.
UMNO adalah sebuah manifestasi perjuangan bangsa Melayu dalam membebaskan diri dari sebarang bentuk penjajahan dan penindasan. Tentangan pengasas UMNO terhadap Malayan Union menjadi bukti sandaran hujah ini. Sewajarnya UMNO adalah parti yang menjadi rumah yang melindungi kepentingan bangsa Melayu.
Menuju ke arah kemerdekaan Tanah Melayu dan penubuhan sebuah Persekutuan yang berdaulat, UMNO menubuhkan sebuah pakatan politik melibatkan dua pertubuhan utama bangsa Cina dan India iaitu MCA dan MIC. Tiga parti utama ini mengorak langkah dengan memasuki Pilihan Raya Persekutuan 1955 dan menjadi kerajaan bersama.
Bukan setahun dua, tetapi pakatan politik ini mengekalkan rejim kekuasaan mereka di Tanah Melayu (kemudiannya: Malaysia) selama 6 dekad. Seusai kemerdekaan, Perikatan yang dianggotai UMNO, MCA dan MIC memegang tampuk kekuasaan sehinggalah Tun Abdul Razak mengubah kepada Barisan Nasional dengan menjemput parti pembangkang berhaluan kanan untuk turut serta.
Walau dianggotai banyak parti, UMNO tetap menjadi dominan yang menguasai pakatan politik ini. Kedudukan ini tidak boleh digugat hatta oleh PAS sekalipun. PAS akhirnya dikeluarkan dari BN pada tahun 1978.
Kekuasaan, Kedudukan, Pangkat dan Kebesaran yang dipegang sejak berdekad menyebabkan UMNO sedikit tergelincir dari perjuangan asal. Politik Wang menjadi kanser yang menyebabkan UMNO lumpuh separuh badan pada tahun 2018 sebelum lumpuh sepenuhnya pada tahun 2022.
Pimpinan UMNO juga sedikit angkuh dan sombong dengan kedudukan yang mereka ada. Mereka meyakini bahawa tiada parti yang boleh menggugat UMNO di takhta Putrajaya. Dalam masa yang sama, rakyat semakin benci dan meluat dengan sikap yang ada ini. Penolakan rakyat terhadap UMNO bermula dengan tema “REFORMASI”.
Tema ini hampir-hampir menjatuhkan penguasaan UMNO pada tahun 2008. Walaupun kekal di Putrajaya, UMNO kehilangan 5 negeri utama, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Perak dan Kedah. Buat pertama kalinya, kita melihat pimpinan yang naik di 5 negeri ini dari kalangan selain UMNO. Namun, ini tidak membuatkan UMNO serius merawat kanser yang dihidapi bahkan turut mencari penyakit yang lain iaitu Kleptokrasi.
Skandal Kleptokrasi UMNO tercetus pertengahan 2015 di bawah pimpinan Mohamad Najib anak Tun Abdul Razak, selaku anak pengasas kegemilangan UMNO. REFORMASI dan KLEPTOKRASI inilah yang menjadi tsunami utama di samping kemarahan membuak rakyat Malaysia menyebabkan UMNO dilenyapkan dari Putrajaya. Selainnya, mereka hilang seluruh negeri di Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu. Hanya Perlis masih bertahan sebagai kubu terakhir. Nasib ada Shahidan…
Walaupun kalah, UMNO kembali dengan bangga ke Putrajaya melalui pintu belakang dan dalam masa yang sama, masih belum konsisten melakukan kemoterapi untuk menyembuhkan kanser yang merebak. Setelah menjadi Perdana Menteri, UMNO masih tidak melakukan sebarang perubahan. UMNO tetap UMNO, Zahid tetap Zahid, ahli tetap ahli. Muncul saat-saat akhir ketika kempen 2022.
Di bawah takdir Ilahi, UMNO lumpuh seluruh badan akibat serangan kanser yang tidak diubati. Kubu terakhir UMNO di Perlis juga ranap dibadai tsunami hijau pimpinan Muhyiddin dan Hadi Awang. Punca utama kerana pengkhianatan Jeneral Utama Shahidan. Persis Si Kitol yang memberitahu rahsia kubu Melaka kepada Portugis….
Di bawah kekuasaan Allah yang maha jalil jualah, UMNO tak disangka merupakan kingmaker atau penentu utama penubuhan kerajaan pasca 2022. Kali ini mereka menaiki kuasa Putrajaya bukan melalui pintu belakang tetapi kerana menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia. Inilah UMNO, hubungan dengan Pemerintah sentiasa erat dan terikat. Kebanyakan pemimpin yang menjadi menteri mula melakukan perubahan walau ringkas tapi bermakna.
UMNO juga memulakan langkah untuk membuang kanser yang melekat, bermula dengan penyingkiran pemimpin yang berkhianat, digantungnya pemimpin yang tidak taat, dan yang terakhir melakukan pemilihan di segenap peringkat, Cawangan ke Bahagian ke Pusat.
UMNO tidak gusar dengan ketiadaan pemimpin kerana ia mempunyai 3 juta ahli. Nah, pilih saja mana yang berkenan di hati.
Semoga UMNO yang baru bakal muncul tidak lama lagi. Bukan baru pada nama, tetapi baru dari segi pemimpin, azam dan perjuangan yang kembali kepada landasan asal menjadi rumah yang memayungi orang melayu serta membawa orang melayu kembali ke landasan kejayaan.
Memetik lirik terakhir lagu “Anak Kecil Main Api” oleh biduanita Noraniza Idris:
Kini kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri
Kita sudah tiada masa
Majulah dengan semangat wajar
Janganlah terlalai teruskan usaha
Kita kan gagah di Nusantara
Kita kan gagah di Nusantara
Selamat Memilih Buat Seluruh Perwakilan UMNO!!!