Antara krisis pandemik COVID-19 dan juga keriuhan perlawanan bola sepak antarabangsa seperti EURO 2020 dan COPA AMERICA 2021, terdapat krisis yang terselindung dan sayup kedengaran dalam pemikiran penduduk global hari ini iaitu krisis kemanusian terbesar di dunia, krisis di Yaman. Benar, Yaman kini menghadapi krisis kemanusiaan terbesar di dunia dan dunia hanya mampu atau hanya mahu melihat. Apa yang sedang berlaku di Yaman? Menurut laman web UNICEF, ketika ini seramai 21 juta penduduknya memerlukan bantuan kemanusiaan, termasuk lebih 11 juta kanak-kanak. Dimanakah suara-suara pencinta hak asasi manusia? Dimanakah suara-suara kaum muslimin? Bukankah Rasulullah SAW telah bersabda:
Perumpamaan seorang Muslim (dengan Muslim lainnya) dalam hal cinta kasih dan saling menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila (ada) salah satu bagian tubuhnya menderita (sakit), maka (akan dirasakan) oleh seluruh bagian tubuh lainnya dengan panas dan demam, (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Bukankah penduduk di Yaman merupakan majoritinya muslim? Apakah jawapan yang akan diberikan apabila Allah SWT menanyakan tentang apa yang dilakukan oleh kaum muslimin ketika Yaman diancam krisis yang begitu dahsyat? Oleh itu, tujuan artikel ini ditulis adalah untuk sedikit sebanyak membuka mata dan menghidupkan semula tentang realiti yang sedang berlaku di Yaman.
Ribuan telah terbunuh dan jutaan penduduk telah kehilangan tempat tinggal, krisis kemanusiaan yang berlaku di negara arab termiskin ini telah berlaku selama beberapa tahun dan berubah menjadi lebih ganas pada Mac 2015 apabila gabungan beberapa negara yang diketuai oleh Arab Saudi mulai campur tangan dalam hal dalaman negara Yaman. Bagaimanakah krisis ini bermula? Pada November 2011, peralihan kuasa yang sepatutnya berlaku antara Presiden Ali Abdullah Saleh kepada timbalannya, Abdrabbuh Mansour Hadi, tidak berjalan seperti yang dirancangkan. Hal ini menyebabkan ketidakstabilan politik dan seterusnya membawa kepada pelbagai implikasi buruk yang lain terhadap negara Yaman. Keadaan berlarutan dengan pelbagai konflik dalaman dan pada Mac 2015 keadaan menjadi bertambah buruk apabila kuasa asing dari luar mulai campur tangan. Sejujurnya, saya bukanlah orang yang mahir untuk mendiskusikan perihal politik sesebuah negara. Oleh itu, dalam artikel ini, saya ingin membincangkan isu Yaman ini dari segi perspektif dan kaca mata orang awam yang menggunakan pemikiran yang rasional dan kritis.
Persoalan yang pertama yang harus diajukan adalah mengapakah mereka yang digelar dengan gahnya sebagai ‘penjaga dua tanah suci’ iaitu Arab Saudi mengepalai gabungan yang menyerang Yaman, negara Arab termiskin, yang penduduknya majoriti Muslim? Apakah ada justifikasi yang diberikan yang membolehkan mereka menyebabkan kematian saudara sesama Islam? Mungkinkah kekayaan hasil daripada jualan minyak yang terdapat di negara mereka telah membuat mereka sombong lantas tertipu dengan helah dunia? Tidakkah mereka tahu, Tuhan yang menciptakan minyak di dalam tanah di negara mereka, juga merupakan Tuhan yang sama menciptakan penduduk di Yaman? Sekali lagi, apakah justifikasi terhadap semua onar yang dilakukan di Yaman? Jika seseorang meneliti dan menggunakan akal, antara jawapan yang timbul adalah bahawa negara Arab seperti Arab Saudi dan juga Emiriah Arab Bersatu (UAE), telah berpaling tadah daripada saudara-saudara seagama mereka sendiri, dan tunduk terhadap kuasa-kuasa arogansi dunia terutamanya Amerika Syarikat laknatullah. Jangan biarkan gelaran ‘penjaga dua tanah suci’, pakaian jubah ‘islamik’, bacaan alunan Al-Quran merdu yang mereka alunkan mengaburi mata dan memperdayakan minda anda semua tentang realiti kezaliman yang kerajaan Arab Saudi sedang lakukan. Saya berpendapat bahawa, tidak dinafikan bacaan Al-Quran merupakan suatu amalan yang teramat mulia, namun mestilah diiringi dengan tindakan dan perbuatan yang bertepatan dengan isi kandungannya.
Suka ingin saya kongsikan sepotong ayat suci Al-Quran yang membuktikan secara jelas apa yang sedang dilakukan oleh Arab Saudi dan UAE merupakan satu kesalahan dan bukan daripada apa yang diajar di dalam kitab suci Al-Quran dan Rasulullah SAW. Di permulaan ayat 29, surah Al-Fath, Allah berfirman yang bermaksud:
Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam).
Jelasnya di sini, Allah SWT memerintahkan kita sebagai umat Islam untuk berkasih sayang sesama sendiri dan bersikap keras terhadap orang-orang kafir yang memusuhi Islam. Ternyata apa yang dilakukan oleh Arab Saudi, UAE dan yang menyokongnya adalah sebaliknya iaitu berkasih sayang terhadap orang-orang kafir yang memusuhi Islam seperti Amerika Syarikat, dan bersikap keras terhadap saudara-saudara muslimnya di Yaman.
Akhir kalam, seperti peribahasa melayu ada mengatakan, tepuk dada, tanya selera. Siapakah yang berada di pihak yang benar? Berfikirlah secara rasional, kritis dan tanpa prejudis, berfikirlah selalu.
Penulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Ajar Demokrasi