The Penthouse – Selaksa realiti rasuah dalam fantasi

Share This Post

Malaysia – Drama Korea, The Penthouse yang telah mula ditayangkan sejak bulan Oktober 2020 yang lalu ternyata memberi impak dahsyat kepada seluruh dunia. Drama tersebut yang sarat dengan tragedi dan kekejaman yang di luar imaginasi menjadi fenomena bukan sahaja di negara asalnya, Korea, tetapi juga di semua negara yang menayangkan drama tersebut. 

Bermula daripada isu memalsukan keputusan peperiksaan anak-anak kesayangan watak-watak drama tersebut, sehingga kepada membunuh manusia lain demi mengaut harta, kelihatan seperti tidak ada suatu kejahatan sekalipun yang mereka ini tidak sanggup lakukan. Selain daripada penceritaan drama tersebut yang sungguh menggiurkan, pastinya persoalan yang perlu setiap penonton persoalkan adalah sama ada kekejaman setara itu benar-benar berlaku di dunia realiti sekarang. 

Musim pertama bersandarkan kepada tragedi kematian seorang pelajar sekolah yang dibunuh dan sekumpulan golongan bangsawan yang cuba menyembunyikan kematiannya daripada pengetahuan umum. Demi menjaga nilai hartanah mereka, setiap daripada mereka bersetuju serta-merta untuk bekerjasama mencuci darah pelajar tersebut, mengalihkan mayatnya dan mementaskan kawasan kejadian yang baharu. Bagaimana sekiranya hanya seorang dua daripada mereka bersikap tegas dan menolak perbuatan tersebut sekeras-kerasnya? Mungkinkah kejadian permulaan itu membesar kepada kejahatan dan kekejaman yang lebih besar pada lewat musim tayangan drama tersebut? Atau mungkin kejadian itu akan berakhir di situ tanpa perlu memburukkan keadaan? Tetapi bermotifkan kekayaan dan kepentingan masing-masing, mereka laju sahaja menutup pekung di dada tanpa mempertimbangkan kesan negatif yang lebih besar pada masa hadapan.

Setiap manusia di dalam dunia yang luas ini mempunyai kepentingan, keinginan dan keperluan masing-masing. Walau bagaimanapun, apa yang membezakan seorang daripada seorang yang lain adalah cara dan kaedah yang digunakan bagi memenuhi keperluan dan kemahuan mereka. Semudah-mudah kemahuan asas untuk mengisi perut, ada yang memilih untuk kais pagi makan pagi, kais petang makan petang demi sesuap nasi, ada juga yang memilih untuk berkawan rapat dengan seseorang yang boleh memberinya makanan, dan pastinya ada juga yang memilih untuk mengambil tanpa izin, atau mencuri, makanan kepunyaaan orang lain. 

Bagaimana pula untuk memenuhi keinginan yang lebih besar seperti nafsu terhadap timbunan harta, kuasa mutlak dan deretan pak turut yang setia? Saban hari, saban minggu, dada-dada akhbar dipenuhi ratusan berita berkenaan tangkapan rasuah, jenayah yang disenyapkan dan kemudiannya terbongkar, dakwaan agensi percukaian berkenaan status kewangan yang meragukan dan berbagai-bagai perihal jelik lagi. Siapa yang menumbuk rusuk dan siapa yang akhirnya tercedera? 

Tidak perlu asyik berpusing sekitar watak utama, cukup sekadar kita mengambil iktibar daripada watak sampingan Kang Ma Ri yang sanggup menjual hartanya, jiwanya dan kesetiaannya demi memastikan anaknya dapat memasuki sebuah sekolah berprestij, sedangkan sebenarnya anaknya tidak mempunyai kelayakan yang sewajarnya. Jika zalim itu didefinisikan sebagai tidak meletakkan sesuatu di tempat selayaknya, tidakkah Kang Ma Ri itu telah berlaku zalim dengan menempatkan anaknya di tempat yang tidak layak didudukinya di samping menidakkan tempat seorang pelajar lain yang lebih layak? Bersama segunung hadiah dan wang yang diselitkan olehnya kepada Pengetua Sekolah yang menguruskan proses kemasukan tersebut, seorang ibu tanpa sedar telah menjual maruah dan harga dirinya demi anaknya. Bagaimana tauladan yang cuba ibu ini tonjolkan kepada anaknya? Bagaimana masa hadapan anak yang ibu ini bayangkan di dalam imaginasinya jika langkah permulaannya sudah tercemar sebegitu teruk? 

Akibat daripada lambakan ibu bapa yang berperangai sedemikian, wujudlah Pengetua Sekolah yang semakin hari semakin besar kepala sehingga menganggap dirinya kebal daripada segala undang-undang dan peraturan kehidupan dek kerana deretan pak turut yang sanggup berbuat apa-apa sahaja deminya. Sifatnya manusia, apabila terlalu tinggi diangkat melangit, semakin lupa akan tanah yang diinjaknya. 

Ya, pasti ada kisah yang lebih kritikal digambarkan dalam drama The Penthouse, seperti Joo Dan Tae yang menghadiahkan patung-patung katak yang diperbuat daripada emas tulen kepada guru sekolah anaknya bagi menutup sikap anak perempuannya yang merupakan seorang kaki buli. Tidak lupa juga Cheon Seo Jin yang sanggup menjanjikan pangkat tinggi kepada seorang guru muzik untuk merosakkan uji bakat seorang pelajar miskin demi membolehkan anaknya sendiri mengalahkan pelajar tersebut. Belum lagi tragedi bunuh-membunuh yang lebih dahsyat atas nama pangkat, harta, nama dan kekayaan.

Baik atas gadaian remeh seperti memberi hadiah ringkas kepada seorang rakan agar rakan tersebut boleh membantu mendapatkan beberapa tempat kosong di restorannya, atau gadaian yang jauh lebih bernilai seperti timbunan jongkong emas dan wang kertas demi memenangi pilihanraya untuk dilantik sebagai kepala sesebuah negara, tidak akan ada matlamat yang mampu menghalalkan cara. 

Jika hanya sang penerima boleh berkata ‘Tidak’ dengan tegas kepada si pemberi, atau sang pemberi berkata ‘Jangan’ sekeras-kerasnya kepada dirinya sendiri, dunia ini pasti akan menjadi lebih baik dan adil bagi setiap penghuninya. Pastinya setiap perbuatan adalah cerminan kepada keadaan hati pelakunya dan pastinya suatu kejahatan akan membawa kepada kejahatan yang lebih besar pada masa hadapan. 

Mungkin ada yang menganggap kekejaman, kejahatan dan tragedi yang digambarkan di dalam kisah The Penthouse tersebut adalah imaginasi berlebihan penulis yang tak mungkin berlaku di dunia sebenar, tapi mana mungkin pokok melambai jika tiada angin yang menghembusnya. Karya penulis tersebut tidak mungkin hadir tanpa insiden yang memberi inspirasi kepadanya.

Jangan sampai perbuatan zalim dan khianat ini menjadi barah yang tidak boleh diubati dalam masyarakat kita. 

“Hapus rasuah, tanggungjawab kita bersama”

#KitaTolakRasuah

#RasuahBusters

 Munqiza Naqhiya Mohammad Shariff merupakan pemenang pertandingan rencana akhbar Rasuah Busters

Penulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Ajar Demokrasi

Picture of Munqiza Naqhiya Mohammad Shariff

Munqiza Naqhiya Mohammad Shariff

Artikel Lain

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *