Konsep Negara Islam yakni Daulah Islamiyah menjadi impian kepada sebahagian dan juga igauan kepada yang lain.
Mantan Perdana Menteri keempat dan ketujuh pernah mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam sewaktu persidangan sebuah parti sekular pada September 2001. Tidak hanya penentang Daulah Islamiyah yang membantah pengisytiharan tersebut bahkan pengidamnya juga.
Hujah mereka, Malaysia bukanlah Daulah Islamiyah kerana belum melaksanakan hukum Hudud yang memotong tangan pencuri dan mencambuk serta merejam pemukah. Justeru, hujah mereka itu saya guna pakai dalam tulisan ini sebagai takrifan Daulah Islamiyah.
Namun, bukanlah hasrat saya untuk menghujahkan sama ada Malaysia ini Daulah Islamiyah yang sebenar atau tidak kerana takrifannya yang sebenar tidaklah sejumud begitu.
Parti Politik utama berideologi Islam
Di negara ini, terdapat tiga parti politik utama yang berideologi Islam yaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Hizbut Tahrir. Namun di sini saya hanya akan mengulas tentang prospek PAS untuk melaksanakan hukum Hudud dalam ruang demokrasi berparlimen memandangkan mereka adalah parti Islam terbesar di Malaysia. Lagi pun, Hizbut Tahrir enggan bertanding dalam pilihan raya manakala AMANAH pula tidak menganggap hukum Hudud sebagai agenda utama dalam perjuangan mereka.
Alhamdulillah, berkat Langkah Sheraton – PAS telah berjaya memerintah setelah 43 tahun menjadi pembangkang. Adakah Daulah Islamiyah yang selalu dinyanyikan dalam lagu parti mereka bakal jadi kenyataan? Mustahil, bahkan mungkin PAS sendiri yang akan menolaknya.
Mengapa pula? Pimpinan PAS sudah tentu waras untuk memahami waqi’ Malaysia yang mengandung kepelbagaian kaum dan agama meski didominasi sedikit dari segi demografi oleh kaum Melayu yang beragama Islam. Jika mereka masih syadid, tidaklah mereka menyokong MCA yang istiqamah menolak perlaksanaan hukum Hudud yang menjadi prasyarat untuk Daulah Islamiyah sewaktu PRK Tanjung Piai.
Namun sekiranya PAS tidak menolak malah masih nekad untuk melaksanakannya, mereka haruslah insaf bahawa dalam kalangan Muslim pun terutamanya di Sabah dan Sarawak yang menuntut untuk tidak mempunyai agama rasmi sebagai antara syarat bagi menyertai Malaysia – tidak semua berkongsi mimpi agar Daulah Islamiyah didirikan di negara ini. Dalilnya seperti yang diriwayatkan dalam statistik PRU sejak 1969, PAS belum pernah lagi menang walau satu kerusi pun di sana.
Lagi pula, bukan PAS saja yang berkuasa sekarang malah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yaitu nama Melayu bagi United Malay National Organization (UMNO) dan BN yang turut dianggotai parti-parti bukan Muslim seperti MCA dan MIC. Kesemua mereka membentuk Perikatan Nasional (PN) yang mulanya disangkal kewujudannya namun akhirnya berjaya jua sampai ke tampuk kekuasaan setelah beroleh undi keyakinan dan pembekalan (confidence and supply) dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) meski Gabungan itu tidak menyertai Perikatan tersebut.
Mungkin PAS boleh uji pendirian rakan-rakannya dalam PN serta GPS berkenaan Daulah Islamiyah dengan membentangkan semula Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355 dalam Dewan Rakyat kelak yang boleh saya anggap sebagai versi ‘ringan-ringan’ bagi Hudud kerana ia bakal menambah lagi jumlah cambuk serta denda dalam hukuman di mahkamah syariah.
Cuma ada satu jalan saja (menurut ruang demokrasi berparlimen) buat PAS untuk merealiasikan matlamatnya tanpa sebarang kekangan yaitu dengan ‘sendirian sendiri, sendiri bertemankan sepi’ menentang parti-parti lain. Memang sepanjang kewujudannya pun, PAS lebih banyak solo berbanding ber-taawun dan ber-tahaluf. Namun, paling banyak kerusi yang PAS berjaya menangi ketika solo pun adalah 18 kerusi pada PRU14 yang lalu.
Sewaktu bermuafakat dengan parti-parti lain pula, PAS lebih berjaya memenangi banyak kerusi bahkan berjaya ditabalkan menjadi kerajaan seperti yang berlaku kini. Misalnya, tatkala berada dalam Barisan Alternatif (BA) bersama parti-parti sekular yaitu Parti Keadilan Nasional (keADILan), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) – PAS telah meraih bilangan kerusi terbesar yang pernah mereka miliki yaitu sebanyak 27 kerusi dalam PRU10 pada 1999.
Mereka semua tunduk dan akur
Hakikatnya setakat ini, tiada parti politik di Malaysia yang mampu menggapai kuasa sendirian – baik UMNO, DAP mahupun PAS. Justeru, mereka harus berkompromi dengan mencari perkara-perkara yang boleh dipersetujui bersama serta mengetepikan isu-isu yang mungkin kontroversi dalam kalangan sebilangan rakyat demi mengaut sebanyak mana undi yang mungkin.
Jadi, DAP terpaksa akur dengan hak keistimewaan Bumiputra yang telah terpateri dalam Perlembagaan Persekutuan dan mengabaikan prinsip kesamarataan agar diterima oleh orang Melayu manakala PAS pula terpaksa mengangkat konsep Negara Berkebajikan menggantikan hukum Hudud supaya tidak lagi ditakuti oleh golongan kuffar yang turut mempunyai hak mengundi di negara ini. Tidak lupa juga. PAS akhirnya terpaksa membenarkan kilang arak menjadi ‘Essential Services’ Ketika Pandemik COVID 19 melanda dan membiarkan iklan Judi Raya ditayangkan pada bulan Ramadhan , bulan yang penuh keberkatan. ‘Kau Dipaksa Aku Terpaksa’ nyanyi kugiran Scan.
Maka kesimpulannya, lebih mudah memansuhkan tol dan hutang PTPTN sekaligus berbanding mewujudkan Daulah Islamiyah di Malaysia. Tak perlulah bimbang lagi dengan PAS wahai rakan senegara yang bukan Muslim kerana Takbir mereka setelah berada dalam kerajaan hanyalah sekadar ngauman harimau kertas, apatah lagi kalau jadi pembangkang. Mudah-mudahan ramailah dalam kalangan rakyat yang bukan Muslim akan terbuka pintu hati untuk mengundi PAS berkat tulisan ini, Aminn Ya Rabb.
Nasyan Mansiyya merupakan mahasiswa Sains Politik di sebuah universiti awam yang hanya boleh ditemui dalam Land of Dawn.
Penulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Ajar Demokrasi