Islamisme atau Islam Politik merupakan satu terma yang tidak asing bagi rakyat Malaysia. Namun sering juga di salah ertikan dan digunakan di tempat dan tujuan yang tidak tepat, contohnya menggelar seorang konservatif yang sempit dengan hukum agama sebagai Islamist. Islamisme adalah satu konsep yang muncul dalam dunia akademik pada era moden terutama pasca kejatuhan khilafah Uthmaniah pada tahun 1924 dan bertitik tolak daripada kemunculan gerakan politik islam Ikhwan Muslimin pada tahun 1928 yang di tubuhkan di Mesir oleh Hassan Al Banna.
Namun, perbincangan tentang islamisme ini telah pun berlaku lebih awal, dibincangkan oleh pemikir muslim seperti Jamaluddin Al Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Ridha yang memberi pengaruh besar kepada corak pemikiran Hassan Al Banna. Islamisme sudah punya jalan sejarah yang panjang dan banyak tokoh gerakan islam yang muncul sehingga ke hari ini seperti Syed Qutb di Mesir, Abu Ala Al Maududi di Pakistan dan Aya tollah Khomeini di Iran.
Islamisme adalah sebuah ideologi yang menjadi orientasi kepada gerakan atau parti berasaskan islam untuk mencapai matlamat dan cita cita agama dengan menggunakan jalan politik di dalam kerangka dunia moden ini. Usaha gerakan islam untuk mengembalikan kekhalifahan atau ingin membina negara islam (Islamic State) adalah contoh kepada Islamisme. Bassam Tibi menulis di dalam bukunya “Islamism and Islam” menambah bahawa meskipun mereka ini menggunakan jalan politik untuk mencapai matlamat agama, kita tidak boleh terkeliru dengan konsep “menunggang agama”, yang menggunakan agama untuk mencapai matlamat politik. Konsep Islamisme ini mula wujud di dalam dunia Sains Politik, yang wujud lewat 20 an. Banyak kritikan yang diterima kerana kebanyakan orang islam sendiri tidak bersetuju dengan konsep ini serta pendefinisian sebegini.
Kritikan Terhadap Wacana Islamisme
Saintis politik biasanya menempatkan Islamisme ini di dalam spektrum kanan dalam membahas tentang spektrum ideologi. Namun pandangan tidak tepat, kerana ada setengah pemikir politik berhujah bawah ianya terlalu simplistik dalam menghimpunkan Islamisme ini dalam satu tempat sedangkan gerakan islam sahaja ada bermacam jenis dan berbeza cara dan pendekatannya dalam bergerak di dalam aktivisme politik mereka.
Contohnya Ikhwan Muslimin punya jalur pemikiran yang sunni-salafist centric yang menyeru untuk kembali kepada ajaran salafussalih, dan fahaman Salaf ini punya kefahaman politik yang mengambil pendekatan berdiam dan taat kepada pemimpin, dan pendekatan ini seolah mirip dengan konsep Leviathan yang di pelopor Thomas Hobbes yang menggagaskan bahawa taat setia perlu diberikan kepada pemimpin. Hal ini berbeza pula dengan setengah gerakan islamisme yang berhaluan kiri. Dalam agama pula, mazhab aqidah berbeza beza, yang melahirkan Islamisme berhaluan Syiah seperti Hizbullah di Lebanon dan Islamism beraliran Sunni. Hal ini sukar untuk di bahaskan jika kita terperangkap dalam wacana ideologi kiri-kanan ini.
Makanya ia tidak sesimplistik itu untuk menghimpunkankan Islamisme ini hanya di dalam golongan kanan, sedangkan menurut Dabashi, Islamist ini perkembangannya berubah ubah dari “left-leaning populist” sampailah ke spektrum “Ultraconservetive”. Tambahan pula, kerangka ideologi kiri-kanan ini adalah datang daripada wacana eropah barat (European left-right ideological spectrum) yang agak tidak sesuai dengan konteks politik dunia islam. Hal ini juga pernah di kritik secara umum oleh Edward Said dalam bukunya Orientalism yang mengkritik pengkaji pengkaji barat yang mengkaji dunia Islam atau dunia ketimuran ini menggunakan kaca mata dan perspektif barat yang menatijahkan banyak kesilapan yang fundamental.
Islamisme di Malaysia
Semenjak berlaku nya gelombang kebangkitan Islam (Islamic Revivalism) lewat kurun ke 19, banyak gerakan Islamist yang mula muncul di negara negara islam. Malaysia juga tidak terlepas daripada menyambut gelombang ini. Di Malaysia, antara gerakan Islamist terawal yang menyambut gelombang ini adalah Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang banyak berjumpa dengan pimpinan Ikhwan Muslimin untuk memberi bai’ah, namun di tegah oleh dr Siddiq Fadzil kerana lebih cenderung untuk menggunakan kearifan lokal (Local Intelligence) dalam menyampaikan agama kerana lebih sesuai dengan konteks nusantara. Gerakan Islamist yang berpaksikan Ikhwan Muslimin juga anyak di sambung oleh golongan pelajar Malaysia yang belajar di Luar negara, terutama di Mesir dengan gerakan yang digelar Misriyyun dan pelajar malaysia di United Kingdom yang menubuhkan Islamic Representative Council (IRC) yang akhirnya pulang ke tanah air dan menyambung idealisme ini dengan wadah tersendiri seperti ABIM, JIM, dan segelintir nya PAS.
Post-Arab Spring yang menyaksikan kebangkitan wave pendemokrasian (democratization) telah menyebabkan Islamism mula memudar, dan kemunculan wacana baru di dalam dunia politikal islam iaitu Demokrat Muslim. Kegagalan Islamisme pernah di ramal oleh seorang pemikir politik Olivier Roy dalam tulisan nya the Failure Of Political Islam sejak tahun 1994 lagi yang berhujah bahawa Islamisme telah gagal kerana tiada satu pun gerakan islamist yang berjaya mencapai cita cita politik menubuhkan negara dengan asas shariat kecuali Iran. Di malaysia banyak gerakan Islamist mula mendekatkan diri dengan wacana Muslim Demokrat dan sudah mula untuk memilih jalan demokrasi dan meninggalkan Islamisme. Ini yang di sebut oleh Aseef Bayat sebagai post-Islamisme.
Huzayl Mohd adalah seorang mahasiswa Sains Politik yang mempunyai minat mendalam terhadap politik dan falsafah pemikiran Islam selain berminat dengan diskusi negara Islam pasca-kolonialisme. Seorang idealis dalam dunia serba realisme. Presiden Harmoni Malaysia & Co-founder Virtue IIUM.
Penulisan ini tidak mencerminkan pendirian Ajar Demokrasi