Ketika pandemik melanda negara, sistem demokrasi berparlimen telah menjadi mangsa kerajaan Perikatan Nasional (PN). Melalui pengisytiharan darurat yang diumumkan kerajaan PN pada 12 Januari 2021, fungsi parlimen digantung sepenuhnya dalam tempoh darurat. Ini menyebabkan peranan parlimen untuk menyemak ketelusan tadbir urus kerajaan hampir tidak berlaku sepanjang darurat.
Bagi kerajaan PN, pendirian menggantung parlimen adalah langkah keselamatan untuk mengelak wujudnya ‘kluster’ Covid-19 ketika parlimen bersidang. Namun, ahli parlimen dan rakyat menolak dakwaan ini dan melihat kerajaan PN cuba mengelak sidang parlimen kerana jumlah majoritinya masih lagi goyah.
Suara rakyat yang mahu parlimen bersidang ketika darurat telah dizahirkan anak muda melalui demonstrasi aman, berbuka puasa di hadapan parlimen pada 25 April 2021. Isu keengganan kerajaan PN membuka parlimen sudah sampai kemuncaknya apabila kenyataan media Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Majlis Raja-Raja Melayu pada 16 Jun 2021 telah menegur kerajaan Tan Sri Mahiaddin Yasin untuk membuka parlimen secepat mungkin.
Dari sudut yang berbeza, kita boleh lihat pemikiran pihak kerajaan yang masih menganggap parlimen bukanlah satu institusi penting dalam tadbir urus negara masih lagi menebal sehingga hari ini.
Pemikiran lama ini adalah hasil daripada amalan pentadbiran terdahulu yang tidak gemar ahli parlimen terlibat secara aktif melaksanakan tugas hakiki mereka untuk menyemak dan meneliti dasar supaya setiap agenda kerajaan diluluskan parlimen tanpa melalui proses semak dan imbang yang kompleks.
Sebaliknya, pentadbiran terdahulu dan hari ini mahu ahli parlimen membuat kerja-kerja kawasan seperti menghantar bakul makanan dan melihat jalan berlubang yang sebenarnya boleh dilakukan oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Kegagalan kerajaan melihat parlimen sebagai rakan strategik, khasnya pada waktu pandemik ini, telah membawa kesan negatif kepada negara. Dominasi kerajaan dalam proses membuat keputusan tanpa perbahasan dan semakan parlimen telah menjadi punca utama penularan wabak masih lagi membimbangkan di Malaysia.
Dasar kerajaan yang dibuat secara terburu-buru, khususnya prosedur operasi standard (SOP) dalam beberapa sektor ekonomi, telah membebankan rakyat. Kelemahan kerajaan dalam merancang tindakan ekonomi menyebabkan rakyat hilang pekerjaan dan pendapatan. Sehinggakan mereka terpaksa mengibarkan bendera putih untuk mencari sesuap nasi.
Jika setiap dasar dan keputusan kerajaan menangani Covid-19 ini dibahaskan di parlimen lebih awal, tentunya kelemahan-kelemahan ini dapat diatasi dengan segera dan bersama. Apabila segala dasar dan perancangan kerajaan menangani krisis pandemik dibahas dan diluluskan parlimen, ia memudahkan kerajaan melaksanakan dasar dengan berkesan dan betul.
Peranan parlimen adalah untuk memastikan Perdana Menteri dan kabinetnya bertanggungjawab atas segala keputusan yang mereka ambil dalam menguruskan cabaran dihadapi rakyat dan negara. Malangnya, segala kebaikan parlimen ini tidak dipandang kerajaan PN. Kerajaan PN hanya mahu rakyat ‘patuh’ tanpa mempersoalkan apa yang telah dibuat oleh mereka dalam menghadapi krisis pandemik.
Pendirian tidak terbuka kerajaan PN untuk bekerjasama dengan institusi parlimen mengakibatkan krisis politik negara kian bergolak. Sebahagian pelabur tidak berminat untuk menjalankan perniagaan di Malaysia kerana kerapuhan institusi demokrasi yang gagal menangani ketidaktentuan politik tanah air.
Apa yang lebih membimbangkan adalah defisit kepercayaan rakyat terhadap institusi parlimen kian meningkat. Segelintir rakyat mendakwa parlimen tidak mampu menyelesaikan masalah mereka. Ini adalah satu kerugian yang terpaksa ditanggung oleh negara apabila kerajaan tidak mempedulikan parlimen sebagai institusi yang boleh mencari jalan terbaik dalam menyelesaikan kemelut yang melanda negara.
Pandemik telah menunjukkan sisi kelemahan institusi parlimen yang terus dipinggirkan oleh kerajaan dalam soal pentadbiran negara. Jika kita membiarkan pihak kerajaan terus mendominasi tadbir urus negara tanpa melibatkan peranan parlimen, maka ia akan mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada generasi akan datang.
Oleh itu, kita perlukan perspektif baharu dalam membina semula institusi parlimen yang lebih kukuh pasca pandemik. Parlimen perlu diberikan nafas baharu agar ia benar-benar menzahirkan peranannya sebagai sebuah institusi yang memberi impak besar kepada kesejahteraan rakyat. Jadi, apakah bentuk atau konsep yang perlu ditekankan dalam membina sebuah parlimen berfungsi pasca pandemik?
Pertama, parlimen harus dijadikan medan kerjasama dwipartisan antara kerajaan dan pembangkang. Pasca pandemik memerlukan sebuah parlimen yang efektif untuk merangka dasar ekonomi dan kesihatan yang lebih baik buat rakyat. Justeru, kerjasama dwipartisan kerajaan dan pembangkang dalam membahaskan idea baharu dipercayai dapat menghasilkan dasar berkualiti dengan mengambil kira pandangan yang lebih luas.
Kedua, sistem jawatankuasa pilihan khas (JPK) atau Select Committee perlu menjadi mekanisme baru dalam memperkukuh fungsi parlimen. Sistem JPK ini memberi kuasa kepada ahli parlimen meneliti dan mengkaji dasar dibuat Menteri. Komposisi JPK yang terdiri daripada ahli parlimen pelbagai parti, dapat menterjemahkan kerjasama dwipartisan sebenar yang berusaha untuk merangka dasar yang lebih menyeluruh melangkaui fahaman politik kepartian.
Ketiga, tempoh hari persidangan parlimen perlu ditambah. Pasca Covid-19 menyaksikan begitu banyak dasar dan undang-undang yang perlu disemak ahli parlimen bagi memastikan ia masih boleh dipakai dalam era Norma Baharu ini. Justeru, hari persidangan parlimen Malaysia perlu ditambah sekurang-kurangnya 100 hari setahun bagi memberi ruang kepada ahli parlimen menyemak dan membahaskan perkara penting dengan tempoh masa yang realistik.
Keempat, amat wajar sekiranya kita membahaskan idea agar sistem pilihan raya digunakan untuk memilih Senator di Dewan Negara. Pendemokrasian ini membentuk sebuah Dewan Negara yang benar-benar membawa suara rakyat dan mampu memperkukuhkan fungsinya sebagai badan semak dan imbang terhadap keputusan yang telah dibuat Dewan Rakyat. Usaha ini bukan sahaja mampu memadamkan imej rubber stamp Dewan Negara, tetapi akan mencambahkan lagi ruang demokrasi Malaysia yang selama ini hanya tertumpu kepada Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.
Hakikatnya, sistem demokrasi berparlimen dibina untuk membahas dan menerima pendapat yang berbeza demi mencari solusi kepada permasalahan rakyat. Apa yang rakyat mahukan adalah sebuah parlimen yang berjaya menguruskan perbezaan bagi mencapai satu keputusan ‘menang-memang’ yang menguntungkan rakyat dan semua pihak. Mereka mengharapkan parlimen pasca Covid-19 ini menumpukan sepenuhnya kepada perbahasan dasar dan bukan sengketa politik antara ahli parlimen.
Kita harus akui, agenda membentuk sebuah parlimen yang bersifat dwipartisan dan terbuka pasca pandemik bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, usaha ini dapat direalisasikan sekiranya semua pihak mempunyai daya dan iltizam untuk menambah baik sistem demokrasi negara agar ia benar-benar memberi kesan kepada soal kesejahteraan kehidupan rakyat yang telah diuji dan terjejas teruk ketika pandemik.
Fakhrurrazi Rashid merupakan kolumnis tetap Ajar Demokrasi dan seorang Koordinator Penyelidik di Research For Social Advancement Berhad (REFSA). Beliau gemar bercerita tentang politik dan parlimen.