Wajar kes segera dikafankan

Share This Post

KITA tersentap dengan berita bahawa seorang anak muda di ‘mandi’ bagaikan ‘jenazah’ walaupun masih sedar. Ini kononnya sebagai satu ‘hukuman’ atas kesalahan cuba mencuri tabung masjid setempat. Hasratnya adalah untuk menyedarkan remaja berkenaan akan kesilapannya sebelum menemui ajalnya.

Namun atas perilaku sedemikian, remaja berkaitan dilaporkan telah pun dijatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan.

Terkini dia terpaksa melalui khidmat masyarakat selama enam bulan ditumpukan kepada masjid-masjid mengikut Mahkamah Tinggi Shah Alam, dalam mengetepikan hukuman lalu.

Lantas, menyarankan pihak masjid dan yang merakamkan mandi jenazah tersebut membuat permohonan maaf terbuka kepada masyarakat dan kepada remaja berkenaan. Hukuman lalu dianggap tidak berbentuk pemulihan dan pengajaran.

INSAF

Sepertimana biasa, ada sahaja pihak yang tidak bersetuju sehingga menyebabkan beberapa peristiwa dan tindakan yang tidak menyenangkan. Sesetengah berpendapat ia agak keterlaluan dan tidak setimpal dengan peristiwa yang dilakukan.

Ada pula yang mengaitkannya dengan nilai moral ‘orang agama’ pukul rata. Tidak kurang menggesa pihak masjid meminta maaf atas tindakan tersebut, serta menuntut meletakkan jawatan.

Apa pun, ibu kepada remaja terlibat dilaporkan agak reda akan peristiwa yang berlangsung. Juga akur tentang hukuman mandi jenazah yang dikenakan. Petikan kata-katanya tidak pun menyalahkan sesiapa kerana ia dianggap sekadar ‘membersihkan’ anaknya.

Bukan satu penderaan sepertimana yang dianggap ramai. Sebaliknya ibu tersebut rasa bersyukur kerana memberi semangat dan ‘roh’ baharu kepada cahaya matanya itu.

Kemungkinan kata-kata positif tersebut ada benarnya jika diimbas pengalaman di kampung semasa usia kecil dahulu. Kedengaran ketika itu amalan beberapa orang bertafakur serta bermalam di dalam keranda jenazah untuk mengalami rasa mati dan menginsafinya. Ini sesuai dengan galakan yang kita sentiasa teringat tentang mati sebagai langkah mengawal diri supaya tidak terlanjur. Soal kawalan diri ini adalah pokok dalam mencari makna kehidupan yang sebenarnya menurut fitrah manusiawi.

Dari segi itu, hukuman mandi jenazah tidaklah begitu menghairankan sebagai perbandingan kepada yang arif. Bukannya suatu norma baharu! Apatah lagi terdapat sebuah universiti Eropah yang mengatur program untuk para pelajarnya mengalami ‘mati’ dalam kubur di kampusnya buat jangka masa antara 30 minit sehingga tiga jam mengikut kehendak masing-masing.

Dikatakan pendekatan ini mendapat sambutan ramai dalam kalangan anggota universiti dalam usaha mereka mengenal dan mententeramkan diri masing-masing. Ia seolah-olah satu persinggahan dalam mengharungi liku-liku hidup universiti yang tidak ada henti.

Manusia mengabdikan diri mencari benda dan harta, kaya dunia, mu‑ is jiwa yang kini dibaham oleh tekanan pelbagai aneka. Semakin ramai pula meragut nyawa sendiri menempah kubur yang tidak bernama! Mandi jenazah hanya berkala akibat koronavirus durjana.

Tambahan pula semasa pandemik di mana mati menjadi satu kitaran harian yang tidak dapat dijangka akan bila tibanya. Ini hakikat yang mesti ambil kira sebagai norma baharunya. Tapi penduli apa.

FAKTA

Dalam pada itu si ibu turut menyanggah beberapa dakwaan yang dilontarkan dalam kes ini sebagai dusta dan diada-adakan oleh pihak tertentu tanpa rasa bertanggungjawab. Hatta, menegaskan juga yang pihak terlibat wajar lebih teliti dalam penyiasatan mereka termasuk bertemu keluarganya terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu keputusan sebagai ‘hukuman’ kepada anaknya.

Maknanya, biar beradab dan bukan ‘berkiblatkan’ hamburan membabi buta media sosial yang didakwa telah ditularkan oleh individu dalam masjid berkenaan atas tujuan tertentu. Dalam mencari keadilan, maruah semua pihak wajib dipelihara semoga ia tidak terus tercemar. Tidak juga diaibkan sewenang-wenangnya seperti ditegah sama sekali oleh agama.

Segala-gala ini mesti diberi perhatian rapi tatkala sebelum semua fakta yang berkaitan dikenal pasti keseluruhannya. Misalnya, beberapa ramai mengetahui atau ambil berat tentang latar belakang keluarga berkenaan memandangkan maklumat ini sering mempengaruhi tindak-tanduk susulan.

Terutama bagi keluarga yang bercerai-berai dan tidak ada kesefahaman antara sama lain, baik datuk dan cucu yang lazimnya lebih berkasihkasihan. Apatah lagi dihimpit kemelut ekonomi dan sosial ekoran masa hadapan yang tidak menentu.

Pengamal media sosial dengan agenda tersiratnya akan hanya memburukkan keadaan kerana mengikut satu kajian kesan pengaruhnya amat ketara ke atas kumpulan sosioekonomi bertaraf rendah. Sekali gus mendatangkan lebih banyak kemudaratan berbanding kesejahteraan bersama seperti yang telah berlaku.

Soalnya, adakah kumpulan terkebawah seperti ini tidak terangkum untuk mendapat pelbagai bantuan yang sering diuar-uarkan pihak kerajaan? Adakah mereka antara yang tercicir dengan sengaja atau tidak?

Kelompangan fakta ini, terutama sekali mengapa percubaan mencuri, menimbulkan seribu satu tanda tanya. Tetapi ramai terus cenderung membuat rumusan kilat masing-masing dan mengusutkan lagi pertimbangan.

Mengapa ada yang kurang berempati dalam menawarkan penyelesaian seadil dan saksama mungkin seperti dituntut agama? Maka cukup banyak peristiwa remaja bersalah dalam sejarah Islam yang dibereskan tanpa riuh-rendah yang amat memalukan semua di mata dunia. Mengapa tidak peka?

Di sini, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ingin menawar kepakaran serta kudrat yang ada dalam mencari jalan penyelesaian jangka panjang terbaik bersama pihak yang terlibat. Lebih dari itu untuk menghalang dari berulang.

Masanya telah tiba agar bibit-bibit kes yang serupa segera dikafan serta disemadikan buat selama-lama. Sememangnya lebih elok merasai mati sebelum dimatikan.

Ini agar kita terus mensyukuri setiap nikmat Ilahi dalam menjayakan kehidupan anugerah-Nya tanpa mempersia-siakannya begitu sahaja. Semoga peristiwa ini menjadi satu teladan dan peringatan pahit bagi semua pihak, khasnya yang berniat buruk lagi hodoh!

Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Penulisan ini tidak semestinya melambangkan pendirian ajar demokrasi

Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak

Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak

Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Artikel Lain

Politik 101

Harapan Dalam UMNO Menuju 2024

UMNO adalah parti teras melayu, oleh itu kekalahan UMNO pada pilihan raya Kemaman 2 Disember lalu dilihat penolakan orang melayu kepada parti tersebut. UMNO sejak

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *