Pendidikan Politik, pendidikan yang tersisih

Share This Post

Malaysia melakar sejarah tersendiri pada 16 Julai 2019 apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengudi dari 21 kepada 18 tahun.Muafakat yang dicapai melalui 211 daripada 222 Ahli Parlimen boleh dianggap sebagai satu tindakan yang matang kerana meskipun berencam ideologi dan parti politik, namun perbezaan ini mampu diurusi dengan cermat demi kegilapan masa depan negara pada masa akan datang.

Apabila kita berbicara tentang soal amalan mengundi, ia begitu sinonim dengan falsafah politik demokrasi yang meraikan suara masyarakat umum dalam penetapan sesuatu keputusan dalam kerangka polisi atau undang-undang. Namun begitu, hal demikian menimbulkan kerisauan tentang sejauh mana keberdayaan golongan muda dalam memikul tanggungjawab sebagai pengundi untuk memahami sistem dan keperluan mengundi. 

Maka atas kesedaran ini, pendidikan politik perlu mula giat diterap dalam diri anak muda bagi memastikan keutuhan pemahaman politik mereka.Pendidikan politik hari ini sering ditafsirkan secara semberono sebagai ‘senjata’ pendoktrinan dan pengkaderan kerajaan terhadap rakyat supaya berpihak kepada pihak atau parti yang berkuasa. Perkara ini perlu segera dijernihkan. 

Pendidikan politik sebenar adalah bersifat akademik dan tidak berpihak. Ia terangkum pengenalan tentang sistem pemerintahan negara dan menjawab kemusykilan umum berkisar sistem politik seperti perbezaan peranan Raja dan Perdana Menteri dan lain-lain.Pendidikan politik seperti ini bakal memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat khususnya anak muda yang masih kabur tentang pengamalan serta sistem politik Malaysia.  

Namun persoalan utama berkait hal ini adalah; adakah makanisme yang diterapkan dalam pendidikan politik ini mampu memberi kesan kepada anak muda secara menyeluruh dan harmoni?  

Bagaimana pihak bertanggungjawab dapat memastikan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira status sosial mampu mendapat pendidikan politik ini secara adil dan saksama?

Di atas kesedaran ini, saya mencadangkan kepada pihak kerajaan untuk mempersiap serta memperkemaskan pembaharuan silibus pendidikan politik dengan menyusun gerak kerja dengan melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam memastikan pendidikan politik membumi ke akar umbi setiap pelusuk negara.Seperti mana kempen-kempen kesihatan dan budaya di sekolah-sekolah, kempen kesedaran dan kebertanggungjawaban politik juga perlu turut sama dimeriahkan bahkan ia memerlukan keterlibatan SPR bagi memastikan golongan anak muda ini mendapat pengenalan politik dengan baik. 

Misalnya di Indonesia kita dapat lihat mata pelajaran Kewarganegaraan (PPKN) sudah diperkenal sejak sekian lama. Mata pelajaran ini merupakan usaha tambah kerajaan Indonesia untuk menanam nilai-nilai budaya bangsa serta menjadi sumber pengetahuan pelajar di sana untuk memperolehi kesedaran dan akhirnya berdaya untuk membina negara dan bangsa Indonesia. 

Yang utama pendidikan politik ini perlu jelas. Sebelum ia diterapkan melalui silibus mata pelajaran, ia perlu melalui pengenalan secara kempen bukan sahaja dalam bilik darjah bahkan di setiap ruang yang boleh diakses oleh pelajar.Hal ini amat penting untuk membina keseimbangan serta asas kesedaran pelajar. Saya percaya dengan mekanisme ini, maka usaha untuk memasukkan pendidikan politik ke dalam silibus mata pelajaran menjadi semakin mudah dan licin. 

Pendidikan politik itu perlu mampu menyedarkan anak muda bahawa politik bukan sekadar mengundi, akan tetapi ia berkisar tentang sikap dan akibat daripada sesebuah tindakan sekaligus bakal melahirkan anak muda yang berdaya, matang dan kritis sesuai dengan semangat demokrasi iaitu; rakyat adalah raja.

Besar harapan kita untuk melihat politik Malaysia tidak dihidangkan dengan api perkauman, sentimen keagamaan yang kaku dan isu dalam kain. Kerana itu kita impikan dan rencana bersama agar pendidikan politik yang bakal dilaksana mampu memberi sinar baharu buat Malaysia.

Amin Mubarak merupakan Pengarah AjarDemokrasi dan kini berkhidmat sebagai pegawai penyelidik ahli Parlimen Kubang Pasu

Picture of Amin Mubarak

Amin Mubarak

Artikel Lain

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *