Pendidikan Politik dan Demokrasi

Share This Post

Secara jujurnya, kita harus sedar akan satu hakikat. Hakikat yang mustahil untuk disalah erti. Jangkaan lebih 1.5 juta pengundi muda akan mewarnai sistem demokrasi di Malaysia berikutan remaja berusia bawah umur 21 tahun layak sebagai pemilih jika PRU15 diadakan pada 2023. 

Ini antara kesan kuasa anak muda yang rata-rata membuat arus perubahan menukar kerajaan pada Mei 2018 tempoh hari.

Pendaftaran secara automatik bagi mereka yang berumur 18 tahun sebagai pengundi berdaftar juga memberi impak besar dalam pilihan raya akan datang. Tidak boleh tidak, semua segmen masyarakat harus bersedia dalam membawa aspirasi dan pendidikan yang holistik dalam memahami falsafah politik itu sendiri.

Suasana politik yang sarat dengan nilai dan bersih harus diberikan penerangan dan pencerahan sejak usia muda. 

Semangat akan cintakan negara, keimanan kepada perlembagaan negara dan kefahaman yang tuntas dalam sistem demokrasi harus dicernakan dengan baik kepada mereka. 

Pemerkasaan sistem pilihan raya di Malaysia sejajar amalan negara yang menurunkan had umur kepada 18 tahun layak mengundi seperti United Kingdom, Eropah Barat, Amerika Syarikat, Kanada, Jerman, Australia, Perancis, India, Pakistan, New Zealand dan di Amerika Latin, Afrika dan Jepun. Di Indonesia dan Timor Leste, usia 17 tahun sudah layak mengundi.

LONTARAN PERSOALAN

Terdapat satu persoalan asas bagi setiap warganegara Malaysia yang harus kita fikirkan kembali sebelum memulakan perbincangan. Sama ada kaum Melayu, India mahupun kaum Cina. Begitu juga kaum-kaum yang lain seperti Murut dan Iban juga. 

Barangkali persoalan ini bukanlah sebuah persoalan yang populis dan menguntungkan atau boleh dianggap sebagai picisan. Tetapi bagaimanakah boleh jadi begini?

Sejauh mana kita memahami demokrasi dan pendidikan politik? atau sejauh mana kita memahami konsep dan operasi demokrasi khususnya di Malaysia?

Persoalan sebegini haruslah kita terjun ke benak paling dalam untuk menghuraikan maknanya secara terperinci dan komprehensif. Sistem pendidikan di negara kita tidak mempunyai silibus khas dalam memberikan pendidikan politik kepada anak muda seperti ini. 

Falsafah dan tuntutan pendidikan politik secara komprehensif haruslah disuburkan kepada anak-anak muda di Malaysia. Bermula di kelas-kelas yang mereka hadiri sejak dibangku sekolah.

Jikalau pemilihan ketua kelas melalui sistem undian yang memerlukan suara majoriti untuk medapatkan keputusan, ia juga merupukan salah satu ruang pendidikan politik yang jarang sekali kita perhatikan. Betul atau tidak? 

Belum lagi melibatkan pengurusan kelas dalam aspak kebersihan, keceriaan dan kewangan. Ia juga salah satu sudut pandang keterlibatan politik buat murid-murid dalam menguruskan sesuatu organisasi atau gerakan.

Tetapi orang kita, selalu memikirkan bahawa politik itu hanya melibatkan parti-parti politik nasional dan sebagainya. 

Asasnya politik melibatkan proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu kumpulan. Walaupun ia biasanya digunakan bagi merujuk kepada kerajaan, tingkah laku politik juga boleh didapati di korporat, akademik, agama, dan institusi lain.

Wacana mengenai pendidikan politik atau pendidikan demokrasi umumnya haruslah dipergiatkan bermula dari akar umbi. Perbincangan mengenai perlembagaan negara, sistem demokrasi berparlimen, sistem ekonomi, pembelajaran mengenai Rukun Negara dan hak sebagai warganegara. Topik-topik ini haruslah digilap dan disuburkan kepada  akar umbi mengikut keperluan mereka. 

Untuk apa? Untuk pembudayaan ilmu dan memberikan ruang buat mereka berfikir soal tanggungjawab sebagai seorang warganegara Malaysia. 

PENDIDIKAN POLITIK 

Pendidikan politik sewajarnya diterap kepada generasi muda khususnya berkaitan pengertian politik secara lebih meluas, etika dan tatacara politik matang serta menganalisis isu semasa agar wujud rakyat celik atau literasi politik.Dalam politik penuh 1,000 muslihat, serangan dan asakan, ia menuntut kita mengorak langkah kepada pendekatan proaktif.

Memandangkan situasi politik dan tingkah laku politik tercemar dengan pelbagai adegan yang melampaui batas mutakhir ini, maka pemikir dan pembuat dasar perlu ke arah mewujudkan pendidikan politik di Malaysia.

Jika di Australia, New Zealand, Kanada, Thailand dan Indonesia menerapkan pendidikan politik kepada semua sekolah menengah dan pengajian tinggi, maka Malaysia perlu mempelajari pendekatan berstrategi.

Politik yang harus kita imani, bukanlah politik kepartian atau politik bangsa tetapi haruslah lebih luas pentakrifannya. Politik adalah proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu kumpulan. Walaupun ia biasanya digunakan bagi merujuk kepada kerajaan, namun tingkah laku politik juga boleh didapati dalam kalangan korporat, akademik, agama dan institusi-institusi yang lain. 

Pendidikan politik bukan menyuruh pelajar menghafal membabi buta sejarah parti atau pemimpin politik semata-mata, tetapi yang lebih penting membina kemahiran berfikir secara kritikal serta mengembangkan idealisme. 

Pendidikan politik juga bertujuan mendidik pelajar dengan semangat demokrasi, meraikan kemajmukan pandangan, menghargai perbezaan dan menghormati keluhuran Perlembangaan. Itulah dinamika nuansa Malaysia. 

Selain itu, pendidikan politik juga mendidik pelajar akan hak mereka sebagai warganegara, mengimani semangat demokrasi dan meletakkan rasional akal dalam menilai hujah ketika mana sedang membuat pilihan. Perkara ini, selaras dengan Rang Undang Undang Undi 18 Tahun yang telah diluluskan di Dewan Rakyat bulan lalu. Usaha ini boleh dilihat sebagai sebuah proses permulaan ke arah Malaysia yang lebih matang dan sihat dalam pengamalan demokrasi. 

Pendidikan politik haruslah bersifat multi-dimensi dalam operasi penyampaiannya kepada pelajar. Ia bukanlah platform untuk memuja para pimpinan parti, memuja keabsahan parti dan mengambil kesempatan untuk meraih simpati terhadap parti atau pimpinan parti. 

Penyampaian kepada pelajar dengan cara bersederhana mestilah dipertahankan kerana matlamat pendidikan politik adalah untuk membebaskan rasa kebergantungan (dependency) yang masih melekat dalam diri seseorang.

DEMOKRASI DI MALAYSIA

Kembali kepada persoalan di awal tulisan, sejauh mana kita sebagai rakyat Malaysia memahami demokrasi? Sejauh mana pengamalan sistem demokrasi melahirkan pentadbiran yang baik? 

Negara ini mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. 

Perlembagaan Persekutuan telah digubal dengan mengadakan syarat-syarat sedemikian untuk membolehkan pelaksanaan sistem dapat dijalankan dengan baik. Salah satu kriterianya adalah pembahagian kuasa kepada tiga bahagian dalam pemerintahan iaitu perundangan, kehakiman dan eksekutif (pentadbiran).

Selain itu, Malaysia juga merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berasaskan kepada sistem Persekutuan. Berdasarkan kepada peruntukan ini negeri-negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah telah bersetuju dengan konsep penubuhan negara Malaysia.

Cuma pengamalan demokrasi di Malaysia, kita menggunakan Demokrasi Berparlimen Raja Berlembagaan. Sistem demokrasi ini digabungkan dengan sistem monarki sebahagiannya. Parlimen mempunyai bidang kuasanya sendiri iaitu menjadi ejen semak dan imbang terhadap raja, sebelum raja melepaskan tugas eksekutif kepada kerajaan. 

Namun, seninya demokrasi, ia memerlukan semua pihak yang melibatkan pelbagai kelas sosial dalam pembuatan keputusan.

DEMOKRASI DAN ANAK MUDA

Mengambil kata-kata salah seorang ahli falsafah bahawa sistem demokrasi merupakan “Best among the worst” adalah hakikat yang berat untuk kita maknai secara mendalam. Demokrasi Berparlimen merupakan ruang kepada setiap warganegara terlibat dalam proses pentadbiran negara. 

Persolannya, sejauh mana Demokrasi Berparlimen difahami apabila mereka yang diberi hak untuk menentukan siapakah wakil rakyat di kawasan mereka menerusi proses pilihan raya enggan menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi?

Had umur mengundi telahpun diturunkan kepada 18 Tahun tetapi sejauhmanakah anak muda memahami konsep dan operasi pendidikan politik pada hari ini? Ini juga satu persoalan yang perit untuk difikirkan. 

Lambakkan gejala sosial dan pengaruh gajet juga memrupakan satu asbab yang mesti difikirkan secara mendalam. Wajarkah anak muda bersedia untuk menjadi salah satu penentu masa hadapan negara? 

Kita selalu dimomokkan oleh anasir negatif TikTok yang membunuh jati diri anak muda di Malaysia, adakah itu gambaran sebenar anak muda kita yang sebenar? 

Pada pandangan saya, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing. Bermula dengan institusi keluarga, guru-guru dan masyarakat yang akan mencorak generasi masa hadapan kelak. 

Kefahaman mengenai hak mengundi harus diberi fokus secara tuntas. Perkara ini merupakan peluang terbaik untuk anak muda belajar perihal tanggungjawab, demokrasi dan sistem pemilihan. Kita wajar meyakini bahawa dunia yang kita diami akhirnya akan dipimpin oleh anak-anak muda yang mesti dipersiapkan secara holistik.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 ini hanyalah sekadar pindaan semata-mata, sekiranya kita mengambil mudah dalam memberi penekanan soal tanggungjawab, moral, kematangan berfikir dan empati terhadap anak-anak muda. 

Sebelum PRU14 lagi, pendidikan politik melalui inisiatif yang diwujudkan oleh parti politik dan badan kajian giat menjalankan usaha-usaha menyuburkan nilai-nilai demokrasi dan sivik dalam kalangan anak muda. Pasca PRU14 ianya kelihatan mekar bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan. 

Pendidikan politik di peringkat awal dimulakan melalui Sekolah Politik oleh Institut Kajian Dasar (IKD) dan Sekolah Demokrasi oleh DAP. Antara medium telah yang melahirkan figura-figura mahasiswa pada harini seperti Iman Najaa (Demokrat UM) dan Amin Mubarak (Pengerusi Mahasiswa Amanah Nasional). 

Pasca PRU14 juga, semakin segar pembudayaan pendidikan politik kepada anak muda menerusi parti politik. Antaranya ialah PKR yang memfokuskan anak muda melalui AMK (Angkatan Muda Keadilan). Mereka mempunyai mekanisme pengkaderan yang sistematik antaranya Akademi KEADILAN Masa Depan di bawah YB Hilman Idham. 

Selain itu, inisiatif penting dalam membumi dan membudayakan idea reformasi diteruskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Diwan Reformasi.

Begitu juga, wujudnya Akademi Bangsa melalui Pejabat DUN Dusun Tua, Akademi Bina Bangsa di bawah Wan Saiful Wan Jan (BERSATU). Selain itu, AMANAH juga menubuhkan SCHOLAR sebagai satu usaha memberi pendidikan politik buat anak muda yang berjiwa Islamis. 

Berikut merupakan beberapa sekolah yang bersangkut paut dengan parti dan ahli politik kerajaan pada waktu ini.  

Manakala, penubuhan Bengkel Patriotisme dan Negara Bangsa yang dianjurkan oleh Generasi Neo (O2 Malaysia). O2 Malaysia diasaskan oleh Hishammuddin Hussein juga bertujuan memberi pendidikan politik dan sivik kepada generasi anak muda. 

Jika dilihat kepada usaha pembangunan belia di kebanyakan negara maju, aspek kepemimpinan sangat ditekankan kepada golongan belia misalnya program ‘White House Fellows’ di Amerika Syarikat dan program Sekolah Kepimpinan Masa Hadapan yang dilaksanakan di Jepun.

Anak muda perlu memanfaatkan peluang ini bagi memperkasa potensi dan mencabar idealisme diri. Anak muda punyai pelbagai alternatif dan pilihan. Namun, sejauh mana keberhasilan anak anak muda ini? 

Kita harus percaya bahawa sistem dan budaya merupakan titik tolak utama untuk menjadikan warganegara Malaysia lebih matang dan sejahtera. 

Pendidikan politik melalui parti atau ahli politik bukanlah suatu hal yang tidak baik kerana mendidik juga merupakan salah satu tanggungjawab parti dan ahli politik. Tetapi kita harus berani berprinsip, rasional dan tidak bias atau berat sebelah. 

Tetapi kita harus percaya bahawa ia bukanlah semata-mata tanggungjawab ahli politik semata-mata. Peranan institusi keluarga, institusi pendidikan seperti sekolah dan university serta budaya masyarakat membemtuk secara tak langsung peribadi seseorang dalam memahami politik yang sebenar. 

Bukan hanya mereka faham melalui media sosial, kecaman netizen dan satu pihak sahaja. Wacana dan dialoh harus disegarkan di semua peringkat dalam memberi pendedahan yang tuntas kepada anak muda. 

*Luthfi Yusri merupakan Ketua Koordinator bagi Ajar Demokrasi

Picture of Luthfi Yusri

Luthfi Yusri

Artikel Lain

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *