Seringkali diri kita keliru apabila berbicara soal kepimpinan dalam kalangan manusia. Kita sering merasakan bahawa kepimpinan adalah suatu keistimewaan. Sesiapa jua yang dilantik menjadi pemimpin wajar dihormati dan diikuti segala titah perintahnya kerana kedudukannya sebagai pemimpin. Kita merasakan pemimpin wajar diberikan segala nikmat sebagai ganjaran menjadi pemimpin. Apa yang mahu dimakan akan dibawakan, apa yang mahu minum akan diberikan, apa yang mahu pakai akan dipakaikan, apa yang mahu dipandu akan dihadiahkan.
Pada hemat kita, pemimpin dalam keadaan apa sekalipun adalah berhak didahulukan berbanding yang lain. Apabila pemimpin duduk di meja makan, maka pemimpin itu berhak untuk memilih dahulu apa yang mahu dimakannya dan apa yang tersisa adalah untuk orang di sekelilingnya. Apa yang enak adalah untuk pemimpin, apa yang tidak enak adalah untuk orang di sekelilingnya. Seakan-akan menjadi pemimpin adalah satu kenikmatan bagi yang empunya. Lantaran itulah berbondong-bondong manusia bersaing dan saling bercakaran demi merangkul tampuk kepimpinan.
Sekiranya menjadi pemimpin adalah sebaliknya daripada apa yang diamalkan oleh masyarakat ketika ini. Andai kata menjadi pemimpin bermakna perlu berupaya untuk kurang tidurnya kerana mengawasi keselamatan orang disekelilingnya. Menjadi pemimpin bermakna perlu berupaya menahan lapar dan menjadi orang yang terakhir menikmati makanan selepas semua orang di sekelilingnya kenyang. Menjadi pemimpin bermakna perlu mendahulukan keselesaan orang lain sebelum dirinya.
Menjadi pemimpin itu perlu mengutamakan adanya tempat berteduh yang selesa untuk orang lainnya berbanding dirinya. Menjadi pemimpin itu bermakna perlu didahulukan kemudahan ahli keluarga orang lainnya berbanding ahli keluarganya sendiri. Menjadi pemimpin itu perlu didahulukan dengan mendengar pandangan orang lain dahulu sebelum menyatakan pandangan dirinya. Menjadi pemimpin bererti ahli keluarganya dan dirinya bakal dihukum secara adil sekiranya melakukan kesalahan sebagaimana orang lainnya. Sekiranya untuk menjadi pemimpin tonggaknya adalah pengorbanan dan sikap mendahulukan orang lain, maka tentulah kurangnya orang yang sanggup dilantik sebagai pemimpin.
Andai menjadi pemimpin menjadikan seseorang hidupnya lebih sukar daripada sebelumnya, tentulah tidak ramai yang mahu meninggalkan kehidupannya yang sudah sedia enak. Andai dapat dibetulkan nilai apa yang perlu pada seorang pemimpin, maka tentulah kita akan memilih orang yang paling kuat pengorbanannya untuk menjadi pemimpin kita. Nilai seorang pemimpin ada pada kesetiaannya dan kesudiannya mendahulukan kepentingan orang lain sebelum dirinya.
Penulisan ini tidak semestinya melambangkan pendirian Ajar Demokrasi