Melihat Pembangkang Sebagai Rakan Strategik Pentadbiran Negara

Share This Post

Kita sering melihat ahli parlimen pembangkang dan menteri bertengkar di parlimen. Dalam banyak perkara, pihak pembangkang sering dipersalahkan dan esoknya, beberapa media akan melaporkan pandangan sebilangan ahli parlimen kerajaan yang menyatakan “pembangkang hanya membuang masa”. Persoalannya, mengapa ahli parlimen pembangkang dan menteri sering bertelagah ketika parlimen bersidang?

Pertama, masa dan ruang diberikan kepada ahli parlimen pembangkang amat terhad. Kekangan ini menyebabkan ahli parlimen pembangkang tidak mempunyai masa yang cukup untuk membahaskan cadangan dan kritikan konstruktif terhadap dasar kerajaan.  

Ia bertambah buruk apabila ahli parlimen kerajaan atau backbencher sering mengganggu ahli parlimen pembangkang dengan serang politik kepartian, khususnya apabila pembangkang mengkritik kelemahan tadbir urus dan dasar kerajaan. Serangan seperti ini selalunya berakhir dengan perang mulut antara ahli parlimen kedua-dua belah pihak.

Kedua, kegagalan segelintir menteri menjawab pertanyaan dengan baik turut menjadi punca pembangkang bersikap kritikal di dalam parlimen. Menteri atau Timbalan Menteri yang tidak mampu menjawab pertanyaan dan hanya membaca teks jawaban yang disediakan pihak kementerian, cenderung membuat serangan politik kepada pembangkang bagi menutup kelemahan yang ada sehingga ia boleh mencetuskan pertikaian politik antara kerajaan dan pembangkang.

Hakikatnya, dakwaan ahli politik yang melabel pembangkang sebagai musuh kerajaan adalah tidak tepat. Persepsi jahat seperti ini adalah budaya politik lapuk pentadbiran terdahulu untuk menimbulkan rasa takut dan serba salah dalam kalangan rakyat untuk memilih parti pembangkang menerajui negara. Namun, perubahan politik negara sedekad yang lalu sudah menyaksikan kepentingan peranan pembangkang pembangunan dan pentadbiran negara.  

Pembangkang Sebagai Kerajaan Menanti

Selepas PRU14, peranan pembangkang dalam proses membuat dasar di parlimen kian penting. Contohnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menerima cadangan pembangkang  daripada Barisan Nasional (BN), PAS, dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memasukkan sistem pendaftaran pengundi secara automatik bagi melaksanakan pindaan Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur layak mengundi kepada 18 tahun.Akhirnya, pindaan ini telah diluluskan Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019 dengan sokongan 211 orang ahli parlimen, termasuk pembangkang.  

Sejak 2018, jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) perlu dilantik dalam kalangan ahli parlimen pembangkang bagi memperkukuhkan prinsip semak dan imbang keatas tatakelola kerajaan.

Ahli parlimen pembangkang yang menjadi Pengerusi PAC sewaktu pentadbiran PH ialah Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (BN) pada tahun 2018 dan Dato’ Dr. Noraini Ahmad (BN) pada tahun 2019. Ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dan terkini, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, PAC dipengerusikan oleh ahli parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Wong daripada PH.

Pembaharuan ini membuktikan ahli parlimen pembangkang turut terlibat dalam tadbir urus negara dan diharap mampu menerajui negara dengan baik sekiranya membentuk kerajaan satu hari nanti. Lebih menarik lagi apabila kesemua parti politik yang berada di parlimen hari ini pernah menerajui kerajaan Persekutuan dan menjadi pembangkang.

Dari sudut yang berbeza, persaingan parti politik dalam pilihan raya akan datang bukan lagi berkisar antara parti kerajaan melawan parti pembangkang. Tetapi ia pertembungan antara parti kerajaan  dengan parti kerajaan menanti (government in waiting) kerana parti pembangkang pada hari ini sudah berpengalaman dalam menerajui pentadbiran negara.

Pandangan Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) pada 18 Ogos 2021 menerusi kenyataan media bahawa “yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua”, wajar diambil pedoman buat ahli politik dan rakyat supaya menerima realiti baharu demokrasi Malaysia yang  berada dalam keadaan 50-50, iaitu tidak ada mana-mana  gabungan parti yang menikmati majoriti dua pertiga di parlimen. Ini  bermaksud, tidak mustahil kerajaan hari ini akan menjadi pembangkang satu hari nanti dan begitulah sebaliknya.

Cadangan Seterusnya

Bagi meletakkan asas sistem demokrasi berparlimen yang kukuh, pembangkang perlu dilihat sebagai rakan strategik kerajaan dalam menjalankan pentadbiran negara. Pembangkang perlu diberi pengiktirafan dan beberapa penambahbaikkan sewajarnya untuk memastikan mereka dapat menjalankan tugas hakikinya dengan efektif.

Pertama, menubuhkan lebih banyak jawatankuasa pilihan khas di parlimen. Melalui jawatankuasa pilihan khas ini, ahli parlimen pembangkang boleh terlibat secara aktif dalam proses membuat dasar kerajaan, khususnya dalam meneliti dan mencadangkan idea baharu bagi memperkemaskan dasar kerajaan.

Dengan wujudnya jawatankuasa pilihan khas, ahli parlimen pembangkang juga dapat membina kepakaran dalam sesuatu bidang atau kementerian dan membina kerjasama erat dengan penjawat awam bagi memahami proses pentadbiran secara menyeluruh. Ini juga memudahkan persediaan pembangkang untuk mentadbir negara sekiranya mereka menjadi kerajaan satu hari nanti.  

Kedua, pembangkang harus diiktiraf sebagai Pembangkang Setia kepada YDPA (His’ Majesty most Loyal Opposition). Istilah ini digunakan parlimen United Kingdom untuk menunjukkan bahawa ahli parlimen pembangkang hanya menolak dan mengkritik dasar dibuat kerajaan tetapi masih menumpahkan taat setia kepada Perlembagaan Persekutuan dan Raja Berperlembagaan.

Kita dapat lihat semasa krisis politik negara berlaku, Ketua Pembangkang dan ahli parlimen pembangkang sering dijemput ke Istana Negara untuk memberi pandangan kepada YDPA terhadap isu semasa. Perkara ini merupakan satu pengiktirafan kepada pembangkang dalam menjalankan tugas kepada Ketua Negara yang sebelum ini jarang berlaku.

Langkah ini juga dapat memadamkan momokan jahat beberapa penganalisis dan ahli politik yang sering mendakwa pembangkang musuh kepada negara dan YDPA. Malah, pengiktirafan ini memberi jaminan bahawa setiap proses demokrasi, termasuk peralihan kerajaan, berlaku secara aman dan tertib bagi mengelakkan ketidakstabilan politik berlaku.

Ketiga, memberi peruntukan sama rata kepada ahli parlimen pembangkang. Peruntukan ini bagi membantu kerja-kerja ahli parlimen di kawasan, khususnya mengaji pembantu dan menjalankan operasi pusat khidmat kepada rakyat kawasan. Ahli parlimen pembangkang boleh menggunakan peruntukan ini mengaji penyelidik yang boleh membantu membuat kajian bagi tujuan perbahasan dan tugas-tugas di parlimen.

Kita maklum bahawa ada cadangan untuk mengangkat status Ketua Pembangkang setaraf Menteri Kanan dan menerima gaji atau elaun yang sama. Namun, wajar sekiranya parlimen memberi peruntukan kewangan kepada pembangkang membentuk kabinet bayangan dalam menyemak ketelusan jemaah menteri di parlimen.

Jumlah kabinet bayangan ini tidak perlulah besar dan mengikut setiap portfolio menteri yang ada. Tetapi, cukuplah ia bersaiz kecil dan mampu berfungsi bagi memberi pandangan alternatif dalam setiap dasar kerajaan.  

Jika kita dapat memandang peranan pembangkang sebagai rakan stratergik dalam tadbir urus negara, maka rakyat akan menikmati persekitaran politik yang berfungsi untuk menyelesaikan cabaran dihadapi negara. Jika tidak, rakyat terpaksa melihat ketidakstabilan politik yang akan menjejaskan kemajuan negara dan rakyat dalam tempoh jangka panjang.

Perubahan-perubahan ini dapat membina sebuah pembangkang berwibawa yang mampu menerajui negara sekiranya berlaku pertukaran kerajaan.  Saya percaya, perspektif ini dapat mengubah landskap politik negara yang semakin buntu kerana amalan politik lama yang kian membelakangi hasrat rakyat.  

Fakhrurrazi Rashid merupakan seorang Koordinator Penyelidik di Research For Social Advancement Berhad (REFSA). Beliau juga bergiat aktif sebagai penulis yang suka bercerita tentang politik dan parlimen.

Picture of Fakhrurrazi Rashid

Fakhrurrazi Rashid

Artikel Lain

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *