Pasca pilihan raya ke-14 sehingga saat ini telah menyaksikan ketidakstabilan negara bukan sahaja dalam soal politik bahkan juga terheret pada ekonomi. Saya merasakan sudah ramai yang melontar pandangan terhadap ketidakstabilan politik dan juga mengheret soal kestabilan ekonomi juga lantaran “political economy” yang diamalkan di negara kita.
Malaysia tidak jujur dan sangatlah gelojoh dengan diri sendiri. Semuanya sorok bawah ‘karpet Malaysia’ dan melompat kepada bicara kuasa politik. Artikel ini tidak ingin berbasa basi soal siapakah yang layak memimpin negara kita. Artikel ini juga tidak akan membahas soal siapakah yang layak membolot harta dan khazanah dengan propaganda ‘mentadbir negara’, ‘untuk rakyat’ dan parti mana yang layak berkuasa atau bahasa jujurnya ‘mengkorupksi diri sendiri’. Parti mana yang mampu naik adalah parti yang mampu mengawal akal dan hati masyarakat. Jadi sebelum kita terlampau gelojoh meletakkan akal dan hati dibawah jari-jari kekuasaan, tanyalah pada diri yang hidup di negara pasca penjajahan ini.
Bersediakah orang Melayu berkongsi keistimewaan bersama rakan-rakan yang berbangsa Cina? Bersediakah teman-teman berbangsa Melayu, Cina dan India yang telah hidup bergenerasi di Malaysia menutup sekolah persendirian mereka lalu menyumbang membina sebuah ‘sekolah’ baharu untuk anak-anak kita? Bersediakah kita untuk belajar bahasa-bahasa rakan-rakan yang lain, Melayu dengan bahasa Cina dan Indianya, begitu jua dengan teman-teman kita terhadap bahasa-bahasa Malaysia kita? Atau kita masih meletakkan dominasi sebuah bangsa terhadap bangsa lain? Apakah tanggungjawab sosial sebuah majoriti terhadap minoriti begitu juga sebaliknya? Atau kita menyerahkan ahli politik untuk menentukan dan melunaskan tanggungjawab ini dan kita terus berseronok dengan hak istimewa yang dimiliki tanpa memikirkan tanggungjawab sosial antara majoriti dan minoriti? Bersediakah rakan Cina kita berkongsi kekayaan ekonomi dan pengalaman berniaga kepada bangsa-bangsa lain?
Bersediakah kita melebur segala hasil pecah perintah kita sesama kita? Bersediakah kita saling berkongsi nilai-nilai yang ada sesama kita atau mengehadkan pada warna kulit dan bahasa-bahasa kita? Sudikah kita bertoleransi serta berkongsi nilai-nilai kita dengan teman seperlembagaan pada perayaan-perayaan yang disambut? Mampukah kita menerima kelemahan dan berkongsi kelebihan dengan teman-teman seperlembagaan kita? Sudikah untuk mengubah pemikiran kita terhadap kata pendatang, pelarian kepada teman seperlembagaan? Apakah kita bersedia menerima mereka sebagai teman seperlembagaan? Sanggupkah kita berkongsi cerita-cerita rakyat moyang-moyang kita dari tanah yang berbeza-beza di dalam buku-buku teks sejarah kita bukan untuk menghina tetapi membina makna ‘teman seperlembagaan’ kita?
Persoalan sosial akan terus wujud dan jika kita malas memikirkan dan berbicara persoalan-persoalan seperti ini, bersua muka dengan tetangga sambil tersenyuman kepura-puraan sambil menyimpan prejudis sosial, kita akan berhadapan dengan budaya politik pecah-perintah (Divide and Rule) yang sama walau sesempurna mana jua sistem negara kita; ‘represantative democracy’ atau ‘participatory democracy’. Kita berasa enak mengumpat, mempersenda, mengutuk dan membawang bangsa lain di Tahun Baru Cina dan juga Aidilfitri namun apabila bersua muka di warung dan mamak, kita takut untuk membahaskan persoalan-persoalan ini. Kemudian menjawab dengan jawaban karpet ‘kita rakyat Malaysia’. Kita semua malas untuk terlibat dalam proses menjadi kita lalu kita salahkan ahli politik sebelum kita memperbaiki diri kita. Janganlah marah apabila ahli politik mempermainkan, mempergunakan dan memperalatkan ketakutan dan kecurigaan sesama kita kerana kita sendiri malas, simplistik dan konklusif terlibat dalam proses menjadi kita.
Oleh itu, usahlah bicara soal siapa berkuasa kalau malas berfikir dan takut mendengar, menghidang dan menikmati kepelbagaian pandangan. Telinga masih berdesing terhadap kritikan teman kita lantaran ego seorang majoriti dan juga keresahan seorang minoriti. Usahlah gelojoh berbicara soal perubahan kuasa politik jika bahasa kebangsaan kita masih bahasa ‘bangsa mana yang patut berkuasa’. Semaklah diri dengan soalan-soalan ini. Kalau bersedia kenapa dan kalau tidak kenapa? Siapakah kita? Siapakah Malaysia? Bagaimanakah proses menjadi Malaysia?
Ciptalah ritma irama kita sendiri
Angkatlah pena dan diskusikan liriknya
Kuasa akan menari mengikut rentaknya
Berpecah lagu kita
Rasislah tarian kuasa
Dengan pena akal dan hati
Bersama lirik tanggungjawab
Irama saling kongsi
Yang didendangkan oleh kita kepada kita
Di atas meja warung,
roti canai sepinggan
Teh tarik secawan
kita nyanyikan tentang kita
Kelak dengan lagu ‘Merdeka’ kitalah
Menarinya tarian bernama kuasa
Sebagaimana merdekanya kita
Menjadi kita.
Hazwan Shukor merupakan seorang graduan Sejarah. Bergiat aktif di dalam International Developement and Politics (IDP) IKRAM United Kingdom İreland