Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga; demikian bertalu-talu kesusahan yang perlu dihadapi oleh rakyat sejak berlakunya pandemik. Tidak cukup sekadar diuji dengan kehilangan pekerjaan, ekonomi dan perniagaan baru sahaja hendak kembali bernafas, kenaikan harga barang yang tidak konsisten di pasaran, serta kini kita dibingitkan pula dengan isu kadar gaji minima di Malaysia.
Sekitar baru-baru ini, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) telah menyuarakan desakan kepada pihak kerajaan untuk segera menaikkan kadar gaji minima yang baharu, iaitu daripada RM1,200 kepada RM1,500. Tetapi hal ini menjadi perdebatan apabila Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mengatakan sekarang bukan masa yang sesuai untuk menaikkan had gaji minimum tersebut. Ekoran harga barangan yang melambung tinggi di pasaran, desakan tersebut wajar supaya ia seiring antara kenaikan gaji dan kenaikan harga.
Namun begitu, desakan ini tidak mula timbul pada kebelakangan waktu ini sahaja. Hakikatnya, sebelum pandemik lagi sudah pun ada seruan dan desakan untuk para majikan menaikkan kadar penawaran gaji kepada pekerja. Asasnya, Akta Majlis Perundingan dalam soal gaji negara menetapkan bahawa penilaian dan semakan terhadap gaji minima perlu dibuat dalam tempoh setiap dua tahun.
Secara ringkasnya, ‘kronologi’ had gaji minima di Malaysia berdasarkan implementasi tahun 2013 adalah sebanyak RM900 sebulan (bersamaan RM4.33 sejam) bagi kawasan Semenanjung Malaysia. Manakala di Sabah, Sarawak, dan Labuan, had minima tersebut adalah sebanyak RM800 sebulan (bersamaan RM3.85 sejam).
Pada 1 Julai 2016 pula, had gaji minima ini telah dinaikkan kepada RM1,000 di Semenanjung, dan RM920 di sekitar Sabah, Sarawak, dan Labuan. Seterusnya, pada tahun 2019, gaji minima di Malaysia secara umumnya diselaraskan dan dinaikkan kepada RM1,100.
Bermula tahun tahun 2020, kadar minima sebanyak RM1,100 itu masih lagi terus digunakan, namun bagi sesetengah kawasan mahupun bandar, kadar tersebut telah dinaikkan sebanyak RM100 menjadikan had gaji minima bermula pada tahun berkenaan sehinggalah pada hari ini, adalah sebanyak RM1,200 sebulan (bersamaan RM5.77 sejam).
Justeru, jika diperhatikan, kadar kenaikan gaji di Malaysia adalah sedikit dan berlaku secara perlahan. Bercakap soal gaji minima untuk negara membangun seperti Malaysia, ia memerlukan kepada penilaian terhadap pelaksanaan kenaikan gaji minima dalam masa yang terdekat – adakah ia relevan dan boleh direalisasikan.
Perbahasan mengenai gaji minima ini terlalu panjang untuk diperdebatkan, dengan mengambil kira kebaikan dan keburukan apatah lagi dalam tempoh pasca pandemik ini. Namun, ada beberapa persoalan terkait isu ini yang barangkali menarik untuk diperhatikan.
Persoalan pertama; Apabila berlaku kenaikan gaji, maka adakah akan berkurang kadar penawaran kerja? Adakah syarikat-syarikat gergasi yang berkemampuan untuk menaikkan kadar gaji minima akan terus membisu dalam hal ini serta menggunakan alasan kenaikan gaji minima untuk mengurangkan penawaran pekerjaan. Barangkali tenaga pekerja yang tidak diperlukan akan digantikan dengan peranti teknologi berfungsi tinggi seperti mesin, teknologi pintar, dan sebagainya. Justeru, syarikat-syarikat yang memanfaatkan technological-based ini akan memberikan kesan terhadap penawaran pekerjaan.
Persoalan seterusnya terkait pada kerelevanan untuk menaikkan had gaji minima secara total ataupun sekadar tingkatkan gaji per jam sahaja. Idea ini turut diketengahkan oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), dan dilihat sebagai satu alternatif yang boleh dilaksanakan selain daripada kebergantungan untuk menaikkan gaji bulanan secara total semata-mata.
Sebagai contoh, jika had gaji minima dinaikkan dan ditetapkan pada kadar RM1,500 sebulan, ia tidak memberi makna apa-apa kepada pekerja selain daripada kenaikan sebanyak RM300 berbanding gaji minima sebelumnya RM1,200. Apa yang diketahui oleh para pekerja, pada setiap hujung bulan gaji yang akan diterima oleh mereka adalah sebanyak RM1,500 tanpa mengira seberapa bagus kualiti pekerjaan mereka.
Namun begitu, hal ini berbeza sekiranya had gaji ditetapkan mengikut jumlah jam bekerja. Sebagai contoh, jika pekerja dibayar upah mereka mengikut jam, ia berupaya untuk mendorong serta memberikan motivasi kepada pekerja untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti pekerjaan mereka selaras dengan kenaikan kadar upah mengikut jam. Ini berbeza dengan gaji yang diterima oleh pekerja dengan kadar yang sama pada setiap bulan tanpa mengambil kira tahap produktiviti dan kualiti kerja yang diberikan.
Kebiasaannya, produktiviti berkurang kerana para pekerja menyedari mereka akan tetap memperoleh gaji sebanyak itu sahaja pada setiap bulan. Justeru, idea untuk memperkenalkan upah per jam adalah pendekatan yang lebih komprehensif berbanding kenaikan kadar gaji pekerja secara bulanan.
Tetapi, persoalan pokok yang ditimbulkan pada ketika ini adalah kerana kenaikan gaji ini dikatakan perlu mengambil kira tahap ekonomi negara serta kedudukan semasa rakyat. Jika kenaikan gaji minima ini relevan, persoalannya bagaimanakah pula dengan realiti semasa? Kita mengerti bahawa negara masih lagi berada dalam fasa pemulihan terhadap ekonomi. Malahan, tidak dinafikan memang terdapat majikan yang tidak mampu menaikkan gaji minima dalam tempoh yang terdekat kerana perniagaan dan ekonomi mereka yang baru sahaja hendak kembali bernafas semula.
Isunya disini, kos sara hidup meningkat dengan cepat, tetapi gaji yang diterima tidak seiring dengan peningkatan kos sara hidup. Pekerja juga adalah pengguna. Justeru, kenaikan pada gaji berupaya meningkatkan kuasa membeli kepada pengguna. Maka disini lah seharusnya dimana kitaran ekonomi akan berlaku.
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu laporan yang dikeluarkan sekitar Mac 2018 ada menyatakan anggaran sementara untuk tahap gaji yang relevan untuk menampung sara hidup bulanan di Kuala Lumpur, bagi tahun 2016. Laporan tersebut merekodkan bahawa secara bulanan, sebanyak RM2,700 amaun gaji yang diperlukan bagi golongan bujang, RM4,500 untuk pasangan, serta RM6,500 bagi pasangan yang mempunyai dua orang anak. Menurut BNM, kadar itulah yang relevan sebagai taraf hidup minimum yang boleh diterima.
Sementara itu, satu kajian yang pernah dibuat oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyatakan bahawa individu bujang tanpa kereta di Lembah Klang memerlukan sekurang-kurangnya RM1,900 sebulan untuk terus hidup. Manakala jika individu itu mempunyai kereta, ia memerlukan sekurang-kurangnya RM2,500 sebulan.
Jika dilihat pada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) tahun 2016, kadar PGK pada ketika itu berada pada paras RM980. Tetapi had gaji yang ditetapkan oleh BNM pada tahun berkenaan mencecah melebihi RM1,500 sepertimana yang dicadangkan baru-baru ini. Hal ini sangat jauh sekali berbeza apabila PGK terkini yang digunapakai adalah RM2,208. Ini bermaksud, sepatutnya gaji minima yang disyorkan adalah lebih tinggi daripada paras PGK berkenaan.
Setiap syarikat dan industri haruslah bersikap akauntabiliti dalam konteks kenaikan had gaji minima. Sekiranya majikan mempunyai keupayaan untuk menaikkan gaji pekerja serta mengikut jejak langkah sepertimana yang dilakukan AEON Group Malaysia, maka mereka harus segera berbuat demikian. Kita juga mengharapkan supaya syarikat-syarikat besar yang berkemampuan untuk berbuat demikian tidak ‘menumpang’ nama Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang mengatakan bahawa syarikat mereka akan menggulung tikar sekiranya kadar gaji minima dinaikkan.
Kenaikan gaji minima menjadi keutamaan kerana ia berasaskan kepada keperluan, bukannya pada permintaan semata-mata. Meningkatkan paras gaji minima kepada kadar yang lebih tinggi bukanlah suatu langkah drastik yang radikal, sebaliknya kita perlu berani untuk menggalakkan para majikan berbelanja lebih besar untuk menggajikan tenaga dan potensi pekerja selain daripada ia melibatkan pengulangan kitaran ekonomi yang lebih baik.